Menu

 

A+ A A-

DEMI PENA ITU!

Penghujung hidup ini merupakan sebuah catatan di langit dan di bumi, mengajar insan pentingnya erti pengakhiran bagi setiap permulaan.”

Sungguh menarik apabila didapati dalam al-Quran terdapat satu surah yang diberi nama surah pena atau dalam bahasa Arabnya dikenali dengan al-Qalam. Pada permulaan surah ini, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: “Demi pena dan apa yang mereka tulis.” (Surah al-Qalam 68: 1)

demi-pena-itu-1

Sebenarnya, penggunaan alat untuk menulis tidaklah asing dalam peradaban semua bangsa. Setiap bangsa mempunyai keunikan alat penulisan tersendiri yang direka bersesuaian dengan susunan huruf dan kesenian semasa.

Lahirnya ramai bijak pandai dan ahli sastera merancakkan lagi perkembangan alat penulisan. Perubahan ini terus ketara sehingga pada era teknologi hari ini yang dikenali dengan sebagai ‘stylus’ pen yang digunakan pada ‘touch screen’ sebahagian ‘smartphone’.

Berikut adalah beberapa jenis pena lama yang tidak lagi digunakan secara meluas sekarang:

demi-pena-itu-2

Sumpah Pena

Berbalik pada kisah kali ini, perlu diketahui terdapat satu kaedah iaitu apabila Allah bersumpah dengan sesuatu, maka ada yang hebat tersirat padanya. Allah s.w.t. telah bersumpah dengan nama pena, maka apakah kehebatannya? Para ulama telah menyatakan bahawa antara kehebatan pena ialah:

  • Allah bersumpah dengan pena bagi membuka lembaran ilmu kepada manusia terutama orang yang beriman.
  • Perbezaan sumpah Allah dengan kejadian alam dan dengan pena ialah pena menggambarkan ilmu dan pengetahuan. Dengan ilmu, pelbagai perkara mampu diteroka seperti pengurusan diri, meningkatkan mutu kehidupan, tamadun dan sebagainya.
  • Faedah sumpah ini menunjukkan bahawa al-Quran ialah kitab bagi orang islam yang akan ditulis dan dibaca. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w. mengarahkan sahabat untuk menulis setiap wahyu yang turun.

Ini merupakan pembuktian yang nyata tentang hubung kait yang kuat antara ilmu dan agama Islam. Justeru, golongan yang mengatakan Islam agama membawa kepada kemunduran adalah pembohongan yang nyata. Malangnya, umat Islam meninggalkan budaya ilmu dan mengikut acuan barat yang mementingkan keseronokan dunia.

demi-pena-itu-4

Pena dalam Islam

Para penyair dan sasterawan Arab telah menulis syair-syair yang menunjukkan kebanggaan mereka dengan pena berbanding mata pedang. Sedangkan mata pedang pada pandangan mata lebih hebat dengan kilauan dan ketangkasannya beraksi di medan perang.

Dari sudut ilmu tafsiran mimpi juga, pena menggambarkan kepada kebaikan. Ahli tafsir mimpi menyatakan, jika bermimpi sedang memegang sebatang pena, berkemungkinan akan mendapat anak lelaki yang alim. Jika bermimpi memegang pena yang banyak, kemungkinan akan mendapat banyak kebaikan. Begitulah kuatnya pengaruh pena dalam budaya ilmu masyarakat Islam suatu ketika dahulu.

Pena di Langit dan di Bumi

Berdasarkan tafsiran para ulama tentang ayat yang dinukilkan pada awal tadi, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa kehebatan penayang paling besar ialah ia pena di langit dan bumi. Marilah sama-sama merenung jadual di bawah untuk memahaminya:

demi-pena-itu-3

Penghujungnya, manusia menjadi hebat apabila bersama-sama dengan apa yang Allah ciptakan kehebatannya. Semoga deretan pen yang berwarna-warni di tingkat kedai alat tulis memberikan manifestasi baru kepada yang memahami ayat tadi.

Ayuh belajar! Ayuh menulis!

Dr. Farhan Hadi Mohd Taib
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Dr. Farhan Hadi Mohd Taib

Lulusan Perubatan UNIMAS dan merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah Hospital. Juga sebagai penulis dan editor bagi Syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas