MERUNGKAI KEMUSYKILAN: SOLAT QASAR SOAL JARAK PERJALANAN
LATAR BELAKANG: Solat ialah penghubung antara kita dan Allah. Di mana-mana sahaja, walau dalam apa jua keadaan, kita wajib menunaikan solat. Allah Maha Mengetahui. Dia tahu keadaan kita yang sentiasa berhadapan dengan situasi susah dan senang silih berganti. Ada masanya kita bersenang-lenang duduk di kediaman. Ada masanya kita perlu bermusafir dan resah gelisah duduk berjauhan. Namun Allah memberikan rukhsah (kemudahan) solat qasar dan jamak dalam situasi tersebut.
Secara umumnya, kemusykilan berkaitan solat qasar berlegar sekitar tiga persoalan induk:
1. Jarak perjalanan yang dibenarkan solat qasar.
2. Kawasan mukim atau sempadan dalam menentukan status diri sama ada bermukim atau musafir.
3. Tempoh masa yang dibenarkan solat qasar.
Berikut adalah beberapa contoh soal jawab berkaitan soal jarak perjalanan yang dibenarkan solat qasar. Mudah-mudahan ia boleh menjadi panduan umum buat musafir.
Gabung Jarak Perjalanan Dua Hala
Soalan:
Saya akan bermusafir ke satu tempat yang jaraknya dari rumah saya sejauh 60 kilometer. Jika dihitung pergi dan balik, maka jaraknya 120 kilometer. Bolehkah saya mengqasarkan solat?
Jawapan:
Dukacitanya tidak boleh. Jika menurut mazhab Syafi‘i, perjalanan jauh itu mestilah dengan jarak 89 kilometer sehala, barulah kita dibolehkan mengqasarkan solat. Kecuali perjalanan itu seperti bulatan.
Keliru Tentang Jarak
Soalan:
Saya keliru tentang jarak sebenar perjalanan yang dibolehkan solat qasar. Ada buku menyebut jaraknya 83 kilometer. Ada ustaz pula kata jaraknya 87 kilometer. Ada juga pendapat menyebut 89, 90, 91 dan 92 kilometer. Mana satu yang betul? Saya rasa hal ini perlukan kepastian kerana walaupun berbeza satu kilometer, ia perbezaan jarak yang besar! Mohon penjelasan.
Jawapan:
MUKADIMAH: Hakikatnya, tiada nas yang jelas menetapkan had tertentu bagi jarak perjalanan yang dibenarkan qasar solat. Justeru para ulama berijtihad dalam hal ini. Secara umumnya mazhab Syafi‘i, Maliki dan Hanbali sepakat menetapkan jarak perjalanan tersebut mestilah sejauh dua marhalah. Manakala mazhab Hanafi menetapkan jaraknya tiga marhalah. Pun begitu mereka juga tidak sependapat dalam menetapkan keadaan dan kadar marhalah tersebut.
Jadi terdapat sekitar 20 ijtihad berkaitan jarak perjalanan yang membolehkan qasar solat ini. Kesemua anggaran yang saudara nyatakan ada dalam ijtihad para ulama. Justeru tidak boleh menidakkan orang lain yang mengambil mana-mana anggaran jarak yang dia pelajari dan amalkan.
RINGKASNYA: Menurut kebanyakan ulama Syafi‘i, anggaran dua marhalah pada zaman sekarang ialah bersamaan 81 kilometer. (Al-Fiqh al-Manhaji) Ada juga yang mengiranya menjadi 89 km. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu) Justeru berpegang dengan anggaran ini juga sudah tidak mengapa.
TAMBAHAN: Dua Marhalah Zaman Dahulu
Marhalah sebenarnya merujuk kepada perhentian rehat bagi satu perjalanan seharian. Masyarakat dahulu biasanya melakukan perjalanan seharian sama ada:
1. Dari pagi sampai ke petang sebelum berhenti rehat atau tidur pada waktu malamnya.
2. Dari awal malam sampai ke pagi sebelum berhenti rehat atau tidur pada waktu malamnya.
3. Perhentian rehat mereka setelah melakukan perjalanan seharian itu disebut marhalah. Jadi perjalanan dua marhalah (dua kali berhenti rehat) ialah perjalanan yang mengambil masa selama dua hari dua malam.
Oleh sebab itulah ada ijtihad ulama menetapkan bahawa tempat yang dituju mestilah perjalanannya mengambil masa selama dua hari dua malam. Menurut mazhab Hanafi pula, perjalanan itu hendaklah selama tiga hari tiga malam (tiga marhalah).
Mereka juga memperincikan ciri perjalanan tersebut. Ada ulama yang menetapkan keadaan perjalanan itu dikira dengan berjalan kaki atau menaiki unta atau membawa bersama unta yang membawa barangan yang berat. Dalam erti kata lain, ia perjalanan yang perlahan atau sederhana sahaja.
Mereka juga berbeza hasil dapatan apabila membuat penyamarataan pada ukuran jarak. Pada zaman itu, jarak dikira dengan unit ukuran zira‘ (hasta), mil (batu), farsakh dan barid.
Jarak Perjalanan Kurang Sedikit
Soalan:
Saya menetap di Shah Alam. Saya perlu ke Kuala Kubu Bharu selama dua hari atas urusan kerja. Namun anggaran perjalanannya sekitar 81 kilometer sahaja. Bolehkah saya menjamakkan dan mengqasarkan qasar solat saya sepanjang perjalanan ke sana?
Jawapan:
Boleh, insya-Allah. Ini jika berdasarkan ulama yang menetapkan bahawa ketetapan jarak tersebut sebagai anggaran sahaja. Maka perbezaan sedikit tidak mengapa. Bagaimanapun jika menurut ulama yang menegaskan bahawa ketetapan jarak itu sebagai had minimum bagi jarak perjalanan yang dibenarkan qasar, maka tidak boleh.
Namun pendapat yang menetapkan bahawa kadar jarak tersebut sebagai anggaran sahaja lebih tepat. Realitinya ulama silam pun tidak sependapat dalam penetapan kadar jarak. Bahkan ada direkodkan bahawa generasi salaf melakukan qasar dalam perjalanan yang kurang daripada jarak tersebut.
Jarak Perjalanan Tidak Ditetapkan
Soalan:
Saya pernah belajar sebelum ini bahawa seorang musafir boleh terus mengqasarkan solatnya tanpa perlu mengambil kira had jarak tertentu. Mohon komen.
Jawapan:
RINGKASNYA: Ya. Tidak dinafikan ada ijtihad ulama sebegitu dan kita hormatinya.
HURAIAN: Pendapat ini dipegang oleh beberapa orang ulama antaranya Ibn Qudamah (al-Mughni), Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim (Zad al-Ma‘ad), al-San‘ani (kitab Subul al-Salam) dan al-Syawkani (Nail al-Awtar) Menurut mereka, penentuan status musafir yang dibolehkan qasar adalah berdasarkan ‘uruf (kebiasaan atau realiti) di satu-satu tempat atau individu tersebut. Jika satu bentuk perjalanan itu dianggap berjalan jauh (bermusafir) oleh masyarakat setempat, maka seseorang itu boleh mengqasarkan solatnya biarpun perjalanannya sejauh 20 kilometer sekalipun!
Namun bagi kebanyakan masyarakat awam yang tidak mendalami ilmu fiqah, sudah memadai jika beramal dengan pengamalan biasa bagi mazhab Syafi‘i. Pendekatan ini lebih berjaga-jaga.
NASIHAT: Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menghalang dan menghukum salah atas sesiapa yang beramal dengan pandangan tersebut, asalkan mereka benar-benar menuntut ilmu berkaitannya. Bukannya main ceduk mana-mana pendapat yang mudah sahaja. Sama-sama kita berlapang dada kerana ukhuwah islamiah lebih utama.
Jarak Musafir di Pedalaman
Soalan:
Saya seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah pedalaman di daerah Kota Marudu, Sabah. Di sini saya ingin berbincang soal jarak yang dibolehkan musafir mengqasarkan solat khususnya bagi penduduk pedalaman. Kebiasaan penduduk di sini bermusafir keluar dari kampung mereka sama ada untuk berburu, mencari hasil hutan atau ke pekan akan mengambi masa perjalanan yang lama. Saya pernah mengikut mereka pada musim memburu rusa, kebiasaannya lokasi yang sama mereka akan pergi dan perlu bermalam di dalam hutan selama dua hari. Jaraknya sekitar 20 kilometer sahaja. Paling jauh mereka akan masuk ke hutan sekitar 30 kilometer sahaja. Jarak dari kampung tersebut ke pekan Kota Belud pula hanya 64 kilometer. Namun perjalanan yang mesti ditempuhi bukan calang-calang. Berjalan kaki, menaiki bot, jip dan bas silih berganti. Berdasarkan jarak-jarak tersebut, boleh dikatakan selama-lamanya orang Islam di sini tidak berpeluang melaksanakan solat qasar sebagai seorang musafir kerana tidak cukup syarat jarak perjalanannya. Oleh sebab itu bolehkah kami di sini mengqasarkan solat dalam musafir biarpun tidak cukup 89 kilometer? Mohon pandangan daripada panel al-Ustaz.
Jawapan:
RINGKASNYA: Barakallahu fikum (semoga Allah memberkati kamu). Berdasarkan pendapat ulama yang tidak menetapkan had jarak bagi perjalanan yang dibolehkan solat qasar, maka dibolehkan menqasar solat untuk kes yang anda sebutkan ini, insya-Allah.
HURAIAN: Berdasarkan perbincangan sebelum ini, terdapat dua pendapat umum ulama berkenaan penetapan had jarak musafir yang dibolehkan mengqasarkan solat.
1. Ada had jarak tertentu
Ini pendapat jumhur ulama. Berdasarkan pendapat ini, maka tetap tidak dibolehkan qasar pada kes-kes yang anda sebutkan kerana tidak mencukupi had minimum jarak perjalanan iaitu 81 km.
2. Tidak tertakluk kepada had tertentu
Ini pendapat sebahagian ulama antaranya Ibn Qudamah. Kedua-dua pendapat mempunyai hujah dan sandaran dalil yang tersendiri. Justeru kita hendaklah saling meraikan dan menghormati. Walau bagaimana pun, bagi situasi yang saudara nyatakan, secara peribadi dan rendah dirinya penulis berpendapat bahawa pendapat kedua lebih perlu diraikan. Namun bagi sesiapa yang khususnya bermazhab Syafi‘i, sebaikbaiknya ikut sahaja ketetapan dalam mazhab.
HUJAH: Isu ini sebenarnya telah dibincangkan secara tuntas oleh ulama dahulu dan semasa. Dalam ruangan terhad ini, hanya sempat dimuatkan komentar daripada Ibn Qudamah: “Sesungguhnya ia bertentangan dengan maksud zahir al-Quran. Secara zahirnya, solat qasar itu dibolehkan bagi sesiapa sahaja yang bermusafir atas muka bumi tanpa ada penetapan had jarak.
“Tambahan pula ia bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w. Anas r.a. berkata: ‘Sesungguhnya Rasulullah apabila keluar bermusafir dengan jarak tiga batu atau farsakh, Baginda solat dua rakaat (solat qasar).’ (Riwayat Muslim)
“Justeru, hujah bersama ulama yang berpendapat solat qasar dibenarkan bagi setiap musafir (tanpa had jarak), melainkan berlaku ijmak.” (Al-Mughni, jil. 2, hlm. 257 dan seterusnya)
NASIHAT: Walau bagaimanapun, jika anda tetap melaksanakan solat secara tamam (sempurna 4 rakaat) biarpun dalam keadaan kesukaran, maka anda akan mendapat ganjaran yang berlimpah daripada Allah.
Nelayan Laut Dalam 35 Batu Nautika
Soalan:
Saya pernah mengikuti pakcik saya; seorang nelayan laut dalam. Trip ketika itu hanya sekitar kawasan yang sejauh 35 batu nautika sahaja. Selama lima hari kami berada di lautan. Apa yang menyedihkan, ramai antara mereka tidak solat. Antara alasan mereka, jarak perjalanan tidak cukup had dan solat boleh diqada di rumah nanti. Bagaimanapun saya solat jamak sepanjang tempoh itu tanpa solat qasar. Ini kerana keadaan yang begitu menyulitkan bagi saya yang pertama kali di situ. Mohon pandangan ustaz dalam situasi saya.
Jawapan:
RINGKASNYA: Barakallahu fikum. Saudara berjaya menegakkan syiar Islam (solat) tidak kira di mana sahaja saudara berada. Betul tindakan saudara menjamakkan solat kerana wujudnya mashaqqah (kesulitan). Demikian adalah pendapat terpilih dalam mazhab Hanbali. Bagaimanapun, dalam mazhab Syafi‘i dan Maliki, tidak boleh menjamakkan solat melainkan dalam perjalanan yang melebihi jarak yang telah ditentukan. Wallahu a‘lam.
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5
Al-Ustaz
Majalah yang dilahirkan untuk merungkai segala persoalan feqah, akidah dan lain-lain perihal agama dalam kalangan masyarakat. Diwakili oleh pelbagai kolumnis pakar dalam pelbagai bidang. Majalah yang padat serta dikukuhkan berdasarkan Al-Quran & Hadis. Sesuai dijadikan sebagai sumber rujukan kepada persoalan-persoalan dan menjawab segala kekeliruan permasalahan di kalangan umat islam.
Dapatkan majalah Al-Ustaz keluaran terbaru di Addeen Online Store!