Menu

 

A+ A A-

MENCEDUK AIR TELAGA YANG DALAM DENGAN KEDUA TAPAK TANGAN

ANTARA bandingan yang menarik di kemukakan dalam al-Quran adalah bandingan orang yang melakukan perbuatan syirik pada Allah sebagai orang yang menceduk air telaga dengan tangannya.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Ra’d ayat 31 maksudnya: “Kuasa menerima ibadat yang benar adalah tertentu bagi Allah dan benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak akan dapat menyahut atau memberikan sesuatupun kepada mereka,hanyalah seperti orang yang membentangkan kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya.Dan tiadalah ibadat dan doa permohonan orang kafir itu melainkan dalam kesesatan".

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, sayidina Ali r.a. berkata ayat ini bertujuan memberikan gambaran tentang seseorang yang mem punyai aqidah yang jelas dengan seorang yang sesat. Menurut Sayidina Ali r.a., maksud ayat ini menunjukkan betapa perbuatan orang yang tidak beriman meminta kepada Tuhan seolah-olah perbuatan seseorang yang berada di mulut telaga yang dalam, kemudian menghulurkan kedua tangannya kepada air yang terletak jauh di dasarnya.

Jika tangan yang dihulurkan itu pun tidak dapat sampai kepada air, apatah lagi mulutnya tak mungkin dapat meneguk menghilangkan dahaga. Demikianlah bandingan orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman pada sisi Allah.

Pada dasarnya sesuatu bandingan di kemukakan supaya manusia dapat mengetahui dengan lebih jelas tentang perkara yang tersirat atau terselindung oleh pendengaran dan penglihatan mereka. Allah mengemukakan bagaimana sikap manusia menghadapi kesulitan.

Allah berfirman dalam surah Yunus ayat 22 yang bermaksud: “Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersuka cita dengannya, tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepada-Nya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): ‘Demi sesungguhnya! jika engkau (ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur.’” Satu ilustrasi yang menarik terhadap tabiat manusia yang sering alpa, hanya akan beringat apabila sudah terkena.

Naluri mengharapkan bantuan Allah hanya timbul dalam suasana kritikal apabila dia yakin tiada tempat mengharap melainkan pada-Nya. Setelah puas melakukan dosa dan maksiat, dia cuba mereka cipta tuhan dengan akalnya yang dangkal, untuk dia mengadu kesalahannya agar mendapat keampunan. Alangkah peliknya hidup menjadikan berhala-berhala tidak bernyawa sebagai tempat bersandar.

Malah ada yang lebih jauh lagi ia memberikan jamuan dan hidangan olok-olok pada sembahan kepada objek yang dijadikan sebagai tuhan. Inilah yang Allah maksudkan memohon bantuan kepada tuhan yang batil seumpama percubaan menangguk air telaga yang dalam dengan tangan, bagaimana mungkin boleh dicapai. Berbeza dengan orang yang beriman, sentiasa merasai berdekatan dengan-Nya, mengharap bimbingan dan rahmat-Nya.

Berada dekat dengan-Nya menjadikan hidupnya sentiasa dalam keamanan dan kelapangan, berada di sisi Tuhan yang menjadi sumber pergantungan mutlak dan menetap serta memberikan rezeki. Firman-Nya dalam surah al-Dhariyat ayat 58: “Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya.”

Pentingnya Doa
Meneliti lebih mendalam penting nya doa dan kesannya dalam kehidupan. Tanpa doa manusia dapat mencipta pembangunan dan teknologi. Apakah bandingan dalam perkara yang kecil ini mampu memberikan impak besar kepada manusia? Orang beriman meyakini bahawa permohonannya pasti diterima Allah, sebagai mana yang dijanjikan dalam surah al-Baqarah ayat 186 maksudnya: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka).” Hampirnya Allah dengan hamba bermaksud dimustajabkan doa.

kiasan 3

Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad Nabi bersabda maksudnya: “Tiada seorang Muslim ber doa kepada Allah selain perkara yang berbentuk dosa atau memutuskan silatur rahim, melainkan Allah pasti menerimanya salah satu daripada tiga; sama ada diterimanya dengan segera, atau disimpankan untuknya di akhirat atau dielakkan dia dari sesuatu keburukan sebanding dengan permintaannya.”

Para sahabat bertanya: “Jika demikian kita akan banyak meminta kepada-Nya?” Jawab Nabi s.a.w.: “Allah lebih banyak rahmat-Nya.” Jelaslah mengapa Allah membandingkan golongan yang menyekutukan Allah seumpama perbuatan orang yang tidak menggunakan timba untuk mendapatkan air yang dalam, sebaliknya menggapai kedua-dua tangan terbuka untuk mendapatkannya. Apakah ada perbuatan yang lebih sia-sia daripada ke lakuan ini? ¤

 

  Ustaz Zahazan Mohamed

 Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

_______________________________________________________________________

 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas