Menu

 

A+ A A-

SILENT MODE YANG MENJEMUKAN

Seorang suami mengadu. “Saya sudah jemu,” katanya seakan berbisik.“Mungkin sudah tidak cinta,” saya menduga.

“Tidak, bukan sudah tidak cinta, tapi jemu.” “Hari-hari tengok mukanya?” usik saya. Dia diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Begitulah antara bisikan yang pernah saya dengar. Itulah suara hati suami. Mungkin para isteri juga ada luahannya. Semuanya di sekitar rasa jemu. Jemu dengan pasangan. Apakah ini normal? Atau rasa jemu petanda rumah tangga telah retak kalaupun belum sampai ke tahap “terbelah”.

Bagaimana hendak menangani rasa jemu dengan pasangan? Mungkin, soalan itu kedengarannya “kasar” sedikit tetapi jangan sekali-kali dinafikan realitinya.

Rasa Jemu itu Normal

Pada saya, jemu itu terbahagi kepada dua – satu normal (biasa), satu lagi abnormal (luar biasa). Mari kita lihat dulu jemu yang normal. Sebenarnya rasa jemu adalah fitrah manusia. Allah memang ciptakan manusia dengan rasa jemu. Dalam soal makanan misalnya, katalah kita dihidangkan dengan nasi beriani pagi, tengah hari, petang dan malam secara berturut dalam seminggu.

Apa akan terjadi? Insya-Allah, walaupun nasi beriani itu sedap sekalipun tetapi jika dihidangkan berturut-turut kita akan menolaknya. Mengapa? Ya, kerana jemu! Bukan sahaja dengan makanan, manusia berasa jemu dengan pakaian, hiasan, tempat, suasana dan masa. Justeru, fesyen pakaian sering bertukar ganti. Tidak ada fesyen yang mampu bertahan lama. Jika kita pertahankan juga fesyen pakaian yang sama bertahuntahun, tidak mustahil orang menyangka adasuatu yang tidak kena dengan diri kita. Begitu  juga dengan cat, susunan dan hiasan rumah, sentiasa ada pembaharuan.

Orang yang tinggal di kampung, jemu dengan bunyi kokok ayam, sawah padi yang hijau dan air telaga yang jernih. Sunyi, sayu, gelap dan kaku, kata mereka. Kalau boleh mereka hendakkan suasana yang meriah dan bising seperti di bandar metropolitan yang meriah dengan kehidupan malam, kerdip neon dan pusat membeli-belah yang sibuk sentiasa. Namun, cuba tanyakan kepada mereka yang lahir dan menetap di Bandar sejak lama. Ah, rindunya untuk menikmati kedamaian desa yang menghijau dan sunyi.

Damai dan indah sekali, kata mereka. Begitulah dengan pasangan kita. Jemu itu soal biasa. Tetapi jangan dibiarkan berlamalama. Tangani rasa jemu itu dengan baik, insya-Allah, jemu akan menghilang, rindu akan kembali bertandang. Bagaimana?

Tukar Keadaan bukan Tukar Pasangan

Pertama tukar keadaan (baca baik-baik, tukar keadaan, bukan “tukar pasangan”). Maksudnya,  tukar cara dan gaya kita berkomunikasi dan berinteraksi. Pelbagaikan rencah pergaulan. Selang-seli perbualan berbentuk ilmu dengan gurauan. Cari kisahkisah santai tetapi penuh pengajaran dan masukkan dalam perbualan biasa. Insya-Allah, dengan adanya nilai tambah ini, keadaan akan berubah. Jangan joke yang sama diulang-ulang. Jangan ilmu dan tarbiah yang sama disampaikan dengan cara dan gaya yang sama.

 Suami, jadilah murabbi yang kreatif dan inovatif. Para isteri pula boleh menukar suasana dengan banyak cara. Tukar resipi makanan, tukar susunan perabot di dalam rumah, tukar fesyen baju ketika berdepan dengan suami,  tukar gaya rambut dan tukar apa sahaja yang boleh ditukar. Namun, pastikan kemesraan, senyuman, empati dan segala pengertian yang sejak lama itu tetap dipertahankan.

Kata orang yang berubah hanya container (bekas), bukan contentnya (isinya). Boleh juga anda menukar suasana dengan pergi melancong atau sekadar bermusafir ke tempat-tempat berhampiran. Apabila bermusafir tentulah jadual atau rutin hidup berubah. Dan insya-Allah, ini juga akan merubah perasaan. Akan terciptalah keadaan di mana isteri dan suami akan “bersatu” kembali menghadapi cabaran dan dugaan bersama. Maklumlah, ada hadis menukilkan bahawa bermusafir itu “sepotong” daripada penderitaan.

Jangan berlalu masa yang panjang hanya oleh rutin-rutin yang biasa. Ubah dan ciptalah suasana yang baru. Keadaan ini akan menyerlahkan rasa yang baru dan respons yang berbeza daripada pasangan kita. Mungkin, sudah lama kita tidak lihat ketawanya, tetapi akhirnya dia ketawa apabila ada yang lucu dalam perjalanan itu.

Mungkin, telah jarang kita lihat ketangkasan dan kesabaran yang kita kagumi pada awal perkahwinan dahulu, tetapi sekarang (semasa menghadapi kerenah pemandu pelancong, penjual cenderahati, pelayan kedai makan mahupun teman-teman lain dalam permusafiran itu) wataknya yang kita rindu itu telah muncul semula.

Musafir Memperbaharui Rasa Cinta

Jika tidak dapat bermusafir bersama, tidak mengapa kalau suami berpergian sendirian. Dalam konteks ini saya teringat antara pesan seorang ahli hikmah kepada sahabatnya. Antaranya, beliau berpesan, “Hendaklah kamu berkahwin lagi sebulan sekali.” Sahabatnya berasa pelik lantas bertanya semula, “Bagaimana saya mampu bernikah sebulan sekali?” Ahli hikmah itu berkata, “Bermusafirlah sebulan sekali. Apabila engkau pulang ke rumah, nescaya kemesraan
hubungan antara kamu dengan isterimu akan menjadi seperti pengantin baru!”

Dalam konteks yang sama, A’id al-Qarni (penulis buku La Tahzan) telah menukilkan: “Sesekali melanconglah, agar anda dapat menyegarkan kembali suasana hidup, dan dapat menyaksikan keindahan yang baru dan negara lain. Melancong mempunyai kenikmatan yang tersendiri.”

Itulah antara cara mengatasi rasa jemu yang normal. Tetapi bagaimana pula dengan rasa jemu yang tidak normal? Rasa jemu yang kedua ini sangat merbahaya. Rasa jemu ini disebabkan tergugatnya rasa cinta. Jika jemu yang biasa hanya disebabkan kebekuan suasana dan rasa, tetapi jemu yang “luar biasa” ini adalah akibat “kematian” atau beralihnya rasa cinta.

Cinta sudah tidak ada, jemu pun melanda. Segala-galanya telah pudar dan hambar. Mengapa rasa cinta boleh berkurang malah terus hilang? Persoalan ini perlu dirujuk semula kepada soal dasar atau prinsip perhubungan antara suami isteri. Ingat, bahawa antara hubungan sesama makhluk mesti ada Khaliq yang menyatukannya. Begitulah juga hubungan suami isteri. Jika hubungan sesama mereka renggang, itu petanda sama ada isteri atau suami atau kedua-duanya sekali telah renggang hubungannya dengan Allah.

Maka cara untuk menghilangkan rasa jemu akibat tidak ada cinta ini ialah kedua-dua belah pihak hendaklah kembali menguatkan hubungan dengan Allah! Lihat semula bagaimana status hablumminallah (hubungan dengan Allah) dalam rumah tangga kita. Muhasabah kembali soal
solat – hubungan paling asas dan teras antara seorang manusia dengan Allah, apakah solat
terjaga? Apakah suami-isteri masih solat?

Jika ya, sudahkah dilaksanakan solat itu pada awal waktu, secara berjemaah dan dijaga rukun qalbi, fi’li dan qaulinya? Lihat pula soal puasa, pembinaan sifat-sifat mahmudah dan pelunturan sifat mazmumah dalam rumah tangga kita. Apakah semuanya masih diusahakan sedaya mungkin atau sudah lama padam?

Habluminallah juga akan musnah apabila berlaku pelanggaran syariat oleh suami mahupun isteri atau kedua-duanya sekali dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pergaulan bebas, pendedahan aurat, arak, judi dan lain-lain kemungkaran yang berlaku secara berleluasa dalam rumah tangga, lambat laun akan merenggangkan hubungan kita dengan Allah seterusnya akan
merenggangkan hubungan sesama suami dan isteri.

Tip Atasi Rasa Jemu dengan Pasangan

·    Jaga solat berjemaah, sama ada di masjid atau di rumah.
·    Tingkatkan amalan-amalan sunat di dalam atau di luar rumah, habluminallah atau habluminannas.
·    Melancong atau bermusafir dengan niat untuk mendapat keredaan Allah dan merapatkan hubungan suami isteri.
·    Tukar gaya berkomunikasi dan berinteraksi. Lazimkan senyuman dan selang-selikan dengan gurauan.
·    Sesekali ubah susun atur perabot sama ada di ruang tamu, dapur mahupun bilik tidur.
·    Sesekali para suami keluar kawasan dalam jangka masa tertentu untuk berdakwah ataumelakukan kerja-kerja kebajikan.
·    Belajar resipi masakan baru dan berani mencipta kelainan dalam menghidangkannya.
·    Tukar cara berpakaian atau fesyen sesama pasangan di dalam rumah.

Tingkatkan Cinta Allah

Mungkin kerana pandainya “berlakon” rasa cinta yang sudah terjejas itu dapat disembunyikan. Namun masakan “bangkai gajah” mampu ditutup? Lambat laun ia pasti terserlah juga. Dan yang mula-mula terserlah ialah timbulnya rasa jemu. Hendak berperasaan pun sudah terasa beratnya, apalagi untuk menatap muka, bercakapcakap atau sekadar bersentuhan. Terjadilah apa yang dikatakan “silent mode” – masingmasing mencari jalan untuk mengelak dan lebih suka bersendirian.
Tidak ada jalan keluar kepada masalah jemu jenis yang kedua ini kecuali kembali kepada Allah. Dekati dan cintailah Allah semula. Pembaharulah rasa cinta sesama kita dengan sama-sama meningkatkan kembali rasa cinta kepada Allah. Tegakkan yang makruf dan cegahlah kemungkaran dalam rumah tangga. Jika mampu, buatlah amalanamalan sunat yang pelbagai itu.

 Insya-Allah, apabila ini dilaksanakan, apabila rasa cinta kepada Allah akan subur semula, cinta sesama suami isteri pun aka  berbunga semula. Dan ketika itu jugalah rasa jemu akan berubah daripada jenis yang “luar biasa” kepada jenis yang biasa.

Bagaimana langkah seterusnya? Bacalah kembali kaedah menangani jemu jenis yang biasa pada awal tulisan ini!“¤.


Oleh Pahrol Mohd Juoi
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10

 


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas