WUDHU SALASUL BAUL
Assalamualaikum ustaz, saya berusia 35 tahun dan sekarang ini menghadapi masalah buang air kecil tak lawas. Bagaimana saya nak buat qada solat selepas solat fardu? Adakah kena tukar pembalut dan mengambil wuduk yang baru atau terus sambung kedua-dua solat itu mengguna wuduk yang sama? Terima kasih. Moga Allah membantu kita mencari keredaan-Nya. Amin.
Jawapan
Ya, wajib ke atas anda mengulangi wuduk setiap kali ingin melakukan solat wajib kerana dalam keadaan ini wuduk anda adalah wuduk yang darurat. Dengan wuduk yang demikian, hanya diharuskan untuk anda melakukan satu solat fardu sahaja (sama ada solat fardu yang hadir waktunya, solat qada ataupun solat nazar). Dan dibolehkan bagi anda mengerjakan seberapa banyak solat sunat yang anda ingin lakukan, selagi tidak batal wuduk anda dengan sebab lain. Ini merupakan pandangan mazhab Syafii.
Oleh itu, di dalam mazhab Syafii, sekiranya anda ingin mengulangi wuduk, maka diwajibkan ke atas anda membasuh kemaluan dan memperbaharui balutan yang menutup kemaluan kerana ianya telah terkena najis. Di dalam mazhab Hambali, Hanafi dan Maliki, wuduk orang yang kencing tidak lawas atau disebut salasul baul ini boleh digunakan untuk solat fardu seberapa banyak yang ia kehendaki sama ada solat waktu hadir, solat qada, atau solat nazar.
Selepas anda mengambil wuduk, anda mesti segera melakukan solat fardu tersebut dan tidak boleh melengah-lengahkannya. Sekiranya anda melengah-lengahkan juga solat anda dengan perkara tidak berkaitan dengan maslahat solat (seperti azan, iqamat dan lain-lain), maka wuduk anda dikira telah terbatal.
Penjelasan di atas saya andaikan sekiranya air kencing anda berterusan keluar atau kerap keluar sehingga anda tidak sempat berada dalam keadaan suci darinya dalam tempoh yang mencukupi untuk berwuduk dan solat.
Sekiranya anda mengetahui bahawa air kencing anda akan berhenti dalam tempoh yang mencukupi untuk anda wuduk dan solat, maka hendaklah berwuduk dan segera melaksanakan solat. Sekiranya tempoh berhenti kencing itu lama, maka anda boleh menggunakan wuduk tersebut untuk melaksanakan seberapa banyak solat fardu tanpa perlu mengulangi wuduk. Ini kerana dalam tempoh air kencing berhenti keluar, anda adalah seumpama orang yang sihat, dan wuduk anda adalah wuduk yang sempurna.
Menjadi Imam
Bolehkah saya yang menghidap penyakit ini menjadi imam kepada orang lain?
Jawapan
Ya, boleh. Anda boleh menjadi imam kepada orang lain yang tidak menghidap penyakit ini. Ini kerana solat anda ketika ini adalah solat yang sempurna sehinggakan anda tidak perlu mengulanginya tatkala telah sembuh darinya.
Berwuduk Setiap Masuk Waktu
Dalam keadaan salasul baul ini, bolehkan saya berwuduk sebelum masuk waktu solat agar saya sempat untuk pergi ke masjid untuk solat berjemaah?
Jawapan
Tidak boleh untuk anda berwuduk sebelum masuk waktu solat, bahkah diwajibkan ke atas anda menunggu sehingga masuk waktu solat. Di dalam sebuah hadis, Rasulullah telah memerintahkan seorang sahabiyah yang menghidap darah istihadah untuk mengulangi wuduk setiap kali masuk waktu solat. Hukum pesakit kencing tak lawas diqiaskan kepada masalah istihadah ini.
Hukum Air Zamzam
Saya ingin kepastian, bolehkah saya menggunakan air zamzam untuk bersuci?
Jawapan
Air zamzam boleh digunakan untuk wuduk dan mandi sama ada mandi wajib ataupun sunat. Ini kerana air zamzam adalah air yang mutlak. Tidak ada tegahan dari syarak yang melarang menggunakan air zamzam untuk tujuan di atas. Rasulullah sering menggunakan air zamzam untuk tujuan-tujuan yang mulia seperti minum, wuduk, menyiramnya ke atas orang yang sakit, tahnik dan lain sebagainya.
Adapun menggunakan air zamzam untuk istinja dan menyucikan najis, hukumnya makruh di dalam mazhab Syafii. Ini kerana air zamzam walaupun ianya adalah air yang mutlak, akan tetapi ia mempunyai kelebihan-kelebihan berbanding air lain. Bahkan sebahagian ulama Maliki mengharamkan penggunaannya untuk menyucikan najis.
Wallahu a‘lam.
USTAZ MUHAMMAD RAJI MUSA
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 19
Al-Ustaz
Majalah yang dilahirkan untuk merungkai segala persoalan feqah, akidah dan lain-lain perihal agama dalam kalangan masyarakat. Diwakili oleh pelbagai kolumnis pakar dalam pelbagai bidang. Majalah yang padat serta dikukuhkan berdasarkan Al-Quran & Hadis. Sesuai dijadikan sebagai sumber rujukan kepada persoalan-persoalan dan menjawab segala kekeliruan permasalahan di kalangan umat islam.
Dapatkan majalah Al-Ustaz keluaran terbaru di Addeen Online Store!