Menu

 

A+ A A-

INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT

Nilai Sebuah Syariat

USTAZ, mohon ustaz terangkan hikmah Allah s.w.t. menyediakan hukum syarak kepada manusia untuk menjalani kehidupan di dunia.

Syariat ialah hukum yang datang daripada Allah dan disampaikan oleh rasul, bukan hukum ciptaan manusia. Tujuan utamanya boleh disimpulkan kepada empat:

1. Mengenal Allah s.w.t.

Dengannya kita mengetahui kewujudan Allah, lalu dapat mengesakan, memuliakan dan juga menyifatkan-Nya dengan segala sifat kesempurnaan. Kita hanya mampu mengetahuinya hakikat Allah berdasarkan al-Quran dan hadis Rasulullah sahaja.

2. Mengetahui Cara Beribadat yang Betul kepada Allah

Dengannya kita tahu cara sebenar menyembah Allah, bermunajat, berzikir, mengagungkan, mensyukuri nikmat dan sebagainya.

3. Melaksanakan Amal Makruf

Dengannya kita tahu cara mengajak orang lain mengerjakan kebaikan dan melarang mereka daripada kemungkaran. Begitu juga kita dapat tahu adab-adab terhadap masyarakat, cara menolong, menjaga hak jiran, memelihara amanah dan sifat-sifat terpuji lain yang menyebabkan kita disukai dan dihormati masyarakat.

4. Melindungi Hak Seseorang

Dengannya hak seseorang terjamin dan terpelihara. Ia hanya akan tercapai jika hukum hudud dan qisas itu dilaksanakan dalam masyarakat atau negara. Dengan adanya hukum ini, golongan yang lebih kuat tidak akan berani menganiaya golongan yang lemah.

Berlumba-lumba vs. Bersama-sama

Dalam satu ayat al-Quran, Allah menyuruh kita berlumba-lumba melakukan kebaikan. Manakala dalam ayat lain pula, Allah menyuruh kita saling membantu dalam melakukan kebaikan. Sekali fikir, seolah-olah ia bertentangan. Lagi pun kita akan dihisab mengikut amalan masing-masing? Mohon penjelasan.

Pertamanya mari kita hayati firman Allah yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” (Surah Ali ‘Imran 3: 103) Dalam ayat ini, Allah memerintahkan setiap umat Islam supaya bersama-sama melaksanakan perintah Allah iaitu berpegang kepada lima hukum syarak; wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Umat Islam wajib bersama-sama membangunkan perkara yang baik tidak kira secara zahir atau batin. Antaranya bersama-sama mendirikan solat berjemaah, menghidupkan bulan Ramadan, mencegah pergaulan bebas, memerangi riba, rasuah mahupun kezaliman dan sebagainya. Pendek kata setiap apa yang diajar dalam al-Quran diamalkan bersama.

Di samping itu, umat Islam wajib menjalinkan silaturahim dan hidup berukhuwah. Permusuhan tidak boleh sama sekali. Itulah tuntutan Allah. Sekiranya kita merealisasikan kehidupan sebegitu, itulah ibadah dan dikira amal soleh. Sebaliknya jika masing-masing tidak memainkan peranan sehingga membawa kepada perpecahan, maka semua orang menanggung dosa.

indahnya-hidup-bersyariat-1

Menjadi Orang Terpilih

Ada sebuah hadis, maksudnya: “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan, maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama.” Persoalannya, bagaimana kita hendak mengetahui seseorang itu “orang yang terpilih”? Adakah ada cara untuk menjadi orang yang terpilih?

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, bawah tajuk “Ilmu”, Bab “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan...”

Rasulullah menjelaskan bahawa Allah akan memperluaskan ilmu pengetahuan agama seseorang itu sekiranya Allah menghendaki pada dirinya kebaikan. Ilmu yang dimaksudkan ini ialah ilmu khas pemberian Allah berupa pengetahuan dan kefahaman tambahan dalam diri seseorang. Walhal asas-asas ilmu sememangnya telah sedia ada dalam diri seseorang yang terpilih itu. Jadi sekiranya kita tidak mempunyai ilmu asas, maka ilmu tambahan itu tidak akan dapat diperoleh. Analoginya, sama seperti kita ingin mendapatkan bantuan daripada kerajaan. Contohnya subsidi pertanian seperti baja, benih dan sebagainya. Maka asas-asas petani mestilah telah ada pada kita, seperti sudah memiliki kebun atau sawah untuk diusahakan. Barulah subsidi tersebut diluluskan kepada kita. Begitu juga untuk memiliki ilmu yang diberi khas oleh Allah ini, kita terlebih dahulu mesti ada ilmu asas agama, kemudian diperkuatkan pula dengan iman dan amal, barulah ilmu pengetahuan tambahan akan datang.

Apabila kita telah diberi kefahaman, jalan-jalan ilmu akan terbuka dalam fikiran dan hati kita. Justeru, ia bukanlah dengan hanya berpeluk tubuh menunggu turunnya ilham dari langit tanpa berusaha dan berikhtiar untuk mencapainya.

Wallahu a‘lam.

 

Dr. Abdul Basit Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 4


Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas