Menu

 

A+ A A-

SYUKURI NIKMAT SIHAT DAN WAKTU LAPANG

Kesihatan jasmani dan mempunyai waktu lapang yang terluang merupakan modal utama dalam kehidupan manusia. namun, kesihatan dan waktu lapang ini merupakan dua nikmat kurniaan allah s.w.t. yang amat besar tetapi sering dilupakan oleh manusia.

Allah berfirman dalam surah al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang  yang beriman dan sentiasa membuat kebaikan dan saling menasihati dalam kebaikan dan kebenaran.”

Dalam ayat ini Allah mengatakan bahawa manusia itu banyak termasuk dalam golongan yang rugi disebabkan banyak membuang waktu. Oleh itu, Allah mengajarkan kepada kita tiga cara untuk menggunakan kesempatan agar tidak rugi, iaitu menggunakan setiap detik untuk meningkatkan keimanan kepada Allah, beramal soleh dan saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. mengingatkan umatnya tentang lima perkara iaitu sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati.

Melalui hadis tersebut, Rasulullah menyeru umatnya supaya sedar bahawa segala apa yang dikurniakan dan apa saja keadaan yang dialami adalah nikmat daripada Allah s.w.t. Oleh itu, kita seharusnya banyak bersyukur kepada Allah dalam apa jua kesempatan. seharusnya kita mengucapkan terima kasih dengan ikhlas kepada orang yang berbuat baik kepada kita. Biasanya kita hanya ingat Allah sewaktu dalam kesusahan dan kesulitan sahaja. Apabila senang, jarangjarang kita bersyukur atas nikmat terutama kesihatan dan waktu lapang.

Dalam dunia ini, faktor kesihatan jasmani akan menentukan kualiti hidup yang sempurna. Meskipun kekayaan melimpah ruah, kedudukan pangkat yang tinggi, berilmu pengetahuan yang cukup, tetapi jika tubuh badan tidak sihat, sentiasa sakit, semua itu tidak akan bermanfaat secara efektif.

Sebenarnya kesihatan itu mahal dan tidak ternilai harganya. ia tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Lazimnya kita hanya dapat merasakan nikmat sihat itu ketika sedang sakit. Berbagai-bagai usaha dan cara rawatan sanggup kita lakukan, menelan pelbagai ubat agar kita sihat kembali. Namun, apabila sembuh, kita sering melupakan bahawa yang telah menyembuhkan kita ialah Allah s.w.t. Bahkan kita berbangga-bangga mengatakan doktor sekian, ubat sekian yang menyebabkan kita sembuh.

muhasabah1

Sebagai Muslim, kita seharusnya mempergunakan kesempatan dan waktu lapang dengan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat bagi dirinya dan orang lain. Ini kerana segala apa yang kita lakukan akan dikira sebagai ibadah. Kebiasaannya kita terlalu sibuk dengan urusan-urusan duniawi sehingga melupakan akhirat. seolah-olah tiada kesempatan langsung untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Yang ada hanyalah waktu untuk mencari atau menikmati harta kekayaan yang diperolehinya.

Ingatlah hidup di dunia ini ada masa senang dan ada masa susah. Ada waktu peluang terbuka, ada pula waktu langkah sangat sukar dan sempit. Namun, tidak selamanya kita akan berada dalam kesempitan dan kesibukan.

Kedua-dua perkara ini sangat dibimbangi oleh Rasulullah s.a.w. ibnu Baththal mengatakan, maksud hadis Rasulullah tersebut adalah seseorang yang mensyukuri nikmat kesihatan dan kesempatan waktu lapang yang dikurniakan oleh Allah haruslah dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan, maka dia tidak akan termasuk di dalam golongan orang-orang yang ‘maghbun’ (lalai semasa sihat dan lapang).

Fahamilah hakikat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah agar kita berusaha untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya. Manfaatkan waktu yang terluang untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah s.w.t. dan lakukan juga perkara yang bermanfaat bagi orang lain.

Oleh itu, ingatlah, bahawa suatu waktu nikmat sihat dan waktu lapang yang dimiliki itu mungkin akan berkurang ataupun hilang sama sekali dalam sekelip mata. Tubuh badan yang sihat, waktu terluang yang ada sekarang hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan kita di dunia dan akhirat. Dengan mensyukuri semua kenikmatan, akan menghasilkan kita menjadi manusia yang beruntung di dunia dan lebih penting lagi di akhirat.

Oleh Mahfuzah Omar

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas