Menu

 

A+ A A-

TERHALANG DARIPADA MENDAPAT HARTA PUSAKA

Tiga Penghalang

APAKAH perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu terhalang daripada menerima pusaka?

Ada tiga perkara atau faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu terhalang daripada menerima harta pusaka:

1 Perhambaan.

2 Pembunuhan

3 Perbezaan agama (Muslim dan kafir).

Kita ambil contoh bagi faktor perhambaan. Seorang hamba tidak berhak mewarisi harta. Sekiranya dia boleh mewarisi, sudah tentu ia akan menjadi milik tuannya. Hamba juga tidak boleh mewariskan hartanya kerana dia tidak memiliki apa-apa. Malah harta dan dirinya sendiri milik tuannya.

terhalang-drpd-mendapat-pusaka-1

Pembunuh Tidak Mewarisi

Bagaimana pula dengan satu kes seorang lelaki secara tidak sengaja tertembak ayahnya ketika berburu bersama. Akhirnya si ayah meninggal dunia. Adakah dia tidak mendapat bahagiannya?

Prinsipnya, pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang dibunuh sama ada dengan niat atau tidak, dan sama ada dengan hak (sebab yang dibenarkan seperti mempertahankan diri) atau tidak. Hal ini termasuklah bagi kes seorang hakim yang menjatuhkan hukuman mati kepada adik kandungnya. Maka dia tidak boleh mewarisi harta adiknya.

Begitu juga bagi kes seseorang yang menjadi saksi pendakwaan sehingga menyebabkan si tertuduh yang merupakan saudaranya dihukum mati. Ini kerana pembunuhan dikira sebagai pemutus hubungan persaudaraan sedangkan hubungan itulah merupakan penyebab seseorang boleh menjadi pewaris. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Pembunuh tidak boleh mewarisi harta (pusaka).” (Riwayat Abu Daud)

Murtad Faktor Penghalang

Bolehkah anak yang murtad mewarisi harta pusaka ayahnya?

Prinsipnya, orang kafir tidak boleh mewarisi harta orang Islam dan begitu juga sebaliknya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seseorang Muslim tidak boleh mewarisi pusaka orang kafir dan seorang kafir tidak boleh mewarisi pusaka seorang Muslim.” (Riwayat al-Bukhari)

Orang murtad pada hakikatnya telah menjadi orang kafir. Maka dia tidak boleh mewarisi pusaka. Hartanya juga tidak boleh diwarisi. Malah hartanya dianggap sebagai harta fai’ (harta rampasan daripada orang kafir) dan mesti diserahkan kepada baitulmal.

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd. Hanif
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas