Menu

 

A+ A A-

KESERONOKAN TIDAK TERARAH

BILAMANA kita sakit, apakah jawapan terbaik untuk mengubati sebuah penyakit? Seluruh dunia telah mengetahuinya iaitu pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Ayuh kita tukarkan penyakit yang parah itu – yang membunuh dan menjijikkan orang yang melihatnya itu – kepada maksiat. Ini bermakna maksiat itu menyusahkan, maksiat itu penderitaan, maksiat itu kos, maksiat itu menjijikkan, maksiat itu perlu dihapuskan dan yang terbaik maksiat itu perlu dicegah sebelum terjadi. Itulah kata kuncinya.

Antara sebab yang kuat untuk datangnya maksiat yang jijik itu ialah sebuah ‘kekosongan’ dan sebuah kehidupan yang tiada ‘perancangan’. Apabila seorang kekosongan, dia lebih cenderung untuk melakukan apa yang seronok pada pandangannya, tetapi kebanyakan keseronokan berkembar dengan sesuatu yang lalai, tidak terarah dan dekat dengan hawa nafsu yang jahat. Maka bukankah ia semakin dekat dengan penyakit dan maksiat? Justeru sibukkan dirimu dengan sebuah perancangan yang menyeronokkan, hebat, terarah dan bermanfaat.

MERANCANG PERLAKUAN

Gagal merancang ertinya merancang untuk kecundang dan kecewa. Fikirkan satu aktiviti yang anda suka dan teruja untuk melakukannya. sesuatu yang anda boleh lakukan dan mendatangkan hasil yang agak lumayan. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan anda mampu berfikir dan mencari jalan untuk menjayakan aktiviti itu. Juga yang terpenting, aktiviti itu akan menjadi sebutan baik oleh orang kebanyakan dan ia perkara yang betul di sisi islam.

Fikirkan jawapannya? itulah diri anda yang sebenar untuk anda sibukkan sebuah kekosongan tadi dengan matlamat dan cita-cita anda yang ‘real’ di muka bumi Allah sebelum ‘pergi tak kembali’. Usahakan ia, fokuskan ia, rancangkan ia, walaupun secara berdikit-dikit. ingat, masa kosong saja buat benda ini. Dengan itu, pasti maksiat tidak sempat menjenguk.

MELAYAN KENANGAN

3Mari kita mengimbau di zaman kanak-kanak dulu. Bilakah waktu yang paling seronok dan sukar dilupakan? ha…jawapannya mesti tak lari daripada interaksi, perhubungan dan huru hara, kan? itulah fitrah jawapan daripada seorang kanak-kanak yang tidak berdosa yang menilai dengan jujur. Ini bermakna aktiviti berkumpulan dan berorganisasi adalah kata kuncinya.

Adakah kita seronok dengan komputer atau video games dan alatan-alatan lain yang tidak beremosi itu? Ya, mungkin seronok, tetapi yakinlah ia hanya seketika. Kalau lama sedikit pun, ia perlu dimainkan menggunakan lebih daripada seorang manusia. Bukankah itu tabiat dan fitrah manusia yang saling memerlukan orang lain dalam kehidupannya?

Manusia, manusia dan manusia sebagai subjeknya bukan peralatan. Tetapi soalnya kenapa adakalanya kita memandang dingin dan sepi kepada aktiviti-aktiviti berkumpulan yang sihat dan bermanfaat?

Cuba fikirkan – apabila anda menyendiri, anda adalah umpama kambing yang lari daripada kumpulannya. Bila-bila masa risiko diterkam serigala terdedah dan sangat tinggi berbanding jika kambing itu berada dalam kumpulan. Serigala itu dinisbahkan kepada maksiat. Bahaya betul maksiat ni ye?

keseronokan

AKTIVITI YANG TERHINDAR DARIPADA MAKSIAT

Apa pula yang perlu dibuat untuk mencari aktiviti berkumpulan ini? idea yang termudah dan termurah bahkan insya-Allah ‘termantop’ pastinya masjid dan surau yang berhampiran. Paling-paling tidakpun ada kawan-kawan yang boleh bawa bersembang usai solat berjemaah atau sebelumnya. Itu belum lagi cerita bab aktiviti masjid dan surau yang semakin kreatif dewasa ini.

Akhirnya, disebabkan maksiat ini cukup bahaya, jom kita tingkatkan rasa sensitiviti terhadapnya: iaitu merasa tidak selesa dan bersalah untuk melakukannya. Jangan sampai ia semakin kritikal apabila kita merasa tidak bersalah melakukannya. ia juga semakin parah apabila kita seronok melakukannya dan akhirnya kanser tahap 4 jika membela pula maksiat yang kita lakukan itu! Tunggulah kehancuran dahsyat di dunia apatah lagi akhirat yang kekal abadi.

 

Ustaz Zamri Zainuldin

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 04

 


 

Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin

Penceramah Personaliti TV

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Artikel berkaitan: « TEMAN MENCERMINKAN DIRI KITA
Kembali ke atas