Menu

 

A+ A A-

KEHANCURAN ALAM DAN HAKIKAT KEMATIAN

SETELAH semua tanda-tanda kiamat yang telah diberitakan Nabi s.a.w. hadir di pentas dunia, maka kiamat yang ditunggu-tunggu segera berlaku. Ibarat seorang wanita yang sepanjang sembilan bulan lamanya merasakan beratnya mengandung, akhirnya hari kelahiran yang ditunggu-tunggu itu tiba. Firman Allah yang bermaksud: “Apabila sangkakala itu ditiup dengan sekali tiup. Dan diangkatlah bumi dan gunung-gunung lalu dihancurkan sekali hentakan. Maka pada hari itulah terjadi Kiamat.” (Surah al-Haqqah 69: 13-15)

Alam semesta menyaksikan kehancuran manusia, dan maut merenggut semua makhluk yang hidup sama ada yang berada di langit dan bumi tanpa meninggalkan seorang pun. Peristiwa ini terjadi begitu cepat dan tiba-tiba. Semua manusia mati dalam keadaan terkejut dan tanpa apa-apa persiapan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Demi Allah, kiamat akan tiba ketika dua orang penjual beli sedang membentang kain dagangan mereka. Mereka tidak sempat bertransaksi atau melipat kembali barang itu. Kiamat akan tiba ketika seseorang telah memerah susu ternaknya namun belum sempat menikmatinya. Kiamat akan tiba ketika seseorang baru saja memperbaiki kolam namun belum sempat meminum airnya. Kiamat akan tiba ketika seseorang telah mengangkat suapan namun belum sempat memakannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Pada hari yang sangat dahsyat ini, semua manusia, bahkan semua makhluk yang hidup, merasai maut bersama-sama. Jika sebelumnya seseorang hanya menyaksikan kematian, pada hari ini ia merasakannya. Semua ini menandakan berakhirnya bahagian pertama dari kitab kehidupan dan bermulalah bahagian kedua yang sangat menentukan.

Hakikat Kematian

Imam Abu Hamid al-Ghazali menjelaskan bahawa kematian sebenarnya hanyalah perubahan kondisi yang dialami roh dari memiliki kuasa penuh atas jasad kepada kehilangan kuasa itu. Roh yang sebelumnya dengan berleluasa menggunakan mata untuk melihat, kaki untuk berjalan, telinga untuk mendengar dan semua anggota jasad yang lain sebagai alat bantunya, pada saat ini ia tidak mampu melakukannya lagi. Jika penyakit lumpuh adalah kehilangan kendali atas sesebuah anggota badan, maka maut adalah lumpuh yang menimpa seluruh anggota badan. Apabila hal itu terjadi, ia bagaikan orang yang baru bangun dari tidur panjang dan tersingkap di depan matanya hakikat-hakikat yang selama ini ia lalaikan. Hakikat yang pertama kali dia dapat melihat semua amalan yang dilakukan selama hidup berserta balasan yang dijanjikan.

Jika amalan yang dilakukan selama ini baik, maka ketenangan dan kegembiraan segera memenuhi hatinya. Malaikat Maut datang kepadanya dengan penampilan yang menyejukkan sambil membawa jemputan Ilahi,“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai- Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba- Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr 89: 27-30)

Rohnya segera keluar dari jasad dengan mudah tanpa sebarang seksaan. Malah bagi orang tertentu, maut adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Mereka adalah hamba-hamba Allah yang merasa terpenjara di dunia yang sempit ini sejak lama dan menunggu hari pembebasan dengan tidak sabar.

Bagi mereka, maut adalah gerbang kebebasan yang akan membawa ke alam yang penuh keindahan dan menjumpai kekasih yang dicintai. Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash berkata,“Perumpamaan seorang mukmin yang melepaskan rohnya ibarat seseorang yang tertawan di dalam penjara lalu dibebaskan daripadanya.”

Abu Darda r.a. berkata, “Aku mencintai kematian kerana rinduku kepada Tuhan.” Rabi’ bin Khaitsam berkata, “Tidak ada sesuatu yang ditunggu-tunggu mukmin yang lebih baik daripada kematian.”

Imam al-Ghazali berkata, “Kelazatan terbesar ditemui para syuhada yang terbunuh di jalan Allah. Sebab mereka tidak maju ke medan perang melainkan setelah memutuskan segala hubungan dengan dunia dan sangat merindui berjumpa dengan Allah s.w.t.”

Kisah-kisah tentang hal ini sangat banyak, salah satunya diriwayatkan Al-Hafiz Abu Nu’aim dalam Hilyat al-Awlia dari Hatim al-Asham: Suatu ketika kami bersama Syaqiq al-Balkhi dalam suatu peperangan melawan bangsa Turki. Hari itu sangat mengerikan, kepala banyak yang berterbangan dan pedang-pedang banyak yang patah. Syaqiq bertanya kepadaku, “Bagaimana perasaanmu waktu ini?

Demi Allah, perasaanku waktu ini sama seperti perasaanku pada malam pengantin.” Perhatikan juga kisah yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal dari Said bin Abdul ‘Aziz Al-Tanukhi:

Tidak ada orang yang pernah melihat bidadari dalam keadaan sedar (tidak bermimpi) selain Abu Mukhramah. Suatu hari dia keluar untuk sesuatu hajat. Tiba-tiba dia melihat seorang bidadari di dalam sebuah kubah, duduk di atas tempat tidurnya. Ketika melihatnya, spontan Abu Mukhramah segera memalingkan wajah. Bidadari itu segera berkata, “Datanglah ke sini, wahai Abu Mukhramah. Aku isterimu dan ini isteri fulan.” Beliau kemudian kembali kepada teman-temannya dan menceritakan hal itu. Mereka segera menulis wasiat untuk kemudian mati syahid bersama-sama.

Meski pun begitu, sebuah hadis menceritakan bahawa maut tetap menyakitkan dan pedihnya masih terasa hingga bertahun-tahun kemudian. Imam Ahmad meriwayatkan dalam bahagian al-Zuhd, daripada Jabir bin Abdillah bahawa Rasulullah s.a.w. bercerita tentang sekelompok dari Bani Israel yang datang ke sebuah tanah perkuburan. Mereka berkata, “Mari kita solat dua rakaat lalu berdoa agar Allah mengeluarkan seseorang yang telah mati untuk kita tanyakan kepadanya tentang kematian.” Mereka lalu melakukan usulan tersebut. Dengan izin Allah, tiba-tiba, seorang lelaki mengeluarkan kepalanya dari kubur.

Di dahinya terlihat tanda sujud. Ia berkata, Apa yang kalian inginkan dariku? Aku mati seratus tahun lalu, namun pedihnya masih aku rasakan hingga waktu ini. Mintalah agar Allah mengembalikan aku ke tempatku semula.” Jika begitulah keadaan orang yang mati dalam iman, kita tidak dapat membayangkan betapa seksanya orang yang mati dengan membawa amalan yang buruk, apatah lagi mati dalam kekafiran, na’uzubillah. Namun kita dapat membayangkan bahawa pastinya dipenuhi azab dan kengerian. Dengan sekuat tenaga memekik dan melawan agar tidak keluar dari jasad, namun malaikat maut jauh lebih kuat darinya.

Sekuat mana pun tenaga melawan dan pekikan yang dilaungkan, ketentuan Allah tidak dapat diubah. “Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat ketika para malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka (dan berkata), ‘Rasakanlah seksa yang membakar.’ Yang demikian disebabkan oleh perbuatan tangan meraka sendiri. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menganiaya hamba-Nya.” (Surah al-Anfal 8: 50-51).

Mereka adalah orang yang hatinya telah menyatu dengan dunia dan melupai akhirat, sehingga apabila masa telah tiba untuk berpindah dan kenegerian akhirat diperlihatkan, mereka enggan untuk berpindah ke tempat yang baru itu.

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik bertanya kepada seorang ulama tabiin, Abu Hazim Salamah bin Dinar, “Mengapa kami takut mati?” Abu Hazim menjawab, “Kerana kamu memakmurkan rumah kamu di dunia dan meruntuhkan rumah kamu di akhirat. Maka kamu takut berpindah dari kemewahan kepada keruntuhan.”

Mengingat kematian

Mengingat kematian, akan mendorong Seseorang mempersiapkan diri untuk perjalanan ke akhirat. Dan hal itu menjadi faktor utama yang mendorong diri untuk melakukan perbuatan baik dan mulia, sekali gus menjadi penghalang diri dari membuat dosa. Justeru, Rasulullah s.a.w bersabda, “Perbanyaklah mengingati penghancur kelazatan, iaitu maut.” (Riwayat Ibn Hibban). Dari Syaddad bin Aus, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang yang bijak ialah orang yang selalu memeriksa dirinya dan berusaha untuk kehidupannya selepas mati.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Ibn Al-Mubarak meriwayatkan dari Malik bin Mighwal (Imam Ahmad meriwayatkannya dari Ibn ‘Uyainah), “Seorang lelaki dipuji di hadapan Rasulullah s.a.w. lalu Baginda bertanya, “Apakah dia sering mengingati kematian?” Mereka menjawab, “Tidak.” Baginda bersabda, “Orang itu tidak layak dipuji.” Riwayat ini mursal.

Mengingati kematian telah mewarnai kehidupan tokoh ulama, sahabat dan tabiin. Abdullah bin Mas’ud pernah marah kepada orang yang dilihatnya tertawa ketika menghantar jenazah. Ia berkata, “Kau tertawa ketika menghantar jenazah? Aku tidak akan berbicara denganmu selama-lamanya.” Zuhair al-Aqtha berkata, “Setiap kali Ibn Sirin mengingati kematian, seluruh anggota tubuhnya seakan lumpuh.” Qubaisah bin ‘Uqbah berkata, “Setiap kali aku duduk bersama Sufyan al-Thauri, aku selalu mengingati kematian. Sebab tidak ada orang yang lebih banyak mengingat kematian daripada beliau.”

Lebih hebat daripada itu, Imam al-Dzahabi bercerita: “Rib’ie bin Khirasy al-Ghatafani, seorang ulama tabiin, telah bersumpah bahawa dia tidak akan ketawa sehingga dia mengetahui adakah dia penghuni syurga atau penduduk neraka. Sejak itu, tidak pernah dia dilihat ketawa sehingga pada hari dicabut nyawanya. Pada hari kematiannya, wajahnya kelihatan tersenyum. Kisah yang serupa diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab Al-Zuhd yang berlaku kepada Ghazwan al-Kufi.

Kesunyian memenuhi alam

Setelah seluruh alam semesta ini hancur tidak tersisa, hanya kesunyian yang memenuhi alam ini. Al-Quran menceritakan bahawa pada hari itu, Allah s.w.t. melipat langit dan bumi seperti lipatan buku lalu berkata, “Siapakah yang paling berkuasa hari ini?” Tidak ada jawapan. Lalu Allah sendiri yang menjawab:“Allah yang Maha Esa dan Maha Kuat.” (Surahal-Ghafir, 40:16). ¤.

 

Umar M Noor 

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas