Menu

 

A+ A A-

KONSEP SOLAT JAMAK DAN QASAR

Ditulis oleh 

Solat Jamak dan Qasar Tidak Semestinya Disekalikan

Soalan:

SELAMA ini saya hanya melakukan solat secara jamak dan qasar semasa balik kampung sahaja. Saya baru tahu bahawa kita boleh melakukan solat jamak biarpun tidak bermusafir. Mohon ustaz jelaskan.

Jawapan:

Qasar dan jamak adalah keringanan daripada Allah untuk kita. Keringanan itu hanya boleh dilakukan dalam kondisi-kondisi tertentu sahaja. Selain daripada kondisi-kondisi tersebut, semua solat fardu mesti dilakukan pada masa dan bilangan rakaat yang telah ditetapkan. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat adalah kewajiban (yang ditetapkan) ke atas orang beriman pada masa-masanya.” (Surah al-Nisa’ 4:103)

Adalah berdosa sesiapa yang menjamakkan atau mengqasarkan solat tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Umar bin al-Khattab pernah berkata: “Termasuk dosa besar adalah menjamakkan solat tanpa uzur.” (Riwayat al-Baihaqi)

Qasar Solat Hanya Disebabkan Bermusafir

Sebab yang membolehkan solat qasar berbeza dengan solat jamak. Para ulama sepakat bahawa qasar hanya boleh dilakukan oleh musafir dalam perjalanan jauh sahaja.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila kamu bermusafir, maka tidak mengapa bagi kamu mengqasarkan solat jika kamu khuatir gangguan daripada orang kafir…” (Surah al-Nisa’ 4: 101)

Imam al-Nawawi berkata: “Boleh qasar dalam perjalanan untuk solat Zuhur, Asar dan Isyak. Tidak boleh bagi solat Subuh dan Maghrib. Juga tidak boleh qasar dalam keadaan hadir (tidak bermusafir). Ini adalah perkara yang menjadi ijmak para ulama.” (Al-Majmu‘ jil. 4, hlm. 148)

Jamak Solat Disebabkan Kesulitan

Adapun solat jamak, maka ia boleh dilakukan ketika bermusafir dan beberapa sebab lain. Menurut mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali, jamak takdim boleh dilakukan pada saat hujan lebat di masjid bagi orang yang solat berjemaah. Mazhab Syafi‘i pula membolehkan jamak untuk solat Zuhur dan Asar, atau Maghrib dan Isyak. Manakala mazhab Maliki dan Hanbali hanya membolehkan jamak ini bagi solat Maghrib dan Isyak sahaja.

Mazhab Hanbali turut menetapkan bahawa selain musafir dan hujan, menjamakkan solat juga dibolehkan kerana sakit dan hajat yang mendesak. Alasannya, kedua-dua perkara ini menyebabkan kesukaran melebihi kesukaran yang dihadapi oleh musafir dan orang yang ditimpa hujan. Jika bermusafir dan hujan boleh menjadi alasan untuk dijamakkan solat, maka sakit dan hajat yang mendesak tentu lebih boleh lagi.

Walau bagaimanapun, faktor sakit dan keperluan mendesak ini tidak dibenarkan dalam mazhab Syafi‘I secara dasarnya. Namun begitu, tidak sedikit ulama mazhab Syafii antaranya Imam al- Nawawi dalam al Majmu‘nya yang menyokong bahawa dibolehkan menjamakkan solat kerana sakit. Al-Khatib al-Syarbini juga berkata dalam Mughni al-Muhtaj dan al- Iqna: “Pendapat ini lebih sesuai dengan keindahan syariat Islam.”

Mazhab yang paling sempit dalam soal solat jamak ialah mazhab Hanafi. Mereka hanya membolehkannya untuk jemaah haji ketika wuquf di Arafah dan mabit (bermalam) di Mina sahaja.

Jamak Solat Waktu Kritikal

Soalan:

Ustaz menyebut bahawa kita boleh menjamakkan solat disebabkan kesulitan. Saya inginkan kepastian, bolehkah dijamakkan solat bagi kes-kes terdesak seperti seorang doktor bedah yang menjalankan pembedahan atau seorang pelajar di luar negara yang sedang menduduki peperiksaan.

Jawapan:

Berdasarkan penjelasan singkat di atas, kita dapat melihat bahawa kebanyakan ulama tidak membolehkan jamak solat dalam kes-kes yang dipersoalkan ini. Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi‘i tidak memberi pilihan kecuali mesti melaksanakan solat pada masanya. Jika tidak mampu, maka ia wajib mengqada solat yang ditinggalkan. Ia tidak berdosa insya-Allah kerana alasan tersebut.

Hanya mazhab Hanbali yang membuka kelonggaran dalam kes-kes seperti ini. Menurut mazhab Hanbali, seseorang boleh menjamakkan solat kerana keperluan penting yang tidak dapat dielakkan.

Seorang doktor bedah yang menjalankan pembedahan untuk menyelamatkan nyawa yang memerlukan masa yang panjang, maka boleh baginya menjamakkan solatnya. Dia boleh memilih antara jamak takdim atau jamak takhir sesuai dengan keadaannya. Begitu juga seorang polis trafik yang bertugas menjaga lalu lintas sekitar waktu Maghrib hingga Isyak yang tidak mampu melakukan solat pada masanya. Maka boleh baginya menjamakkan kedua-dua solat tersebut mengikut mazhab Hanbali.

konsep-solat-jamak-1

Fatwa Ulama Semasa

Kedua-dua isu ini turut difatwakan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitab Fatawa al-Mua‘sarah. Menurut Dr Wahbah al-Zuhayli, solat jamak dibolehkan bagi pekerja Muslim yang bekerja dengan syarikat yang tidak memberikan peruntukan masa untuk solat dan dia juga tidak berkesempatan melakukan dalam waktu-waktu akibat jenis pekerjaannya. Begitu juga halnya seseorang yang bertugas mengawasi alat-alat tertentu setiap saat dan tidak dapat meninggalkannya walau hanya sekejap. Demikian penjelasan beliau dalam Qadaya al-Fiqh wa al-Fikr al-Mu‘asir.

Jangan Sewenang-wenangnya

Walau bagaimanapun, sangat dianjurkan agar kita mengatur masa dengan baik agar dapat melaksanakan solat tepat pada waktunya. Kita tidak boleh menjamakkan solat sewenang-wenangnya. Keperluan dan desakan ringan seperti menguruskan kenduri perkahwinan, menjadi pengantin, membeli-belah di pasar dan lain-lain tidak boleh dijadikan sebab. Justeru dalam semua kes ini, kita tetap dituntut menjaga solat pada masa-masanya.

Takutlah kepada Allah yang Maha Mengetahui gerak hati setiap manusia. Allah Maha Tahu siapa yang benar-benar layak mendapat keringanan ini dan siapa yang tidak. Seorang Muslim yang baik selalu berusaha melaksanakan solat dengan sempurna dan tidak mencari-cari keringanan. Mementingkan solat petanda ketinggian darjat seseorang di sisi Allah. Wallahu a‘lam.

 

Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Read 214038 times
Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.