Menu

 

A+ A A-

PENYAKIT-PENYAKIT HATI

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “SESUNGGUHNYA SESUATU YANG SANGAT AKU BIMBANGKAN ATAS KAMU ADALAH DUA PERKARA, IAITU MENGIKUTI HAWA NAFSU DAN PANJANG ANGAN-ANGAN. MENGIKUT HAWA NAFSU BERERTI MENJAUHI KEBENARAN, SEDANGKAN PANJANG ANGAN-ANGAN MENCERMINKAN CINTA DUNIA.” - (Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya)

Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini mengingatkan kita bahawa seorang Muslim dituntut agar berhati-hati terhadap dua perkara, iaitu mengikut hawa nafsu dan panjang angan-angan. Orang yang menuruti hawa nafsunya cenderung untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah. Kebenaran yang sepatutnya dijunjung tinggi akan diabaikannya demi kepuasan nafsunya. Nurani yang seharusnya dapat memberikan pengaruh kepada hati dan fikirannya, tidak berdaya menahan gempuran nafsu yang dikendalikan syaitan.

Sama dengan hawa nafsu, panjang angan-angan juga cenderung ‘bekerja’ dengan kurang rasional. Perkataan ‘seandainya’ ataupun ‘kalau’ sering mengelabui hatinya. Ayat, “seandainya saya ada kereta.” Atau, “Jikalau saya memiliki rumah mewah.” Atau, “Kalaulah saya ada harta yang melimpah ruah.” itulah lamunan dan impian kosong begitu mudah menguasai benaknya.

Tidak hairan, jika hari-harinya dilalui dengan angan-angan dan khayalan untuk hidup menjadi orang kaya. Malangnya bukanlah semangat ataupun ikhtiar untuk mewujudkan impian itu, namun kemalasan kerana sudah terlena dalam khayalan atau mimpi indah.

Atau, jika pun memiliki semangat berusaha kerana motivasinya mendapatkan wang berlipat-lipat, maka ia berlaku curang atau melakukan penganiayaan: seorang pegawai sanggup melakukan salah laku di jabatannya melibatkan pecah amanah; seorang peniaga boleh menipu pembeli dengan mengurangkan timbangan atau mengurangkan kualiti barang jualannya; dan pegawai yang menjaga keselamatan pula tidak akan teragak-agak melakukan rasuah agar dapat memenuhi tuntutan nafsunya secara segera dengan hasil bayaran daripada orang yang berurusan dengannya.

Orang yang mengikut hawa nafsu tanpa berfikir panjang dan ditambah pula dengan panjang angan-angan ini sebenarnya sudah ditimpa penyakit hati yang amat kronik. Hati yang seharusnya menjadi raja, kini telah bertukar menjadi hamba lantaran terikut dengan syahwat dunia dan syaitan.

Abdullah bin Mas’ud r.a. ketika mengulas tentang hadis ini mengatakan, “Empat perkara yang menyebabkan gelapnya hati, iaitu perut yang terlalu kenyang, berteman dengan orang zalim, melupakan dosa yang pernah dilakukan, dan panjang angan-angan.” Kerana itu, hendaklah kita menjadi manusia Muslim yang berwaspada terhadap tarikan-tarikan ini.

 

 

Mahfuzah Omar

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.6

 


 

Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas