Menu

 

A+ A A-

REMAJA & KRISIS IDENTITI

“SIAPA saya?” “Saya nak jadi macam siapa?” Hati remaja sering tertanya-tanya dalam sedar mahupun tidak. Ia suatu persoalan yang besar. Sering kali remaja menjawab persoalan ini dengan tafsiran dan kefahaman mereka sendiri. Jelas, jawapan mereka terzahir daripada identiti yang lahir.

Kini, tidak susah lagi untuk kita melihat remaja lelaki berperwatakan lembut, rambut mencacak, merokok, “merempit” dan sebagainya. Jumlah mereka kian bertambah hari demi hari. remaja perempuan juga tidak ketinggalan. Keliru memilih mana pakaian perempuan, mana pakaian lelaki. Seluar jeans dan t-shirt menjadi “trend”.

Rimas terkurung di rumah, berpeleseran di pusat-pusat membeli belah dan hiburan. Tidak perlu dituliskan satu persatu, semuanya jelas terpampang di depan mata masyarakat. Kasihan remaja-remaja ini. Mereka sebenarnya dilanda krisis identiti. Tidak tahu mana yang patut dicontohi dan mana yang tidak. Jika mereka tahu sekalipun, tiada kemampuan untuk berubah. Tiada kemampuan itu berpunca daripada kurang kesedaran, bukannya kurang pengetahuan.

Lahir sebagai seorang Muslim mendedahkan kita kepada satu identiti yang cukup jelas dan terarah. Kita Muslim! Muslim dari sudut akidah, ibadah, sahsiah dan muamalah, bukan Muslim sekadar nama. Islam, ini yang perlu setiap remaja dalami kerana hanya Islam ubat paling mujarab untuk menyembuhkan segala penyakit sosial. Hal inilah yang pernah dilalui oleh setiap zaman dan terbukti dalam sejarah. Setiap nabi yang diutus berasa mulia beridentitikan Muslim dan secara terang-terangan memberitahu umat bahawa mereka Muslim.

Kemuliaan sebagai Muslim itulah yang meneguhkan mereka untuk menyeru kepada Islam, jelas jalan hidupnya dan benar perjuangannya. Hanya Islam yang boleh menjadi penawar kepada segala masalah umat. Nabi Nuh a.s. berkata: “Dan aku diperintah supaya aku termasuk golongan Muslimin.” (Surah Yunus 10: 72) Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. berkata: “Ya Tuhan kami jadikanlah kami orang yang Muslim kepada-Mu dan (antara anak cucu kami umat yang Muslim kepada-Mu.” (Surah al-Baqarah 2: 128) Nabi Ibrahim dan Nabi Ya’kub berwasiat kepada anak-anaknya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.” (Surah al-Baqarah 2: 132)

Nabi Yusuf a.s. berdoa kepada Tuhannya yang bermaksud: “Wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkan aku dengan orang yang soleh.” (Surah Yusuf 12: 101) Nabi Musa a.s. berkata: “Hai kaumku, jika kamu beriman kepada Allah, maka bertawakallah kepada-Nya sekiranya kamu benar-benar Muslim.” (Surah Yunus 10: 84) Para tukang sihir Fir’aun ketika beriman kepada Nabi Musa a.s. berkata: “Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan Muslim kepada-Mu.” (Surah al-A’raf 7: 126) Nabi Sulaiman a.s. mengutus surat kepada Ratu Balqis dan rakyatnya: “Janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang yang Muslim.” (Surah al- Naml 27: 31) Kaum Hawariyyun berkata kepada Nabi Isa a.s.: “Kami beriman kepada Allah s.w.t. dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami ialah orang Muslim.” (Surah Ali ‘Imran 3: 52)

Kejelasan identiti sebagai Muslim akan membawa kita kepada kejelasan memilih sesuatu pilihan. Tiada dilema lagi. Tiada kekeliruan lagi. Islam yang syumul memberi nur petunjuk dalam setiap aspek kehidupan. Ia bukanlah risalah bagi akal tanpa roh, bukan bagi rohani tanpa jasmani, bukan bagi fikiran tanpa perasaan, dan bukan sebaliknya. Islam ialah risalah insan seutuhnya iaitu rohnya, akalnya, jasmaninya, hal nuraninya, kemahuannya dan perasaannya.

Remaja oh remaja! Kenapa memilih jalan yang samar, bersimpang siur dan penuh kekeliruan? Kita Muslim! Pilihlah Islam sebagai jalan hidup nescaya bahagia dan cemerlang seluruh hidupmu kerana setiap sesuatu diberikan petunjuk untuk kebaikan dirimu sendiri di dunia dan akhirat. Sama-samalah merasai keindahan hidup bersama Islam. Sungguh, Allah s.w.t. mengutus rasul s.a.w. sebagai ikutan kita dan Islam sebagai agama hanya semata-mata kerana Allah s.w.t. begitu sayang pada kita. Firman

Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiya’ 21: 107)¤

 

        Fatimah Syarha Mohd Noordin

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4




Fatimah Syarha Mohd Noordin

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Fiqh dan Psikologi) dan Ijazah Bacaan Quran Bersanad dan Daurah Bahasa Arab dari Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Syria. Kini menyambung pengajian Sarjana di UIAM. Berpengalaman menjadi Peer Tutor, Naqibah Study Circle, fasilitator dan Ketua Pengarah Kumpulan Panel Editor UIAM dan ustazah di Sek. Ren. Ibn Kathir, Gombak. Pernah dinobatkan sebagai novelis Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006. Mula berkarya dengan Telaga Biru Sdn. Bhd. pada Disember 2005.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Artikel berkaitan: KETAGIHAN »
Kembali ke atas