Menu

 

A+ A A-

TUHAN, MATIKAN AYAHKU

SEORANG pelajar menceritakan hal yang sangat merunsingkan fikirannya akhir-akhir ini. Ayahnya berubah sikap terhadap keluarga mereka, sering pulang lewat, malah kadang kala tidak pulang langsung. Kehidupan adik-beradiknya juga seperti tidak dipedulikan lagi.

Setelah disiasat, terbukti ayahnya bermain kayu tiga dengan wanita lain di luar rumah. Dan ada kemungkinan terkena sihir. Tertekan dengan rasa simpati terhadap ibunya dan kecewa dengan sikap ayahnya, hubungan antara ayah dan anak itu semakin renggang.

Sejak itu pelajar tersebut mula membenci ayahnya, hingga mendoakan ayahnya mati! Dia tahu perbuatan itu salah, tetapi apakah yang harus dibuatnya dalam situasi sebegitu?

Dosa Menderhakai Ibu Bapa

Saya tegaskan kepada pelajar ini, Islam menuntut supaya seorang itu menghormati ibu bapanya, tidak kira dalam apa keadaan sekalipun. Bukan setakat tidak boleh menderhaka, malah jika kita tidak mendoakan kesejahteraan kedua-duanya pun sudah boleh dianggap anak derhaka. Itu jika tidak doakan kesejahteraan mereka, apatah lagi jika hingga mendoakan kecelakaan ke atas mereka. Sudah tentu lebih besar dosanya.

Perbuatan mendoakan agar ayahnya mati itu sama dosanya dengan dosa kecurangan ayahnya.

Saya akui masalah ini memang agak sulit ditangani di sebabkan kedudukannya sebagai seorang anak yang dikira masih terlalu muda untuk mengetahui punca sebenar masalah. Tetapi ini tidak bermakna dia tidak boleh memainkan peranan penting menjernihkan keadaan atau sekurang-kurangnya tidak menambah parahkan lagi masalah. Saya tegaskan, mendoakan seseorang mati, (lebih-lebih lagi ayahnya sendiri) bukanlah sebahagian daripada cara menyelesaikan masalah ini.

Menyelamatkan atau Mematikan?

Ayahnya wajar dibantu, bukan dibenci. Malah mungkin masalah bapanya lebih buruk dan lebih teruk daripada apa yang dia deritai. Jadi sekarang persoalannya ialah bagaimana hendak “mematikannya”. Dan sebagai seorang anak, dia mempunyai banyak cara untuk membantu ayahnya.

Pertama, dia hendaklah terlebih dahulu membantu dirinya sendiri. Yakni dengan melawan perasaan kecewa, marah dan benci yang ada dalam dirinya itu. Kawal diri dan jalanilah hidup dengan sebaik-baiknya. Dia perlu faham bahawa masalah ialah sebahagian daripada hukum kehidupan (rule of life) yang perlu diterima oleh semua manusia.

Pandanglah ke kiri dan ke kanan, dan insafilah bahawa semua orang sedang berhadapan dengan hukum kehidupan ini. Malah, ada antara mereka menghadapi hidup yang lebih perit dan labih sukar daripada itu. Sebahagiannya, kehilangan bapa ketika mereka masih kecil, dengan bilangan adik-beradik yang begitu ramai, sedangkan ibu pula sering sakit. Tetapi dia tidak begitu. Dia lebih bernasib baik kerana ayahnya masih hidup, dan ibunya masih sihat.

Tujuan saya menceritakan hal ini adalah untuk memberi semangat kepada dirinya supaya tenang dan berpijak di bumi nyata ketika menghadapi masalah. Jangan terlalu mengharap dunia akan jadi seperti yang diidamkannya. Dan jangan marah, jika dia dapati ayahnya atau siapa sahaja tidak bersikap seperti yang dikehendaki kerana dirinya sendiri tidak bersikap seperti sepatutnya… betul tak? Jadi, rasionallah. Hadapilah kenyataan ini dengan sewajarnya.

Hakikat ini membantu ayahnya secara tidak langsung. Dia harus menjaga hati dan fikirannya agar tidak terlalu tertekan dengan masalah itu. Janganlah hendaknya tekanan masalah ini mengganggu tugasnya sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan dan sandaran bukan sahaja oleh keluarganya bahkan oleh masyarakat. Jangan tambah satu masalah lagi dalam keluarga. yakni dengan masalahnya sendiri!

Cubalah belajar dengan baik. Tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Dia sudah dikira dewasa untuk menganggap masalah ini sebagai cabaran bukan halangan. Jika mempunyai adik-adik, dia hendaklah menunjukkan teladan yang baik. Mereka meneladaninya dan “bergantung” kepadanya, maknanya jika dia “stabil” dalam menghadapi cabaran ini, mereka juga akan mendapat suntikan semangat. Sebaliknya, jika mereka melihatnya goyah, mereka juga akan goyah dan mungkin terus patah.

Api Tak Dapat Dipadam dengan Api

Dia hendaklah menyedari hakikat bahawa mempunyai seorang ayah yang bermasalah adalah jauh lebih baik daripada tiada ayah langsung. Sekurang-kurangnya ayahnya masih pulang juga walaupun kadang-kadang terlewat. Sambut kepulangan dengan baik, jangan diboikot atau dipulaukan. Api tidak dapat dipadamkan dengan api. Teruskan peranannya sebagai seorang anak.

Dekati dirinya dan dengan kedudukannya sebagai seorang pelajar saya yakinkan dia bahawa dia ialah seorang anak yang menjadi harapan. Dia perlu mempunyai rasa bangga, yakin dan hormat terhadap diri sendiri. Gunakan kelebihan ini untuk mendekati bapanya. Apabila sudah ada interaksi, mudahlah dia berkomunikasi seterusnya mula menyelami masalah ayahnya.

Insya-Allah, dia akan mendapat gambaran masalah ini dengan lebih luas dan jelas. Seterusnya dia mungkin dapat mengesan punca krisis ini. Siapa sebenarnya yang menjadi mangsa? Bagaimana ayahnya terjebak dalam kemelut ini? Ini akan menghilangkan kebenciannya terhadap ayahnya walau pun tidak menyelesaikan masalah ini keseluruhan.

Semua itu akan membetulkan persepsi dan sikapnya terhadap ayahnya. Setelah itu barulah nanti dia tahu apakah ruang lingkup masalah itu. Apakah sebab dan kesannya?

Kata pepatah, masalah yang sudah kita tahu, hakikatnya telah separuh selesai. Ya, setakat ini saya kira dia sudah faham bahawa saya ingin mengajaknya supaya menyelesaikan masalah ini berdasarkan sumber yang ada pada dirinya sendiri. Lingkungan penyelesaian yang cuba saya ketengahkan adalah bertindak dengan kuasa dan pengaruh yang ada pada diri kita sendiri.

Tangani Krisis dengan Doa

Dalam konteks ini, saya mengingatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa doa ialah senjata yang ampuh bagi orang Mukmin. Bermakna dia sudah mempunyai “senjata” untuk menangani masalah ini.

Cuma senjata itu nampaknya disalahgunakan. Senjata itu digunakan untuk menikam ayah dia, yang secara tidak langsung turut menikam diri dia sendiri. Daripada dia berdoa kematian ayah, bukanlah lebih tepat berdoa untuk keselamatannya? Doakan ayahnya daripada dianiaya orang, “diguna-gunakan” dan sebagainya.

Ingat, doa anak yang soleh terhadap ayahnya pasti dimakbulkan Allah sama ada ayah itu masih hidup atau mati. Sama ada ayah itu masih siuman atau telah “diguna-guna”. Jika benar ayahnya diguna-gunakan, bermakna dia telah disihir. Hanya kuasa Allah yang mampu melawan kuasa jahat yang didalangi oleh syaitan itu.

Oleh itu, apa yang mampu dilakukannya adalah berdoa, sembahyang hajat dan baca ayat suci al-Quran serta beramallah dengan niat melawan sihir yang membelenggu ayahnya itu. Insya-Allah, si ayah akan sembuh semula dan menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Sayangi Ayah kerana Allah

Perasaan benci tidak pernah menyelesaikan masalah. Bagaimana dia hendak mengikhlaskan diri berdoa untuk ayahnya, sedang perasaan benci ada dalam diri dia?

Wajar saya ingatkan, perasaan benci perlu dibuang dahulu sebelum berdoa untuk kesejahteraan ayahnya. Doa yang dipanjatkan berserta rasa benci tidak mungkin diperkenankan. Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa doa seorang ibu terhadap anaknya ialah doa yang paling makbul. Ketika ditanya mengapa, Rasulullah s.a.w. menjawab, “Kerana ibu paling menyayangi anaknya.”

Oleh itu saya mengingatkan, sayangilah ayah, walau apa jua keadaannya. Berbuat baik terhadap ayahnya, bukan hanya kerana kebaikan yang telah, sedang dan akan dicurahkannya, tetapi kerana itu adalah perintah Allah. Jika dia benar-benar cintakan Allah, berbuat baiklah kepada ibu bapa tanpa melihat apa jua keadaannya.

Permasalahan orang tua, lebih manis jika orang tua yang menyelesaikannya. Dia terlalu muda untuk menangani masalah ini secara langsung. Bapa saudara, ibu saudara atau sanak saudara yang lain mungkin juga sedang memikirkan bagaimana menyelesaikan masalah ini. Berilah mereka masa.

Peranannya adalah apabila sesekali ayahnya balik, tunjukkan kemesraan tanpa apa-apa perubahan. Ceritakan masalah kepadanya tanpa mendesak-desak apalagi mengugut. Ini bertujuan agar dia rasa dihormati sebagai ayah terhadap anak-anaknya. Jadi dia terlebih dahulu perlu menunjukkan dia masih seorang anak yang menyayangi ayahnya.

Mungkin dengan cara ini akan menyedarkannya bahawa kehadiran seorang “perempuan lain” dalam hidupnya boleh menyebabkan dia kehilangan anak-anak yang disayanginya. Tidak mustahil selepas itu, dia yang mungkin dalam dilema, terpaksa membuat pilihan. Apakah memilih anak-anaknya atau memilih “perempuan” itu.

Ketika dia telah menyayangi, mengasihi dan mendoakan kesejahteraan ayahnya, saya tidak teragak-agak lagi menyatakan bahawa kemungkinan besar ayahnya akan memilihnya! ¤

 

Abu Asif

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3


 

 

Kembali ke atas