Menu

 

A+ A A-

HEBATKAH KITA

ANTARA KISAH NABI SULAIMAN YANG TERPAHAT DALAM SURAH AL-NAML AYAT KE-19 YANG BERMAKSUD: “MAKA DIA (SULAIMAN) TERSENYUM MENDENGAR PERKATAAN SEMUT ITU. DIA BERDOA: ‘YA TUHANKU, BERILAH AKU ILHAM UNTUK TETAP MENSYUKURI NIKMAT-MU YANG TELAH ENGKAU ANUGERAHKAN KEPADAKU DAN KEPADA IBU BAPAKU, SUPAYA AKU TETAP MENGERJAKAN AMAL SOLEH YANG ENGKAU REDAI.”

Kisah Nabi sulaiman ini telah memberikan pengajaran kepada kita supaya menjadi manusia yang sentiasa tawaduk. Tidak sepatutnya kita menjadi manusia yang angkuh hanya kerana berasa lebih kaya, lebih pandai, lebih cantik dan sebagainya berbanding orang lain.

Apabila kita menganggap kita lebih bagus, kita menyangka orang lain itu mempunyai kekurangan kerana kelebihan kita. ingat, Nabi sulaiman memiliki segala-galanya. Ilmu pengetahuan yang tidak terjangkau, memahami bahasa binatang, menguasai manusia, binatang bahkan golongan jin sekalipun.

Baginda memiliki kekayaan yang melimpah ruah, istana yang tersergam indah, dan singgahsana yang diperbuat daripada emas. Nabi sulaiman juga mempunyai rupa paras yang tampan, dan memiliki isteri yang cantik. Namun, semua kelebihan itu telah membuatkan baginda semakin bersyukur dan tawaduk.

Baginda tidak angkuh kepada mereka yang berada di bawah kekuasaannya. Baginda tidak berbuat zalim kepada rakyat jelata dan sangat menyayangi semua makhluk yang diciptakan Allah s.w.t.

Berbanding dengan sebahagian daripada kita yang sombong dan angkuh ketika dikurniakan kekayaan, sudah tidak mahu bergaul dengan orang miskin dan susah, apalagi mahu membantu atau menolong mengurangkan beban mereka.

Jangan kita anggap, pangkat, kedudukan dan taraf pendidikan yang tinggi itu sudah cukup menjadikan kita hebat dan boleh meninggi diri. Wahai saudaraku, jadilah manusia yang sentiasa tawaduk, walau setinggi mana dan sehebat mana pun martabat kita di mata manusia. Menjadi orang yang tawaduk tidak akan menjatuhkan martabat kita, bahkan sebaliknya akan meninggikan darjat dan martabat kita di sisi Allah s.w.t.

 

 

 

Oleh Mahfuzah Omar

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 7

 


 

Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas