Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Umum

Soal Jawab - Umum

Soalan : Bolehkah ustaz berikan panduan-panduan asas bagaimana seharusnya kita menggunakan masa mengikut ajaran Islam?

Jawapan : Sebenarnya jika kita melaksanakan ajaran Islam, maka secara automatik kita akan dapat menguruskan masa kita dengan baik. Sebab, ajaran Islam itu adalah ajaran yang mementingkan ketepatan dan pengamatan masa. Contohnya, solat lima waktu. Ia punya waktu-waktunya tersendiri. Waktu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Jika kita hendak solat Subuh, maka kita akan bangun awal daripada tidur. Kita tidak akan tidur berlebihan atau bangun lewat. Ertinya, kita akan membuang banyak masa dengan tidur. Untuk bangun tidur awal tentulah kita tidak akan berjaga hingga larut malam.

Begitu juga dengan waktu-waktu solat yang lain. Tegasnya apabila seseorang itu menjaga solat maka pengurusan masanya pun akan baik. Selain itu dalam ajaran Islam, hidup kita dikawal oleh hukum syariat yang lima itu. Kita akan buat perkara yang wajib, halal, harus dan sunat. Manakala yang haram kita akan tinggalkan. Begitu juga dengan perkara yang sia-sia atau lagha. Kita akan tinggalkan.

Jadi, kalau kita ikut syariat, maka secara automatik masa kita akan dihabiskan untuk membuat perkara yang baik-baik, berpahala dan memberi manfaat. Kita tidak akan buang masa untuk perkara yang haram, berdosa dan sia-sia. Malah dalam ajaran Islam juga kita dituntut memilih antara dua perkara yang mana lebih utama. Misalnya, jika kita seorang pelajar, bertembunglah antara dua perkara baik, katalah antara sembahyang sunat dan belajar, maka yang paling utama bagi kita ialah kita dahulukan belajar. Itu lebih utama.

Sembang dengan ustaz

(Majalah Solusi Isu 3)

Soalan: Apa erti "Ba‘th"?

Jawapan: Kebangkitan. Yaum al-Ba‘th bererti hari kebangkitan manusia dari kuburnya setelah mati untuk dipertanggungjawabkan perbuatannya selama dia hidup di dunia, di hadapan pengadilan Tuhan Yang Agung. Allah s.w.t. berulang kali mengingatkan manusia tentang ba‘th agar mereka sedar akan kekufuran dan keingkaran mereka. Antara ayat al-Quran yang menyebut tentang ba‘th ialah surah al-Baqarah ayat 56 dan 259, surah al-An‘am ayat 36, surah al-Hijr ayat 36, surah al-Nahl ayat 84, surah al-Isra’ ayat 49 dan sebagainya.

M. Abdul Mujieb Tholhahah Syafi’ah A.M

(Kamus Istilah Fiqih)

(Majalah Al-Ustaz Isu No.2)

Soalan : Saya kerap merasa rendah diri kerana wajah yang tidak cantik. Oleh itu saya sering menyendiri dan jarang bergaul dengan orang lain. Saya sedar bahawa tindakan saya ini tidak wajar, tapi apakah tindakan terbaik perlu saya lakukan?

Jawapan : Walaupun kita tidak cantik tetapi ini tidaklah bermakna kita harus merasa malu. Ini kerana kita mesti punya kelebihan tersendiri yang boleh menarik hati orang lain kepada kita.

Apakah kelebihan itu? Ya, kita sendiri mesti mengetahuinya dan itulah nanti yang kita perlu manfaat untuk membuang rasa malu tidak bertempat yang singgah di hati kita sekarang. Untuk mendapat kasih sayang, kita tidak perlu cantik. Kita tidak boleh mengubah wajah kita, tetapi kita boleh mengubah kelakuan kita. Ini bukan soal pembedahan plastik, suntikan botox atau sebagainya, tetapi “pembedahan” hati dan “muhasabah” jiwa.

Dari buruk kepada baik, dari baik kepada yang lebih baik… Telah banyak pengalaman kita, orang cantik pada mulanya, tetapi apabila kita mula bercakap dan bergaul dengannya kita sudah tidak mengagumi lagi kecantikannya. Sudah ditenggelamkan oleh mulutnya yang celupar, sikapnya yang kasar. Tetapi berapa ramai orang yang wajahnya tidak secantik mana, malah yang buruk dan sederhana sahaja tetapi apabila kita dekati dan gauli, semakin hari semakin menawan pula gayanya. Sudah terlindung hidungnya yang pesek dek akhlaknya yang baik. Kita boleh menjadi orang itu… Dan percayalah kita akan disayangi bukan sahaja oleh keluarga kita bahkan oleh orang lain juga.

 

Oleh Adli 

(Majalah Solusi isu 2)