Menu

 

A+ A A-

PERLUNYA MANUSIA KEPADA TUHAN

“KALAU kamu setuju bahawa kamu perlukan Tuhan dalam hidup ini, baru saya boleh jelaskan mengapa kamu kena solat. Jika kamu setuju bahawa kamu perlu bersolat kerana kamu perlukan Tuhan dalam hidup ini, baru saya boleh jawab soalan mengapa kamu kena pakai tudung!”

Itu penjelasan yang sering saya ulang dalam ceramah, ketika mengulas perbualan saya bersama dengan dua orang remaja yang memaksa saya memerah otak untuk membezakan antara presenting problem dengan real problem. Masalah yang kelihatan ialah dia enggan memakai tudung, enggan bersolat dan mahu membela anjing di rumah.

Tetapi masalah yang lebih besar, ialah kegagalan beliau melihat, apakah beliau perlu kepada Tuhan dalam hidup ini? Justeru masih relevankah agama dalam saki-baki kehidupan dunia akhir zaman ini? Jika persoalan “Perlukah Manusia kepada Tuhan” tidak diselesaikan, tiada makna kita membebel marahkan orang yang enggan bersolat. Kita mahu menyuruhnya bersolat untuk menyembah apa? Menyembah siapa? Seandainya hal ini tidak selesai, segala nasihat tentang tudung, aurat, berpakaian sopan dan sebagainya adalah seumpama bunyi “motor rempit” melintas di depan rumah. Mengganggu ketenteraman awam, dan menyakitkan telinga.

Berfikir, “Perlukah mereka kepada Tuhan?” Itulah sebesar-besar persoalan yang mesti diselesaikan, sebelum segala wacana agama mahu diketengahkan. Sekurang-kurangnya Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri telah memulakan kitabnya bertajuk dengan topik, “Keperluan Manusia kepada Akidah”.  Persoalan mengapa manusia perlu kepada agama, didahulukan sebelum aspek-aspek lain diketengahkan untuk perbahasan.

Namun sejauh mana pendakwah menghalusi keperluan menyelesaikan persoalan ini seperti yang ditunjukkan oleh Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri, sebelum dengan mudah kita berbahasa klise, “Akidah Itu Penyelesaian?” Inilah isu yang memaksa saya untuk meneliti persoalan-persoalan asas tersebut, kerana saya amat terganggu dengan hakikat semasa bahawa manusia sudah terputus talian dengan Tuhan.

Jika pada era hidup yang serba susah, kita menyuruh manusia beriman kepada Tuhan demi mencari kekuatan, ia tentu tidak rumit. Tetapi dalam suasana kehidupan manusia yang serba ada pada hari ini, bagaimanakah Tuhan dan akhirat, masih relevan?

Pengalaman Beragama
Saya suka meminjam sebahagian pengalaman rene Descarte (1596-1650) dalam usahanya membina asas kebenaran. Bersekolah di Jesuit School La Flêche, beliau menghabiskan pengajian dengan soalan paling besar, “Apakah apa yang kupelajari selama ini, adalah benar?” Alangkah segarnya diri, untuk menghumban segala ilmu yang dikumpul di atas segulung ijazah, dan kemudian membina semula kepercayaan hasil pilihan, bukan lagi sumbatan, warisan dan indoktrinasi yang melesu lagi merabunkan.

Lantas beliau mula mempertikaikan segala yang dipelajarinya selama ini, meragui segala-galanya sehingga akhirnya Descarte tiba kepada asas yang paling kukuh, yang tidak mungkin ada sebarang keraguan iaitu hakikat diri! Beliau tidak dapat meragui dirinya kerana beliau dapat merasakan bahawa Dirinya adalah realiti, bukan ilusi.

Beliau dapat memastikan dirinya realiti, kerana beliau melakukan sesuatu yang penting iaitu berfikir. Berfikir menjadikan dirinya realiti, dan bukan bermimpi, jauh sekali berilusi. Lantas terpacul kata-katanya yang masyhur: Dubito, ergo cogito, ergo sum! (Aku meragui, lantas kuberfikir. Aku berfikir, lantas kutemui diri!) Itu cara Descarte mencari kebenaran untuk dirinya. Rasional sekali, memulakan kembara dengan mengenal pasti diri. Berfikir lalu bertemu diri.

Kenal Diri
Jalan membina kepercayaan harus terbina atas usaha manusia mengenal diri. Itulah asasnya agama kita mengajar: “Sesiapa yang kenal akan dirinya, maka kenallah dia akan Tuhannya.” [Abu Muzaffar ibn al-Sam’ani mengatakan kaul ini tidak thabit sebagai hadis. Ia diriwayatkan daripada Yahya ibn al-Muadz al-Razi, kaul ini ialah kaul Yahya. Imam al- Nawawi juga memberikan pandangan yang sama iaitu ia tidak thabit sebagai hadis Nabi s.a.w. (Keterangan oleh Imam Sakhawi dalam Madasud al-Hasanah)]

Kenal Tuhan Melalui Jalan Kenal Diri…
Itulah kuncinya untuk manusia kembali menjalin hubungan dengan Tuhan. Iaitu hasil keupayaan mengenal diri. Soalnya ialah, apakah aspek diri yang mahu dicari? Manusia yang meneroka diri, akan bertemu dengan satu realiti; yakni setiap insan, mempunyai kekuatan dan kelemahan. Kekuatan dan kelemahan inilah yang mesti dikenal pasti, untuk manusia meneroka dan mengenal diri. Manusia yang sedar bahawa hidupnya harus berperanan akan memaksa diri untuk mencari potensi. Semuanya atas keyakinan bahawa tiada manusia yang lahir dengan asal kebodohan, sebaliknya setiap insan lahir dengan kepandaian yang berbeza-beza.

Apa yang membodohkan seorang manusia adalah segala yang ada di sekitarnya. Mungkin ibu bapa, malah mungkin juga guru dan sekolah itu sendiri. Sekolah tidak sepatutnya melahirkan pelajar yang pandai dan pelajar yang bodoh. Sebaliknya sekolah mesti melahirkan pelajar yang berbeza-beza kepandaian. Tugas sistem pendidikan adalah untuk meneroka potensi kelebihan setiap pelajar, bukan mengasingkan pelajar yang tidak mengikut bentuk kepandaian yang diselaraskan. Tetapi manusia tidak akan dapat mengenal pasti kelebihan diri jika dia hidup ala kadar. Kerja ala kadar. Berfikir ala kadar. “Buat kerja betul, betul-betul!” kata bijak pandai.

Mengusahakan sesuatu secara bersungguh-sungguh akan mempercepatkan manusia menggunakan segala kekuatan dan kelebihan diri. Setelah segala kekuatan diri dikenal pasti, bertemulah dia dengan batasan dan kelemahan diri. Itulah jalan saintis bertemu Tuhan. Baginya sains bukan sekadar penerokaan peluang, tetapi ukuran terhadap batasan mutlak di kiri dan kanan. Batasan itu bukan berpunca daripada alam yang kelihatan, tetapi daripada diri yang terlalu kerdil untuk menggarapnya.

Itulah akibatnya meneroka angkasa lepas, bahawa manusia dan sains terlalu kerdil untuk menawarkan jawapan kepada persoalan alam. Kebanyakan yang kita fahami tentang angkasa ialah tafsiran data dan jauh daripada kesan pengalaman. Data yang membuktikan kesempurnaan sistem alam, dan kelemahan penghuninya yang bernama manusia. Saintis menjadi manusia yang lemah dan terbatas, di hadapan kesempurnaan system yang dibuktikan, kesempurnaan Tuhan.

Kekuatan Menemukan Kelemahan
Allah memberikan manusia kelebihan untuk kita berperanan. Allah memberikan manusia kelemahan untuk kita mencari Dia. Manusia tidak mampu sentiasa kenyang. Sampai masa, dia akan lapar. Dan kelaparan itu mendesak dirinya mencari makanan. Hasil makanan, kelemahannya dapat diatasi. Buat sementara. Manusia tidak mampu untuk sentiasa segar. Dia akan letih dan mengantuk.

Tanpa perlu diajar-ajar, keletihan dan mengantuk itu mendesak dirinya untuk mencari kerehatan. Hasil kerehatan, manusia memulihkan kekuatan. Buat seketika. Itu kelemahan fizikal manusia. Tanpa perlu diajar-ajar, kelemahan itu memandu manusia kepada sumber kekuatan untuk mengatasinya. Kelemahan yang muncul dalam bentuk kelaparan, mendesak manusia mencari kekuatan melalui makan. Kelemahan yang muncul dalam bentuk letih dan mengantuk, mendesak manusia mencari kekuatan melalui kerehatan dan tidur. Kelemahan dan batasan manusia bukan hanya pada fisiologi dirinya, bahkan jiwa, emosi dan rohani.

Tanpa perlu diajar, manusia yang ditindas dan dizalimi akan merintih jiwanya mencari keadilan. Rintihan jiwa manusia yang dizalimi mencari keadilan, dan itulah jalan untuk dia bertemu dengan Tuhan. Di situ Allah memperkenalkan Diri-Nya sebagai Yang Maha Adil (al-‘Adl). Tanpa perlu diajar, manusia yang keresahan dan ketakutan, akan merintih jiwanya mencari keamanan dan keselamatan.

Rintihan jiwa manusia yang hidup dalam keresahan dan ketakutan itu, ialah jalan untuk dia bertemu Tuhan. Di situ Allah memperkenalkan Diri-Nya sebagai Yang Maha Sejahtera (al-Salam) dan Yang Maha Mengamankan (al-Mu’min). Di situlah tujuan Allah s.w.t. memperkenalkan Diri-Nya dengan 99 nama, agar setiap manusia datang kepada-Nya melalui tawaran kekuatan, tatkala manusia dibelenggu kelemahan.

Soalnya...
Manusia akan hanya berhajat kepada Tuhan, apabila mengiktiraf kelemahan diri. Kelemahan diri tidak akan tertonjol jika manusia tidak bersungguh-sungguh mengoptimumkan upaya diri. Kesungguhan itu tidak ada jika manusia malas dan acuh tidak acuh terhadap kehidupan. Justeru jatuhlah hukuman paling berat di alam ini, ke atas jenayah paling binasa apabila manusia hidup sambil lewa dan malas berfikir. Malas itu dosa kerana ia menyekat manusia dalam kewajipan mengenal diri dan mengenal Tuhan.

Manusia inilah yang menyangka dirinya tuhan… “Tidakkah engkau perhatikan gelagat orang yang bertuhankan hawa nafsu dirinya sendiri? Dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” (Surah al-Jathiyah 45: 23) Sedangkan hakikatnya, dia lebih sesat dari haiwan ternakan…“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti haiwan ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al- A’raf 7: 179)

Kedua-dua ayat di atas, mengaitkan hidup manusia yang bertuhankan diri, serta hidup ala haiwan, yang berpunca daripada akal, mata, telinga dan hati yang tidak berfungsi. Kedua-duanya berpunca daripada keengganan berfikir dan memerhati kehidupan. Diberi akal, mata dan telinga untuk melihat dengan hati… tetapi kesibukan duniawi menjadikan manusia lupa siapa dirinya dan siapa Dia. Selayaknya manusia yang alpa ini dihukum Tuhan kerana culas dan malas dalam Mencari. ¤

 

Hasrizal Abdul Jamil
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.4


Hasrizal Abdul Jamil

Lahir di Ipoh, Perak dan mendapat Ijazah Sarjana Muda (Hons) Syariah dan Pengajian Islamic, dari Universiti Mu’tah, Jordan. Berpengalaman sebagai guru, pengetua dan imam sambilan di Northen Ireland, dan pernah menjadi Pen. Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Sedang menyambung pelajaran di peringkat Sarjana, Sains Kemanusiaan (Sejarah dan Tamadun) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Di samping sebagai kolumnis beberapa majalah, beliau kini beliau sebagai kaunselor pesakit di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Beliau aktif di dalam laman web beliau, www.saifulislam.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

gb0043 gb0043

Kembali ke atas