Menu

 

A+ A A-

TAFSIR AL-ASR

PARA ulama berbeza pandangan tentang surah ini, apakah ia merupakan surah Makkiyah ataupun surah Madaniyyah. Nama surah al-Asr ini ditafsirkan oleh para sarjana linguistik contohnya al-Raghib al-Asfahaniy dalam Mufradat Alfaz alQuran berasal daripada “Asara” yang membawa makna memerah ataupun menekan sesuatu.

Dalam bahasa Arab angin yang mempunyai tekanan yang kuat sehingga mampu menyebabkan malapetaka turut dipanggil I’sar.

Para ulama dalam kalangan ahli tafsir seperti Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi  mengemukakan pandangan daripada Qatadah dari Ibn Abbas menjelaskan “al-asr”dalam  surah ini merujuk kepada waktu yang terakhir daripada siang sebelum masuknya malam.

Terdapat juga beberapa tafsiran para ulama lain, contohnya Sultan al-Ulama Al-Izz bin Abdul Salam yang mengatakan bahawa al-Asr itu merujuk secara umum kepada masa atau waktu, solat Asar yang sering dipanggil sebagai “solat al-wusta”. Bahkan ada yang mentafsirkan sebagai hayat Nabi s.a.w. Kebanyakan pandangan ini adalah bersumberkan kepada pandangan Hibr al-Ummah Abdullah bin Abbas. Pandangan masyhur dalam kalangan para mufassir cenderung mengatakan bahawa al-Asr merujuk kepada waktu Asar. Menurut pengarang Tafsir al-Manar, Allah memulakan surah ini dengan bersumpah dengan waktu Asar, kerana kebiasaan orang Arab pada masa turunnya alQuran mereka akan duduk bersembang-sembang tentang hari yang dilalui. Dalam perbualan itu sering terjadi mereka mempersalahkan waktu atau hari yang  dilaluinya. Juga tidak kurang pula menganggap sial pada nasib yang tidak menyebelahi mereka, mungkin disebabkan kerugian dalam perniagaan, penipuan yang dilakukan oleh orang lain kepada mereka dan lain-lain.

Pandangan yang disetujui oleh penulis adalah pandangan jumhur ulama yang mentafsirkan  Al-Asr sebagai waktu. Maksud waktu menerusi tafsiran ini: Allah s.w.t bersumpah demi waktu bagi menyatakan kepentingan pengisian waktu dengan cara yang dianjurkan oleh Islam. Waktu adalah modal utama manusia, apabila diabaikan daripada mengisi dengan cara yang betul, maka ia akan berlalu begitu sahaja.

Bersesuaian seperti kata Sayidina Ali r.a.: “Rezeki yang tidak diperoleh pada hari ini masih mampu diperolehi pada hari esok, tetapi waktu yang telah berlalu pada hari ini tidak mungkin akan kembali esok.”  Perkataan “al-insan” merujuk pada manusia keseluruhannya tanpa kecuali, baik orang yang beriman mahupun bukan Islam. Sesetengah para mufassir menjelaskan bahawa manusia yang dimaksudkan walaupun umum, tetapi tidak mencakupi mereka yang tidak mukalaf; seperti anak yang belum baligh, orang gila dan orang yang tertidur.

alasr

Perkataan “khusr”pula mempunyai banyak maksud, antara lain ialah rugi, sesat, celaka, lemah, tipu helah dan makna-makna yang membawa kepada negatif yang tidak disenangi oleh sesiapa pun. Penggunaannya yang berbentuk indefinite, memberikan erti kepelbagaian bentuk kesesatan.

“Lafi” pula adalah kombinasi huruf lam yang mengandungi makna sumpah dan huruf fi yang mengandungi makna tempat. Gabungan ini mengisyaratkan bahawa keseluruhan manusia berada dalam satu wadah kerugian.

Memanfaatkan Waktu

Untuk mengelakkan individu terjerumus ke dalam lembah kerugian, manusia mesti memanfaatkan waktu. Manusia menjadi rugi apabila tidak mengisi masa ataupun tersilap dalam mengisi masa. Di sini banyak saranan dalam hadis yang memperingatkan kita supaya  menggunakan waktu dengan betul. Contohnya sebuah hadis sahih riwayat al-Tirmizi  yang bermaksud:

“Tidak akan berganjak kaki seseorang itu pada hari kiamat sehinggakan dia ditanya  tentang umurnya, bagaimanakah dia menghabiskannya; tentang ilmunya apakah yang dilakukan dengannya; tentang hartanya, dari mana diperolehinya dan bagaimanakah dia membelanjakannya; dan tubuhnya bagaimanakah dia menggunakannya.” (Riwayat  al-Tirmizi no. 2602)

Intisari hadis di atas menjelaskan kepada kita bagaimana pentingnya pengisian waktu  dalam kehidupan Mukmin bagi menyelamatkannya daripada kerugian dunia dan akhirat.

Ayat pertama menegaskan bahawa manusia berhadapan dengan kerugian yang beraneka  bentuk. Namun dalam ayat yang terakhir Allah s.w.t. mengecualikan golongan manusia yang melakukan empat kegiatan penting iaitu:
-    Beriman.
-    Melakukan amal-amal soleh.
-    Saling berwasiat dengan kebenaran.
-    Saling berwasiat dengan kesabaran.

Imam al-Qurtubi membawakan sebuah riwayat yang mauquf kepada Ibn Abbas bahawa beliau mentafsirkan golongan yang beriman sebagai Abu Bakar, beramal soleh sebagai Umar r.a., berpesan dengan kebenaran sebagai Uthman bin Affan r.a. dan berpesan dengan kesabaran sebagai Ali r.a. Walaupun pandangan ini bukanlah suatu yang sahih daripada Nabi, namun Ibn Abbas r.a. yang terkenal dengan julukan pendeta umat ini, tentu mempunyai sebab yang konkrit menobatkan keempat-empat sahabat ini sebagai yang dimaksudkan oleh Allah menerusi ayat tersebut.

Iman secara ringkas seperti yang disepakati oleh Ahli Sunah Waljamaah adalah pembenaran oleh hati terhadap keenam rukun iman yang diimani oleh semua Mukmin. Islam ini secara dasarnya berdiri di atas dua asas, iaitu yang pertama bersifat pengetahuan sedangkan yang kedua adalah berteraskan kepada amalan. Atas dasar ini kefahaman kepada frasa “allazina amanu” adalah berkaitan dengan pengetahuan yang berpaksikan kebenaran. Beramal soleh pula dijelaskan sebagai mengerjakan aktiviti yang bermanfaat dan sesuai dengan tuntutan iman. Banyak hadis yang telah memberikan penjelasan tentang pekerjaan atau aktiviti yang dikategorikan sebagai amal soleh. Imam al-Nawawi mengemukakan dalam Riyad al-Solihin sebuah bab yang dinamakan sebagai  “Banyaknya Jalan-Jalan Kebaikan (Amal Soleh)”.

Imam Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat 8889 daripada surah al-Syu’ara menjelaskan: “Amal soleh yang dikerjakan mesti memenuhi dua syarat. Pertama, mestilah selari dengan apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan kedua, ia hendaklah dikerjakan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata.”

Apabila seseorang itu telah beriman kepada Allah dan diikuti dengan melakukan amal soleh, maka dia telah memenuhi seperdua daripada tuntutan yang akan mengelakkan dia daripada tergolong sebagai orang yang rugi. Dan dia masih terikat dengan dua syarat lagi, iaitu keperluannya menjalin hubungan dengan individu lain.

Pemilihan nama al-insan itu sendiri dalam bahasa Arab adalah berasal daripada perkataan “anis” yang mengisyaratkan keperluannya untuk berteman. Ahli sosiologi Islam, Ibn Khaldun mengatakan bahawa manusia merupakan makhluk yang bersifat sosial. Cuma kehebatan mesej al-Quran apabila ia menerangkan bahawa jalinan itu hendaklah berdiri di atas dasar iman yang signifikan dengan kalimah “alhaq”. Sesetengah ahli tafsir, contohnya Ibn al-Jawzi dan al-Khazin mentafsirkan kalimah “Haq” itu sebagai akidah yang benar, dan tidak kurang pula yang mentafsirkan dengan Allah s.w.t. sendiri.

Mengenai “al-sabr” pula, Muhammad Ali Al-Sabuniy dalam al-Safwat memilih pan dangan  Imam al-Qurtubi bahawa penting bagi setiap Mukmin yang ingin selamat dari pada kerugian, agar bersabar atas segala ujian dalam hidup.

Sungguh tepat kesimpulan yang dibuat oleh al-Allamah al-Sawiy Hasyiat alSawiy tentang ayat-ayat ini. Kata beliau: “Surah ini memberikan penekanan yang khusus tentang kepentingan menjalin hablumminallah (hubungan dengan Allah) berupa ketaatan dan amal soleh dan dalam masa yang sama hubungan dengan manusia (hablumminannas) yang diterjemahkan dengan ikatan kemasyarakatan yang sihat berteraskan tradisi nasihat menasihati kerana Allah s.w.t.”

Demikian surah al-Asr merupakan kepada seluruh manusia. Imam Syafi’i yang mengatakan: “Jika manusia menghayati kandungan surah ini, maka sesungguhnya cukuplah ia memberikan petunjuk bagi kehidupannya.”

 

Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5


Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas