Menu

 

A+ A A-

CARA MUDAH UNTUK SIHAT

BADAN kita sebenarnya sentiasa terdedah kepada ancaman musuh yang tidak dapat dilihat oleh kaca mata. Musuh ini amat susah untuk ditangani, bahkan kadang-kadang kita terlupa akan kewujudannya. Meskipun kita tidak sedar dan terlupa, ia terus menerus memberi ancaman kepada kita selama 24 jam sehari.

Siapakah musuh yang hebat itu? Adakah mereka hantu atau roh orang yang telah meninggal dunia? Bukan. Musuh itu sebenarnya ialah kuman-kuman dan debu-debu yang sentiasa wujud di sekeliling kita. Ia tidak henti untuk menyerang dan merosakkan tubuh kita. Sekiranya ia memberi ancaman kepada kita, apakah yang harus kita lakukan untuk menentangnya? Apakah kita harus menyerah diri dan menunggu untuk jatuh sakit? Tidak. Agama mengajar kita satu cara yang mudah untuk mengelak kemudaratan itu. Bahkan kita sering mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita. Cara tersebut ialah dengan berwuduk. Tujuan utama berwuduk adalah kerana untuk menunaikan perintah Allah s.w.t. supaya solat dapat dilaksanakan. Pasti ada hikmah di sebalik kewajipan berwuduk sebelum menunaikan solat.

 cara mudah untuk sihat 2

Mari kita sama-sama memerhatikan apakah kelebihan-kelebihan wuduk dari sudut kesihatan:

1. Berkumur

Kuman akan membiak dengan pantas jika terdapat sisa makanan di dalam mulut kita. Kuman tersebut akan menyebabkan kerosakan gigi, ulser mulut dan sebagainya. Cara untuk mengatasinya ialah dengan berkumur. Sains telah membuktikan berkumur dapat mencegah mulut dan kerongkong daripada jangkitan kuman dan radang. Bahkan ia mampu membuang sisa makanan di dalam mulut yang boleh merosakkan gigi.

2. Membasuh hidung

Udara kotor yang kita sedut membawa bermacam jenis kuman dan debu. Kuman-kuman ini boleh menyebabkan demam selesema, batuk, sakit kerongkong dan yang lebih teruk lagi boleh menyebabkan radang otak. Maka apabila kita membasuh hidung ketika berwuduk, sudah tentu kita dapat menyucikan rongga hidung dan membuang sebahagian besar kuman tersebut. Bahkan ia boleh mengurangkan risiko terkena penyakit kanser hidung.

3.Membasuh muka dan kedua-dua tangan

Bagi kaum lelaki, bahagian muka dan kedua-dua tangan sehingga siku sering terdedah kepada debu dan bakteria ketika mereka keluar rumah kerana bahagian lain ditutup oleh baju dan seluar. Maka, dengan membasuh muka dan tangan kita dapat membuang sebahagian besar kuman, debu dan peluh yang melekat di permukaan kulit. Selain itu, ia juga dapat menyingkirkan bahan berlemak yang terdapat pada peluh yang boleh membantu pertumbuhan bakteria pada permukaan kulit.

4. Membasuh kedua kaki

Kaki merupakan organ yang sentiasa terdedah kepada kotoran ketika berjalan. Segala debu, pasir dan cecair akan melekat di kaki ketika berjalan. Maka, berwuduklah jalan penyelesaian kerana kita membasuh kaki beberapa kali sehari ketika berwuduk.

5. Kelebihan-kelebihan lain

Kajian saintifik menunjukkan aliran darah di bahagian tangan sehingga siku dan kaki adalah lemah berbanding aliran darah dalam organ-organ lain. Maka dengan membasuh anggota-anggota badan tersebut sambil menggosok-gosoknya pada setiap kali berwuduk dapat membantu meningkatkan pengaliran darah kepada bahagian- bahagian tersebut dan seterusnya dapat meningkatkan fungsi serta aktivitinya untuk kerja seharian. Sains juga telah membuktikan kesan sinaran cahaya matahari terutamanya sinaran ultra violet boleh menyebabkan penyakit kanser kulit. Kesan cahaya matahari pada permukaan kulit yang terdedah dapat dikurangkan dengan membasuh bahagian tersebut kerana air dapat melindungi kesan-kesan bahaya sinaran matahari pada permukaan luar dan dalamnya. ¤

 

Dr. Farhan Hadi Mohd Taib

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu Perdana


 

Dr. Farhan Hadi Mohd Taib

Lulusan Perubatan UNIMAS dan merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah Hospital. Juga sebagai penulis dan editor bagi Syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas