Menu

 

A+ A A-

MANDI AIR SUSU

Air susu sepatutnya diminum. Jadi apa hukum mandi menggunakan air susu sebagai satu bentuk rawatan?

MUKADIMAH: Allah s.w.t. menjadikan setiap makhluk yang berada atas muka bumi ini tanpa sia-sia. Firman Allah dalam surah Sad ayat 27 yang bermaksud: “Dan Kami tidak menjadikan langit, bumi, dan segala makhluk yang berada antara kedua-duanya secara batil (sia-sia dan main-main).” Justeru sekecil dan sehina mana sekalipun ia, pasti ada manfaat yang tersembunyi yang tidak diketahui oleh manusia.

RINGKASNYA: Penggunaan susu sebagai bahan pengubatan masa kini dengan cara selain diminum adalah diharuskan. Ia termasuklah dengan menjadikannya sebagai air rendaman ketika mandi atau digunakan untuk membersihkan badan.

HURAIAN: Para ulama sepakat atas prinsip:

1 Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus selagimana tidak terdapat dalil yang mengharamkannya.

2 Hukum asal bagi segala perkara yang bermanfaat adalah harus, manakala hukum asal bagi segala perkara yang mendatangkan mudarat adalah haram.

Dalam surah al-Baqarah ayat 29, Allah berfirman yang bermaksud: “Dialah Tuhan yang menciptakan bagi kamu segala apa yang berada di bumi.” Pengarang kitab Tafsir al-Jalalain mentafsirkannya bahawa Allah menjadikan kesemua itu agar manusia dapat mengambil manfaat dan iktibar daripadanya. Jadi jelas bahawa manfaat merupakan antara penyebab sesuatu itu diharuskan. Oleh sebab itu, ditegaskan sekali lagi bahawa asal kepada sesuatu perkara adalah harus selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Justeru, terpulang kepada manusia untuk memanfaatkannya dengan apa jua cara mengikut kesesuaian dan keadaan mereka. Asalkan ia tidak bercampur dengan perkara yang diharamkan, selagi itu ia boleh dimanfaatkan.

Namun perlu diingat juga bahawa penggunaan sesuatu perkara yang harus itu boleh berubah menjadi wajib, haram dan sebagainya. Misalnya, jika suatu kemudaratan akan menimpa nyawa dan anggota badan manusia dan cara untuk menghilangkannya adalah dengan pengambilan air susu sebagai penawar, maka hukum penggunaannya boleh bertukar kepada wajib. Begitu juga jika ia dicampurkan dengan najis, penggunaannya ketika itu akan bertukar menjadi haram.

TAMBAHAN: Apa-apa pun, rawatan menggunakan susu bukanlah sesuatu yang dianggap pelik pada masa kini. Banyak lagi bahan semula jadi yang dijadikan bahan perubatan alternatif seperti madu lebah. Allah sendiri berfirman tentang madu dalam surah al-Nahl ayat 69 dengan maksudnya: “Padanya terdapat penawar bagi manusia…” Begitu juga Baginda bersabda yang bermaksud: “Penawar itu terdapat pada tiga perkara; minuman madu…” (Riwayat al-Bukhari)

Bahkan bukti penemuan khasiat madu ini sangat banyak antaranya ia boleh: membuang kutu di celah-celah permukaan badan setelah ia disapu ke atasnya, dipakaikan ke atas rambut untuk melebatkan dan mencantikkannya, dapat menerangkan penglihatan jika ia digunakan sebagai celak, boleh mengawet mayat manusia agar tahan lama dan pelbagai lagi manfaat yang boleh diperoleh melaluinya.

mandi-air-susu-1-4

Membuang Air Susu Selepas Menggunakannya

Apa yang saya perlu lakukan selepas menggunakan air susu sebagai air mandian? Adakah saya dikira melakukan pembaziran sekiranya membuangnya?

Berdasarkan kepada cara penggunaannya, air susu tersebut tidak akan lagi digunakan untuk diminum atau sebagai bahan dalam masakan. Ini kerana kemungkinan besar ia telah dicemari dengan bakteria dan virus yang boleh mendatangkan kemudaratan. Maka perbuatan membuangnya selepas digunakan tidak dikira sebagai perbuatan yang membazir. Tambahan pula membazir bermaksud melampaui batasan daripada perkara yang halal kepada perkara yang haram.

Namun jika ada cara yang lebih baik yang boleh digunakan selepasnya seperti untuk kegunaan tumbuhan, perindustrian dan sebagainya dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka itu lebih baik. Sesungguhnya Islam itu mudah dan memberikan kemudahan kepada manusia. Menggunakan bahan minuman yang mengandungi pelbagai khasiat sebagai bahan alternatif perubatan adalah diharuskan seperti dalam masalah ini.

Namun, tidak semua minuman boleh dijadikan sebagai penawar melainkan setelah mendapat nasihat daripada doktor dan dipastikan keselamatannya. Jika tidak, ditakuti ia akan mendatangkan mudarat sampingan ke atas tubuh badan.

Muhammad Yusuf A Kadir
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu No.5


Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas