Menu

 

A+ A A-

IMAN LUNTURKAN KETAKUTAN

TERIMALAH hakikat, bahawa apabila kita berdepan dengan ketakutan yang sebenar, kita sebenarnya memang takut. Jangan berpura-pura tidak takut kerana itu akan menjadikan kita lebih takut. Orang yang paling berani sekalipun, mengakui mereka juga merasa takut. Mereka merasainya tetapi ketakutan tidak menghalang mereka daripada bertindak.

Dengar, rasai dan telitilah setiap bisikan ketakutan sebelum kita membuat keputusan. Pertimbangkan, nilai dan akhirnya buatlah keputusan manfaatkan ketakutan sebagai input untuk membuat keputusan yang kemudiannya menghasilkan tindakan. Input semacam ini tidak akan dapat kita miliki sekiranya kita berpura-pura tidak takut. Terima ketakutan sebagai harga peningkatan dalam hidup.

Hidup perlukan peningkatan, sama ada dari segi material atau fizikal, lebih-lebih lagi dari segi rohaniah. Ketakutan pula adalah suatu yang perlu dihadapi sepanjang kita membuat peningkatan. Semakin tinggi pokok yang dipanjat, semakin kuat angin yang menggoyang dan semakin kuat angin yang menggoyang semakin takut kita untuk memanjat dengan lebih tinggi. Tetapi kita terus memanjat, kerana kita mempunyai matlamat ingin memetik buah. Maka begitulah jugalah dalam kehidupan. Kita akan terus takut, kerana kita ingin terus meningkat tinggi. Terimalah ketakutan sebagai satu harga bagi setiap peningkatan yang kita buat.

Hidupkan impian dan keinginan yang menyala-nyala.

Yakinlah, bahawa setiap kali kita melangkah menuju zon yang mencabar, maka setiap kali itu jugalah ketakutan-ketakutan baru akan muncul. Tidak mengapa, terimalah “ketakutan-ketakutan baru” yang berada dalam lingkungan zon yang mencabar dari pada terus menghadapi “ketakutan-ketakutan lama” dalam zon yang selesa. Apalah ertinya menjadi seumpama “jaguh kampung” yang hanya mampu menang dalam gelanggang sendiri dan menghadapi lawan yang sama, dibandingkan dengan jaguh sebenar yang menghadapi pelbagai lawan di pelbagai gelanggang. Tegasnya, terimalah ketakutan sebagai harga untuk setiap peningkatan yang dibuat.

Impian yang menyala-nyala akan memadamkan ketakutan dalam diri kita.

Impian mesti besar untuk menakluki rasa takut. Sekiranya kita ada keinginan tetapi keinginan itu tidak cukup kuat untuk memadamkan rasa takut, itu sebenarnya bukan keinginan. Itu hanya angan-angan. Sebaiknya, tukarkanlah rasa takut itu untuk menjadikannya satu keinginan yang menyala-nyala. Ketakutan untuk gagal menjadi ke inginan untuk berjaya. Ketakutan menjadi miskin, mendorong keinginan menjadi kaya. Ketakutan menghadapi mati, menyebabkan kita berhati-hati dalam menjalani kehidupan. Ketakutan terjerumus ke dalam dosa menggalakkan keghairahan meraih pahala.

Fokus kepada perkara yang dapat dikawal

Impian umpama layang-layang, manakala rasa takut umpama angin. Layang-layang hanya terbang sekiranya di layangkan melawan angin bukan mengikut angin. Oleh itu sekiranya ada rasa takut dalam hidup, itu sebenarnya adalah baik kerana ketakutan itulah yang akan menyalakan impian kita. Jangan biarkan perkara-perkara yang di luar kawalan kita mengganggu tumpuan kita ke atas perkara-perkara yang boleh kita kawal.

Apa yang mampu kita kawal adalah diri kita, hati, perasaan dan pemikiran kita. Kita sekali-kali tidak akan dapat mengawal sesuatu yang berada di luar kita seperti orang lain, pasaran saham, kesesakan jalan raya, cuaca dan sebagainya. Jadi, jangan biarkan cuaca mengawal perasaan kita. Sebaliknya, kawallah perasaan kita untuk menghadapi apa jua cuaca yang sememangnya bukan kita yang menentukannya. Selalu ingatkan diri kita bahawa apa yang berlaku ‘dalam’ diri kita lebih penting daripada apa yang berlaku terhadap diri kita.

Orang yang berjaya ialah mereka yang sentiasa mengawal tindakan-tindakan dirinya dalam hidup ini bukan orang yang cuba mengawal tindakan-tindakan orang lain. Kita boleh catatkan apa sahaja aktiviti yang hendak kita lakukan dalam diari hari ini, tetapi kita tidak dapat sama sekali menentukan apakah kejadian yang bakal berlaku pada hari ini. Itu hakikatnya. Maka terimalah. Malangnya ramai manusia yang berasa tertekan dan takut hanya kerana mereka terus memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang di luar kawalan mereka. Selalu ingatkan diri kita bahawa kejayaan bukan bergantung kepada apa yang berlaku ke atas kita, tetapi apa yang kita lakukan terhadap perkara yang telah berlaku itu dengan upaya daripada apa yang kita lakukan dalam diri kita.

Tingkatkan keimanan Labelkan kejayaan pada setiap ketakutan yang telah diatasi

Setiap kali kita dapat menangani ketakutan, sematkan dalam hati rasa berjaya. Jika satu kejayaan menambahkan semangat kita untuk mencapai kejayaan seterusnya, begitu jugalah ketakutan. Ketakutan yang berjaya kita hadapi menambahkan keberanian kita menghadapi ketakutan seterusnya. Jadi kita sentiasa bersedia untuk mara ke hadapan dengan semangat dan keberanian bahawa kita akan terus berjaya sepertimana kejayaan-kejayaan sebelumnya. Itu adalah “tindakan berantai” yang merupakan hukum dalam kehidupan, satu kejayaan membuahkan satu kejayaan lain. Jika kita terus mematuhi prinsip yang sama dalam tindakan dan pemikiran kita, satu ketakutan kecil akan membuahkan satu ketakutan yang lebih besar. Anehnya kita tidak akan berasa takut lagi kerana itu telah dianggap peluang untuk meraikan kejayaan. Akhirnya, ketakutan tidak lagi menjadi penghalang dalam kembara kita menuju kejayaan.

Tingkatkan keimanan kurangkan ketakutan

Iman dan ketakutan sentiasa bersama kita dalam hidup. Kita boleh memilih, sama ada untuk menambahkan keimanan bagi mengurangkan ketakutan atau sebaliknya. Apabila kita melaksanakan kehendak-kehendak keimanan ia akan meningkat, maka secara automatik akan menurunlah kadar ketakutan kita. Tetapi sebaliknya, jika kita memilih untuk melayan rasa takut, kadar ketakutan bertambah dan menyusutlah tahap keimanan kita. Iman bererti percaya atau yakin, hitam putih kehidupan ini berada di dalam genggaman Tuhan. Tidak berlaku sesuatu yang memudaratkan kita tanpa izin daripada-Nya. Keyakinan kepada Tuhan membuatkan kita selalu berasa dibantu, ditolong dan didengari dalam usaha dan doa kita. Ini adalah satu kuasa yang luar biasa untuk menakluki ketakutan kita.

Dengan iman, kita akan menempuh ketakutan dengan keyakinan bahawa kita akan dibantu oleh satu kuasa yang luar biasa. Walaupun kekadang apa yang hendak kita lakukan atau hadapi itu sangat bertentangan dengan kehendak kita, tetapi kita tempuhi juga jika itu selaras dengan kehendak Tuhan yang kita yakini. Apabila ini berjaya kita lakukan, percayalah kejayaan akan tercipta jua akhirnya. Ini kerana usaha melakukan sesuatu yang tidak kita sukai pada hari ini akan mendidik kita melakukannya tanpa menderita pada hari esok.

Demikian beberapa panduan untuk menghadapi ketakutan dalam hidup kita. Itulah rahsia bagaimana orang yang berjaya dalam hidup mereka walaupun hakikatnya mereka berkongsi ketakutan, kesulitan dan masalah yang sama dengan yang dihadapi oleh orang gagal. Bezanya ketakutan menolak mereka kehadapan, sedangkan pada orang yang gagal, ketakutan menolak mereka ke belakang. Hidup ini dipenuhi rasa takut. Ini resam kita sebagai seorang hamba Allah. Kita akan sentiasa dibayangi rasa takut sama ada takut yang positif atau negatif. Kadangkala bercampur-campur antara takutkan Allah, takut miskin, takut gagal, takut melakukan kejahatan dan sebagainya. Tegasnya, ada takut yang terpuji, ada yang keji. Takut Allah misalnya, adalah takut yang terpuji. Takut yang terpuji, sangat diperlukan kerana itu mendorong kita meninggalkan kejahatan. Manakala takut kepada selain-Nya adalah takut yang keji kerana ia boleh membawa syirik.

Takut biar bertempat

Takut gagal, seharusnya mendorong kita supaya lebih bersedia dan berusaha untuk mendapat kejayaan. Inilah maksud peribahasa “sediakan payung sebelum hujan”, “berjimat semasa masih ada, beringat sebelum kena”. Ertinya, manfaatkan rasa takut untuk membuat persiapan dan persediaan agar yang kita takut itu tidak berlaku atau pun jika berlaku, dapat dihadapi dengan sebaik-baiknya. Untuk merealisasikan hakikat ini, marilah kita letakkan rasa takut pada tempat, masa dan keadaan yang sesuai. Jangan kita takut, jika bukan pada tempat, suasana dan keadaannya.

Ada orang yang dihantui rasa takut gagal, sehingga menjejaskan persediaan dan usahanya untuk berjaya. Mereka menjadi pesimis, bersangka buruk dan murung dalam hidup. Belum berjuang sudah kecundang. Ketakutan itu menyebabkan kita alami dua kali kegagalan. Pertama, ‘gagal’ sebelum gagal sebenar terjadi. Kedua, gagal setelah benar-benar gagal itu terjadi. Jadi berbaloikah jika ketakutan yang menyebabkan kerugian berganda?

Justeru, analisa rasa takut yang ada pada diri anda. Kenapa aku takut? Misalnya, kita takut gagal dalam perniagaan atau sesuatu pekerjaan, pastikan, apakah takut itu sudah keterlaluan atau masih dalam kawalan. Baiklah, fikirkan yang terburuk. Yakni kita gagal dalam pekerjaan atau perniagaan itu. Tetapi itu bukan jalan mati. Apakah sekali gagal, bererti kita gagal selama-lamanya? Tidak, kerap berlaku, kegagalan menjadi pencetus kepada kejayaan yang lebih besar lagi. Mengikut kajian “Orang yang berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal” Fikirkan, apakah hanya ada satu cara sahaja (yakni berjaya dalam bidang pekerjaan atau perniagaan sahaja) kita boleh berjaya dalam kehidupan? Ada sesetengah pelajar yang merasakan kegagalan dalam pelajaran bererti gagal dalam kehidupan.

Ini salah! Kita berusaha, namun jika gagal yakinlah masih ada peluang lagi untuk berjaya dalam bidang yang sama atau bidang-bidang yang lain. Memikirkan itu, kita akan menjadi lebih tenang. Dan ketenangan itu menyebabkan kita lebih stabil merancang dan berusaha. Apa yang diketengahkan ini hanyalah persediaan mental untuk menerima apa yang terburuk – prepare for the worst. Sikap ini sebenarnya menimbulkan satu keberanian dalam menghadapi cabaran dalam hidup. Sikap bersedia atau berani gagal akan memberi satu kekuatan dan ketenangan dalam hidup. Sebab itu sering terjadi pasukan yang dianggap ‘under dog’ berjaya mengalahkan ‘sang juara’ justeru kurangnya tekanan yang mereka hadapi dalam sesuatu pertandingan. Tegasnya, mereka berani untuk takut.¤

                

Pahrol Mohd Juoi

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas