Menu

 

A+ A A-

BAHAGIA ATAU DERITA PILIHAN MANUSIA SENDIRI

Tafsir ayat ke 123-126 Surah Taha

Firman Allah dalam ayat 123- 126, maksudnya:

“Turunlah kamu berdua dari syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.”

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata:

‘Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?’ Allah berfi rman: ‘Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.’”

Menurut para ulama mufasirin, antaranya Ibn Atiyyah dalam tafsirnya al-Muharrar al-Wajiz, arahan yang di kemukakan Allah itu turut merujuk kepada ramai, termasuk syaitan yang diketuai iblis.

Ini dapat dilihat menerusi penggunaan kata jami’an dalam ayat ke-123. Frasa “ba’dukum liba’din aduwwun” pula merujuk kepada persengketaan yang akan terus berlaku antara manusia dan syaitan.

Dalam frasa berikutnya, Allah berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.” Menurut Ibn Kathir, petunjuk yang dimaksudkan ialah kitab-kitab yang diturun kan oleh Allah dan petunjuk para nabi dan rasul.

TAFSIR-1

Menurut Ibn Abbas r.a., “tidak akan sesat dan tidak akan hidup dengan sengsara” merujuk kepada kehidupan di dunia dan sekali gus akhirat. Al-Zamkhsyari menyokong dengan katanya dalam Tafsir al-Kashshaf: “Penderitaan di akhirat disebabkan kegagalan mentaati perintah Allah di dunia, maka layaklah bagi seseorang itu mendapat kesinambungan hukuman yang sewajarnya di akhirat.”

Ayat yang berikutnya memberikan penjelasan lanjut tentang sebab seseorang itu memilih untuk hidup sesat, seterusnya menjalani kehidupan yang susah lagi penuh dengan kesempitan.

Permulaan ayat 124 mengisyaratkan bahawa “al-i’rad anillah” bermaksud berpaling daripada petunjuk Allah dan mereka itulah yang sesat. Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, berpaling bermaksud menentang perintah Allah dan melupakan sunah rasul serta mengambil petunjuk yang lain selain Islam. Mereka akan menghadapi kehidupan yang sempit. Dicabut daripada mereka perasaan tenang dan kelapangan dada. Dada akan sentiasa berasa sempit dan sesak sekalipun memiliki segala kelengkapan dan tempat tinggal yang sempurna. Meskipun lahiriah kelihatan kaya dan sempurna, tetapi hati mereka mengalami stres yang amat. Orang yang berpaling daripada hidayah Allah akan sentiasa dihantui perasaan bimbang, ragu dan goncang.

Demikianlah penjelasan Imam Ibn Kathir mengenai ayat tersebut.

Pemilihan kata nama “dankan” sudah cukup untuk memberitahu manusia tentang fitnah kesusahan yang ditempa oleh seseorang. Dalam kajian para psiko-linguistik contohnya Abu Mansur al-Tha’alibi menjelaskan dalam Fiqh alLughat, kata nama “dank” ini berada pada tingkat ketiga dalam susunan kondisi yang merujuk kepada kesempitan. Ia dimulakan dengan dayyiq diikuti dengan harij. Keadaan sempit yang lebih dahsyat disebut dalam bahasa Arab sebagai lazib, zaqab dan tark. Ini mungkin menggambarkan kesempitan tersebut berpotensi berkembang ke arah yang lebih kompleks jika tidak ditangani dengan betul.

Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran, kata nama ini berasal daripada perkataan al-dank, yang bermaksud kesusahan atau kesempitan lahir mahupun batin. Sementara imra’at dinak merujuk kepada sikap seseorang wanita yang tidak pernah cukup dengan apa yang diperolehnya atau yang disediakan oleh suaminya, sehingga dia merasai kesempitan hidup yang menekannekan batinnya.

Perasaan rasa serba tidak cukup seperti ini apabila menjelma dalam kehidupan akan menimbulkan rasa tamak, rakus sehingga mengetepikan kepentingan orang lain. Jika ia dimiliki seorang isteri, ia akan mengakibatkan suaminya mengalami tekanan pula, lantaran setiap yang diusahakan si suami sering tidak disyukuri si isteri.

Dalam kedua-dua keadaan manusia ini, iaitu yang miskin dan yang berharta, sentiasa merasakan kekurangan kerana terbelenggu oleh hal-hal materialistik.

Demikianlah Maha Benar Allah, memberikan suatu perkataan yang merangkumi dua keadaan; orang miskin yang terasa dihimpit oleh rasa susah dan orang yang kaya tetapi masih lagi berasa tidak cukup lantaran perasaan rakus yang menguasai.

Menurut Ali bin Abi Talhah dalam sebuah hadis riwayat daripada Ibn Abbas, kehidupan yang sempit ini bermaksud kesengsaraan. Al-Dahhak pula berkata golongan ini menempah hidup yang gelap dan sempit rezeki. Al-Bazzar pula meriwayatkan sebuah hadis dengan sanad yang baik, bahawa Nabi menjelaskan kehidupan yang sempit itu ialah azab kubur.

Firman Allah selanjutnya, “Dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

Menurut Ibn Jarir dalam tafsirnya Jami’ al-Bayan, bahawa mereka tidak mempunyai sebarang hujah di hadapan mahkamah Allah kelak. Ikrimah pula mengatakan, bahawa mereka akan menjadi buta iaitu tidak melihat sebarang benda melainkan neraka sahaja yang mampu dilihatnya.

Ayat ini disokong oleh ayat yang lain iaitu ayat ke-97 surah al-Isra’ yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dialah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkan-Nya, maka tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka penolong-penolong yang lain selain daripada-Nya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka) atas muka (masing-masing), dalam keadaan buta, bisu dan pekak.Tempat mereka ialah neraka jahanam. Tiap-tiap kali malap julangan apinya,Kami tambah dengan api yang menjulang-julang.”

Merayu kepada Allah

Hamba yang bersalah ini akan merayu kepada Allah, “Mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”, iaitu ketika di dunia. Allah s.w.t. akan menjawab dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepada kamu, lalu kamu lupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah kamu pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.”

Maksud jawapan sinis ini adalah untuk mengingatkan manusia tentang kelalaian mereka daripada mengingati Allah yang menyebabkan mereka menerima balasan yang setimpal dengan itu, iaitu dilupakan oleh Allah pada hari yang penting itu.

Selain daripada orang yang meninggalkan ayat-ayat Allah, terdapat beberapa kategori manusia yang turut menerima penghinaan Allah, seperti hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud:

“Tiga jenis manusia yang tidak akan dilihat oleh Allah pada hari kiamat, dan Allah tidak akan menyucikannya (mempermudahkan perhitungan) dan baginya azab yang sangat pedih; seorang yang memiliki bekalan air di dalam perjalanan tetapi dia menghalang orang lain daripada memperolehnya; seorang yang memilih pemimpin semata-mata kerana dunia yang diharapkannya; dan seorang peniaga yang menjual barangnya dengan sumpah palsu.”

Dalam hadis sahih yang lain diriwayatkan oleh Muslim (no. 309), Nabi menjelaskan tiga kategori manusia itu ialah orang tua yang berzina, pemimpin yang berbohong dan orang yang berkelakuan sombong.

Semua golongan yang dimaksudkan di atas sama ada pemimpin yang zalim, peniaga yang menipu dan lelaki tua yang berzina serta golongan yang meninggalkan tuntutan-tuntutan yang dipertanggungjawabkan oleh Allah sebenarnya memiliki sifat buruk yang sama iaitu tidak menunaikan amanah.

Muhammad Mutwalliy al-Sya’rawiy dalam tafsirnya membuat sebuah perkaitan yang menarik apabila beliau mengemukakan ayat ke-28 dari surah al-Ra’d yang bermaksud:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” Ketahuilah dengan “zikrullah” itu akan tenang tenteramlah hati manusia.

Mafhum mukhalafah daripada ayat ke-124 surah Taha ini, seseorang Mukmin akan terhindar kesusahan hari akhirat lantaran mereka sentiasa menjalani hubungan secara istiqamah dengan Allah. Hubungan ini menjadi sebab ketenangan jiwanya dan kebahagiaan hatinya. Ini balasan untuknya di dunia. Di akhirat pula baginya ganjaran yang dinyatakan dalam ayat ke-17 surah al-Sajadah: “Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka kerjakan.”

Jika orang yang lalai daripada mengingati Allah, bagi mereka hidup yang sempit dan mata yang buta di akhirat. Sebaliknya orang beriman dijanjikan bagi mereka ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan keselamatan di akhirat.

Benar kata-kata mufasir ulung Nusantara, Prof. Dr. Hamka dalam tafsirnya:

“Ayat-ayat ini sebenarnya merupakan wasiat dan nasihat tidak langsung Abul Basyar, bapa sekalian manusia kepada zuriat keturunannya, bahawa ujian dunia yang dilalui sekalian kita hanya mampu dihadapi dengan berbekalkan al-Quran dan sunah Nabi untuk diamalkan dalam kehidupan.”

Maksudnya ketenangan atau kebahagiaan, kesengsaraan dan kesempitan adalah pilihan manusia itu sendiri.

Ustaz Hj Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas