Menu

 

A+ A A-

RITUAL BERAGAMA TANPA TUHAN

“Hidup ibn Sedar… jumpa Tuhan tak jumpa agama,” itu terjemahan ringkas saya terhadap kisah seorang lelaki di zaman Andalus.

Namanya Hayy ibn Yaqdhan. Anak muda yang tercampak ke sebuah pulau asing, dan sejak kecil beliau membesar sendirian tanpa pernah bertemu dengan manusia lain. Ala-ala kisah Robinson Crusoe kurun ke-18. Hayy ibn Yaqdhan tidak pernah tahu apa itu “agama”. Beliau membesar dengan belajar hukum alam di sekitarnya. Belajar mengajuk  cakap binatang, belajar berkomunikasi dengan mereka dan dengan mematuhi hukum alam itu beliau selamat. 

Tetapi dalam diri Hayy, ada suatu unsur kuat untuk dia melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Unsur untuk membolehkannya berfikir tentang Kuasa Agung di sebalik semua material yang mengelilinginya. Semua ini tidak bermakna kecuali ia dihubungkan  kepada Kuasa Agung itu.

Hayy terus menelah kehidupannya hingga dia yakin, bahawa tiada kebahagiaan dalam hidup ini kecuali dengan bertafakur dan merenung Kuasa Agung itu, yakni Tuhan.

Hayy hidupnya begitu 

Dorongan fikir dan renungnya terhadap Tuhan” melalui mesej-Nya yang disampaikan melalui ciptaan-Nya, memaksa Hayy untuk dengan sendirinya tunduk rukuk, malah rebah sujud ke bumi. Terasa benar siapa dirinya, hingga tersungkur di depan Dia. 

Segala-galanya berubah, apabila Hayy dikunjungi, buat pertama kalinya, oleh seorang lelaki dari “negeri bertamadun”. Lelaki itu bernama Absal.

Absal terkejut melihat Hayy. “Manusia apakah ini yang hidup sendirian, bersalut bulu angsa untuk menyembunyikan anggota sulitnya?”

Setelah puas berusaha meyakinkan Hayy bahawa kedatangannya tidak membawa apa-apa maksud yang tidak baik, Absal dan Hayy bersahabat karib.

Pada renungan Hayy, cara dia bertafakkur dan berhubung dengan Tuhannya, selari dengan agama yang dianuti oleh si Absal. Namun, akhirnya mereka berdua akur bahawa “agama” Hayy itu lebih asli berbanding amalan Absal yang hanya berorientasikan ritual semata.

Atas kesepakatan ini, Absal membawa Hayy ke negerinya yang bertamadun itu untuk memperkenalkan “agama tulen” si Hayy.

Hayy teruja

Teruja melihat penduduk negeri Absal beribadah sepertinya. Rukuk, sujud, semuanya serba serbi, banyak persamannya. 

Tetapi Hayy tidak lama begitu. Dia segera mengesan, bahawa segala perbuatan kaum dinegeri Absal itu hanya ilusi. Mereka melakukan ibadah secara kosong tanpa makna. Tidak faham mengapa rukuk, tidak tahu mengapa sujud. Justeru ibadah mereka tidak memberi bekas.  Tiada kesan. 

Kehidupan penduduk negeri itu sibuk dengan huruf-huruf pada teks aturan agama tetapi mereka kehilangan roh agama itu.

Hasrat Hayy untuk mencari manusia pintar yang boleh menerima dan mempelajari “agama tanpa nama”nya itu, tidak berhasil. Lantas Hayy dan Absal mengambil keputusan meninggalkan “negeri bertamadun” itu kerana pada hemat mereka, penduduk di situ tidak lebih dari seumpama binatang tidak berakal.

Mengapa? 

Seperti haiwan, hidupnya juga ada peraturan. Malah jarang sekali peraturan itu dilanggar. Tetapi haiwan itu tidak mampu memahami maksud agama Hayy, kerana mereka tiada akal. Manusia yang mengikut peraturan tanpa akal, haiwanlah mereka!

“Mereka bergantung sepenuhnya pada meniru pesan Nabi dan tradisi agama, secara melulu, tanpa berusaha untuk memahamimaksud perbuatan mereka itu,” simpul Hayy.

Pemurniaan Agama 

Apa yang dilakukan oleh Ibn Tufayl dalam novel fiksyennya ini, hampir sama dengan apa yang cuba dilakukan oleh Moses Maimonides kepada Judaism. Agama yang sudah menjadi ritual. 

Tetapi saya lebih terkasima dengan kisah Hayy ibn Yaqdhan ini. Lebih daripada ungkapan tentang Robinson Crusoe sebagai novel pertama Inggeris, lebih dariapda Moses Maimonides yang hidup lebih awal, sezaman dengan Ibn Tufayl. Kerana hakikatnya, kritikan Ibn Tufayl kepada masyarakat  Andalus melalui kisah Hayy ibn Yaqdhan dan Absal ini, masih relevan dan kena dengan kesengsaraan jiwa saya melihat kelakuan Muslim hari ini.

Agama menjadi ritual. Kita semakin beragama tetapi beragama tanpa Tuhan.

Bertuhan Tanpa Agama 

Terdahulu, saya kasihan melihat Eropah. Kekecewaan mereka terhadap agama Kristian  yang penuh kecelaruan dan bertentangan dengan asas akal manusia, ramai yang lari meninggalkan agama.

Tetapi ini tidak bermakna mereka lari meninggalkan Tuhan. Berbekalkan keyakinan  kepada Tuhan, mereka masih terus cuba mengenal pasti kehendak-Nya, tanpa agama. Lantas muncullah para saintis seperti Newton dan terutamanya François-Marie Arouet atau lebih dikenali dengan nama penanya Voltaire.                                                                                                              

Tentu sahaja jika diukur pada soal hablumminallah, maka mereka tidak teratur malah tidak tentu arah dalam cubaan menjustifikasikannya. 

Tetapi intisari di sebaliknya masih ada. Fahaman Deism, yang saya simpulkan sebagai “bertuhan tanpa agama”, sudah cukup untuk memahamkan kepada kita mengapa tanpa risalah Kenabian dan syariat yang jelas, Eropah masih boleh bangkit sebagai sebuah masyarakat yang sistematik dan bertamadun. 

Cetusan Sebuah Revolusi

Liberty… pembebasan.

Equality… kesamarataan.

Fraternity… persaudaraan.

Slogan itu adalah intisari Revolusi Perancis. Ia berperanan besar dalam mendefinisikan kembali apakah itu keadilan bagi sebuah pemerintahan. Keadilan yang menjadi subjek tertinggi turunnya syariat dari Pencipta alam kepada penghuni alam. Berlaku adil dan kehidupan, dan pemerintahan.

Tetapi sedarkah kita bahawa ketiga-tiga elemen itu, merupakan khasiat sebenar tauhid dan syahadah kita kepada Allah?

Apabila kita lafazkan ungkapan La Ilah… ia menjadi teras kepada sebuah pembebasan.

Membebaskan diri dari diperhambakan oleh diri yang lain. Jangan lagi ada manusia yang cuba menindas manusia lain. La Ilah menyuntik pembebasan. Revolusi Perancis melaungkan La Ilah pada ungkapan Liberté, dan kerana mereka kabur dengan Tuhan sebagai rujukan, 

Liberté itu berjaya mencetuskan pembebasan tetapi dengan pelbagai kesan sampingan. Akan tetapi seorang Muslim melaungkan La Ilah demi keluar dari penindasan dan perhambaan, lalu diikat kepada IllaLlaah! Bahawa kita keluar daripada perhambaan bukan kepada menjadi Tuan. Kita keluar daripada perhambaan sesama manusia, kepada pulang menjadi hamba kepada Dia, Allah Tuhan yang Maha Mencipta.

Kerana itu, antara komen awal yang diterima oleh Baginda s.a.w. tatkala melaungkan seruan La Ilaha IllaLlaah ialah “seruan ini dibenci raja-raja yang memerintah.” Sesiapa sahaja yang memahami maksud kalimah Tauhid itu akan tahu bahawa ia akan melucutkan hak menindas yang dinikmati oleh pemerintah. Perancis di Eropah bertolak dari liberté itu kepada égalité atau equality. 

Setelah manusia bebas daripada perhambaan sesama manusia, barulah mereka bersedia untuk menerima hakikat bahawa setiap insan dilahirkan sama. Tiada lebih Arab ke atas ajam, tiada lebih putih ke atas hitam, malah tiada lebih penguasa dan rakyat, kecuali semuanya sama dihadapan peraturan dan undang-undang. Seruan ini membawa kepada deklarasi tahun 1789, bahawa setiap individu adalah sama statusnya sama ada terhadap hak mendapat perlindungan undang-undang, atau hak dihukum oleh undang-undang 

Inilah juga kesan Tauhid bahawa perlindungan sebuah kerajaan bukan hanya kepada orang kaya, malah turut memberi jaminan kepada si miskin. Hukuman jenayah bukan hanya mengerat tangan si miskin, tetapi juga si kaya serta penguasa.

Kesamarataan ini adalah intipati keadilan. Dengannya manusia memandang manusia lain dengan rasa kebersamaan. Di atas titik itu mereka berupaya untuk hidup sejahtera, bekerjasama dalam lingkungan ukhuwah persaudaraan.

Jelek Terhadap Eropah

Kita mungkin jelek dengan Eropah dan jelek dengan usaha saya membuat perbandingan ini.

“Ada apa dengan Patriotisme ala Revolusi Perancis itu?” Bermuncung-muncung kita mengkritik. 

“Sama rata? Sama rata apa kalau perempuan memakan masa yang panjang dan susah payah yang jerih untuk sekadar membolehkan mereka itu ada hak memiliki harta, dan mengundi? Islam sudah lama begitu,” sombong seorang Muslim terhadap Eropah yang dipandangnya penuh jelek. 

Ya, jika mahu diungkit kekurangan Eropah, kekurangan itu memang banyak. Apatah lagi jika cerminnya adalah Islam yang silam. Memang jauh sekali hebatnya Islam berbanding Eropah. Tambah pula jangan dilupa, bahawa Eropah itu berTuhan tanpa agama 

Tetapi sebusuk-busuk Eropah, biar pun dengan ideologi yang pelbagai, mereka mampu bertolak ansur dengan sentimen masing-masing terhadap sempadan negara. Mereka mampu membentuk Kesatuan Eropah. Kita yang Muslim dengan satu Tuhan, satu Rasul, satu Kitab dan satu syariat itu, mampukah satu itu menghasilkan kesatuan?

Kesatuan Arab?

Kesatuan Negara Muslim?

Pencapaian terbaik kita setakat ini ialah bersetuju untuk tidak bersetuju. Jika tanpa agama, Eropah boleh memperelokkan struktur sosial, ekonomi dan politik mereka,apa perlunya mereka ini kepada Islam? Jangan main-main dengan soalan ini, kerana kita wajib bersedia menjawabnya.

Kita bangga dengan konsep Syura, tetapi sejauh mana pandangan orang ramai diambil kira? Usahkan orang ramai, sejauh mana pandangan pihak lawan di dalam medan sekecil parlimen, diambil kira? Tanya sahaja mana-mana negara Muslim, apakah ada Freedom, Equality dan Fraternity yang boleh diketengahkan untuk menandingi Eropah yang dipandang buruk itu?

Muslim Bagaimana? 

Kita ada serba serbi. Rujukan kita lengkap. Bukan sahaja lengkap, malah tiada dicabar kesahihannya. Persenjataan ilmu kita amat kukuh untuk mempertahankan ketulenan agama kita.

Tetapi, dengan agama yang sahih itu… apakah terbit nilai yang sebenar? Apabila Allah s.w.t. memerintahkan kita agar berlaku adil,

bfn 

 

Hasrizal Jamil

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.8


 

Hasrizal Abdul Jamil

Lahir di Ipoh, Perak dan mendapat Ijazah Sarjana Muda (Hons) Syariah dan Pengajian Islamic, dari Universiti Mu’tah, Jordan. Berpengalaman sebagai guru, pengetua dan imam sambilan di Northen Ireland, dan pernah menjadi Pen. Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Sedang menyambung pelajaran di peringkat Sarjana, Sains Kemanusiaan (Sejarah dan Tamadun) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Di samping sebagai kolumnis beberapa majalah, beliau kini beliau sebagai kaunselor pesakit di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Beliau aktif di dalam laman web beliau, www.saifulislam.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

gb0043 gb0043

Related items

Kembali ke atas