Menu

 

A+ A A-

JANGAN SAMPAI HILANG MALU

MALU adalah sifat terpuji, namun begitu ia jarang ditemui sehingga hilangnya ‘common sense’ yang semakin kritikal kebelakangan ini. perkara ini adalah sebahagian kesan daripada globalisasi yang perlu dirawat dan diseimbangkan bagi melahirkan generasi al-quran (gen-q) di masa hadapan.

Menukar pakaian di hadapan orang lain tanpa menjaga aurat adalah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan sama ada di asrama, dalam rumah, tandas awam, mahupun di pejabat. Bahkan berpakaian seksi khususnya bagi wanita sama ada ketat atau jarang sehingga menampakkan susuk tubuh dan adakalanya terlalu menarik perhatian dengan ‘cutting’, atau warna dan coraknya sehingga tiada langsung rasa bersalah.

Masalah hilangnya sifat malu dari sudut percakapan dan tingkah laku juga semakin membarah. Contohnya percakapan membahasakan diri ‘aku’ dan ‘engkau’ pada orang yang lebih tua daripada kita; melaung, menjerit, menengking di khalayak ramai; mencarut dengan istilah yang semakin sukar difahami; memanggil rakan dengan gelaran yang mengaibkan; memfitnah sesuka hati sehingga menjatuhkan karier seseorang; bahkan akhirnya dengki dan mengharapkan kecelakaan dengan nikmat Allah yang dikurniakan kepada orang lain sehingga membawa kepada pembunuhan yang tragis dihujung episodnya.

Hilang rasa malu

Jika dibiarkan ‘hilangnya rasa malu’ tersebut, maka tidak mustahil sifat itu nanti akanmencapai tahap ‘flying colours’ ke arah ‘Mujaharah bil Maksiat’ – berterang-terangan tanpa segan silu dalam melakukan maksiat. ingatlah, melakukan jenayah dan maksiat adalah salah dan haram, dan melakukannya secara terang-terangan pula adalah dua kali lebih salah dan amat bahaya.

Dalam riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Kebaikan itu adalah baik akhlak manakala kejahatan pula adalah sesuatu yang tidak tenang di hatimu dan kamu malu apabila perbuatan yang dilakukan itu disaksikan oleh orang lain.” Segalanya berbalik kepada pendidikan kerana ia adalah punca permasalahan ini. ia dimulakan di rumah. Ibu bapa adalah insan yang paling lama hidup bersama anak-anak mereka dan paling layak mencorakkan acuan anak-anak mereka. Mana mungkin acuan bahulu yang berbentuk ikan boleh mengeluarkan bahulu yang berbentuk daun, kan?

Malangnya institusi ini kian roboh dan diabaikan dek gila mengejar dunia yang disangkakan matlamat hidup dan kebahagiaan. Anak-anak terus tercari-cari seseorang yang boleh memberikannya perhatian dan kasih sayang. Disebabkan itu, maka kasih sayang ini cuba dicari di luar rumah dan malangnya terjumpa pula dengan yang terlarang – ‘buaya-friend’ atau ‘geli-friend’. Akhirnya kecundanglah dia.

Siapa yang membimbing minda?

Sebagai remaja, pengaruh daripada persekitaran mudah membentuk minda ke arah kebaikan atau sebaliknya. Disinilah peranan utama media massa – sama ada bahan bercetak mahupun elektronik – yang mencorakkan minda seseorang. Kebanjiran bahan-bahan hiburan ala hedonisme terus mendapat sambutan dan dipromosikan dengan begitu galak sekali. inilah masalahnya. sebenarnya jika dibendung dan diawasi kandungan semua ruangan atau rancangan, maka gejala sosial dan ‘hilang malu’ ini dapat diatasi. Tepuk dada tanya selera dan hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Untuk penutup, marilah kita cuba mengamalkan perkara ini bagi mengembalikan sifat malu yang kian sirna itu:

1 Mengamalkan ‘magic words’ dalam setiap komunikasi seharian kita – 4B-ATM.

B(1): Boleh tolong saya (minta bantuan)?

B(2): Boleh ajarkan saya (merendah diri)?

B(3): Boleh saya tahu mengapa…(tidak menghukum)?

B(4): Bagus…(pujian).

A: Apa kata kita…(memberi cadangan bukan arahan).

T: Terima kasih (banyakkan penghargaan).

M: Maafkan saya (jika melakukan kesilapan).

2 Memilih majlis ilmu yang membina jiwa dan kefahaman serta bersifat menyeronokkan sama ada secara langsung atau di talian (online). ini boleh membantu seseorang itu cintakan ilmu dan pendidikan.

3 solat berjamaah yang merupakan latihan sosial yang terbaik dan sangat memerlukan kesabaran bagi diterjemahkan dengan sebuah tindakan yang berakhlak dan bukannya semakin hilangnya sebuah sifat pemalu.

Jadi…anda mampu mengubahnya! insya-Allah.

 

Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6


 

Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin

Penceramah Personaliti TV

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas