Menu

 

A+ A A-

HUKUM PUSAKA ANAK ZINA

Anak zina tidak berhak harta pusaka bapa zina

Saya ada mendengar bahawa anak zina tidak berhak mendapat apa-apa pusaka daripada bapa zinanya, iaitu lelaki yang berzina dengan ibunya sehingga melahirkan anak zina tersebut. Benarkah begitu, ustaz? Boleh ustaz jelaskan hukum yang sebenar tentang persoalan ini?

RINGKASAN: Memang benar apa yang saudara dengar itu. Menurut majoriti ulama termasuk para ulama Mazhab Syafi‘i rhm., anak zina dan keturunannya tidak berhak mendapat apa-apa bahagian pusaka daripada bapa zinanya dan waris-waris bapa zinanya, sama ada bapa zina itu telah mengakui bahawa anak itu ialah anak zinanya, atau tidak mengakuinya. Begitu juga sebaliknya, bapa zina dan waris-warisnya tidak berhak  mendapat apa-apa bahagian pusaka daripada anak zina dan keturunannya.

Hujah: Sebabnya ialah anak zina dan keturunannya tidak ada apa-apa hubungan nasab/ keturunan yang sah dengan bapa zinanya dan waris-warisnya. Kerana itulah, anak zina tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa zinanya. Bahkan, menurut Mazhab Syafi‘i, jika anak zina itu perempuan, dia boleh dikahwini oleh bapa zinanya. Para ulama rahimahumullahu ta‘ala telah mengemukakan banyak hujah dan dalil yang menunjukkan bahawa tidak ada apa-apa hubungan nasab  / keturunan antara anak zina dengan bapa zinanya. 

Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam ‘Abdurrazzaq dan at Tirmizi bahawa Nabi s.a.w telah bersabda (yang bermaksud): Mana-mana lelaki yang telah berzina dengan seorang hamba perempuan atau dengan seorang perempuan merdeka (sehingga perempuan itu melahirkan anak), maka anak itu ialah anak zina. Dia tidak boleh mewarisi (bapa zina itu) dan tidak boleh diwarisi (olehnya). Hadis ini dengan jelas sekali menunjukkan kepada hukum yang telah dinyatakan di atas. Wallahu  a‘lam.

Ibu boleh mewarisi harta pusaka anak zina
Adakah anak zina boleh mewarisi ibunya? Jika anak zina itu meninggal dunia, adakah harta pusakanya boleh diwarisi oleh ibunya?

RINGKASAN: Para ulama rahimahumullahu ta‘ala secara sebulat suara menyatakan bahawa anak zina dan keturunannya berhak mewarisi ibunya dan waris-waris sebelah ibunya.

HUJAH: Sebabnya ialah anak zina mempunyai hubungan nasab / keturunan dengan ibunya yang melahirkannya. Oleh itu, anak zina dan keturunannya termasuk dalam maksud yang umum yang difahami daripada firman Allah s.w.t pada ayat 11 surah an Nisa’ yang bermaksud: Allah SWT memerintahkan kepada kamu (wahai orang-orang yang beriman) tentang (pusaka) anak-anak kamu, bagi seorang lelaki (daripada kalangan mereka bahagian yang sama) seperti bahagian dua orang perempuan. Oleh kerana hubungan nasab / keturunan adalah salah satu sebab pusaka, dan anak zina pula dikira pada hukum Syarak mempunyai hubungan nasab dengan ibunya, maka anak zina dan keturunannya berhak mendapat pusaka daripada ibunya dan waris-waris lain sebelah ibunya, berdasarkan kaedah ilmu pusaka Islam.

TAMBAHAN: Begitu jugalah sebaliknya, jika anak zina itu atau keturunannya mati, mak pusakanya berhak diwarisi oleh ibunya dan waris-waris sebelah ibunya, berdasarkan kaedah ilmu pusaka Islam. Wallahu a‘lam.

Anak kembar hasil zina saling mewarisi
Jika seorang perempuan berzina sehingga melahirkan dua orang anak kembar, adakah kedua-dua anak itu saling mewarisi sesame mereka? Jika boleh, apakah hubungan pusaka antara kedua-dua anak itu? Adakah mereka dikira sebagai adik-beradik kandung (seibu sebapa), atau sebagai adik-beradik seibu sahaja?

RINGKASAN: Kedua-dua anak kembar itu berhak saling mewarisi antara mereka.

HURAIAN: Maksudnya, jika salah seorang daripada mereka  mati, pusakanya berhak diwarisi oleh saudara kembarnya. Cuma, terdapat dua pendapat dalam kalangan para ulama rahimahumullahu ta‘ala termasuk dalam Mazhab Syafi‘i sendiri tentang cara pewarisan antara mereka berdua. Pendapat yang paling sahih ialah pendapat majoriti para ulama dan pendapat yang terpilih dalam Mazhab Syafi‘i, iaitu kedua-dua anak zina kembar itu saling mewarisi sesama mereka sebagai adik-beradik seibu sahaja, bukan sebagai adik-beradik kandung. Sebabnya adalah kerana anak zina tidak ada apa-apa hubungan nasab dengan bapa zinanya, maka bagaimana mungkin dia berhak mewarisi pusaka melalui hubungan tersebut?

TAMBAHAN: Selain itu, hukum pusaka anak zina adalah sama seperti hukum pusaka anak yang dinafikan nasabnya oleh ayahnya yang melakukan li‘an atau mula‘anah terhadap ibu anak itu. Imam Abu Dawud rhm. meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah menyerahkan harta pusaka anak li‘an kepada ibunya dan waris-waris ibunya sahaja. Ini menunjukkan bahawa hubungan anak li‘an dengan bapanya sudah terputus dan tidak diambil kira lagi dalam bab pusaka dan sebagainya. Begitu jugalah anak zina. Wallahu a‘lam.

 

 Ustaz Wan Mohd Nasir bin Wan Abd Wahab al-Madani al-Azhari

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 3

 


 

Ustaz Wan Mohd Nasir bin Wan Abd Wahab al-Madani al-Azhari

Pengajian beliau di Universiti Islam Madinah dan Universiti al-Azhar, Mesir. Kini, beliau bertugas sebagai Ketua Unit Terjemahan di Telaga Biru Sdn. Bhd. dan aktif dalam menyampaikan kuliah agama di beberapa buah masjid dan surau di Kuala Lumpur dan Selangor. Antara guru-gurunya ialah Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar asy-Syanqithi, Syeikh ‘Athiyyah Muhammad Salim al-Madani dan Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Ahmad al-Fathani rhm.

Terkini daripada Ustaz Wan Mohd Nasir bin Wan Abd Wahab al-Madani al-Azhari

Kembali ke atas