Menu

 

A+ A A-

PUSAKA ASET TETAP

Bagaimana mengira aset tetap (fixed asset) seperti rumah dan tanah dalam pembahagian harta pusaka ?

Jawapan :Saya berpendapat yang terbaik adalah dengan menentukan nilai harta tersebut dalam bentuk wang mengikut harga pasaran. Ini kerana membahagikan aset tetap secara langsung kepada semua pewaris adalah sukar.

 

 

Jika harta tersebut adalah sebidang tanah dan dipecahkan kepada beberapa lot yang sama luas, belum tentu nilai setiap lot itu sama. Lot-lot yang berhadapan dengan jalan raya lebih tinggi nilainya daripada lot-lot yang di tengah, di sebelah dalam atau belakang.

Seandainya tanah pusaka tersebut terdiri daripada beberapa bidang tanah yang sama luas, ia juga akan berhadapan dengan perbezaan nilai mengikut tempat tanah itu berada. Nilai tanah di tengah bandar tidak sama dengan yang di tepi bandar. Begitu juga dengan tanah di luar bandar, di kampong dan lain-lain.

Jika harta pusaka itu berupa rumah, nilainya bukan hanya ditentukan oleh nilai kos membangunkannya sahaja. Ia juga ditentukan oleh factor lain seperti lokasi, bentuk dan jenis rumah. Rumah di tengah bandar tidak sama dengan rumah di tepi bandar dan di kawasan kampung. Jika rumah tersebut berupa kondominium sepuluh atau dua puluh tingkat, maka nilai setiap tingkat juga berbeza.

Maka dengan sebab inilah membahagikan harta pusaka berupa aset tetap yang sudah dileburkan menjadi wang tunai lebih mudah.

Jika aset tetap itu tidak dipersetujui untuk dijual kepada orang lain disebabkan larangan adat, factor nostalgia dan sebagainya, maka juallah aset tersebut kepada salah seorang pewaris yang mampu. Akan tetapi ia mesti dijual mengikut harga pasaran supaya adil dan tiada kerugian yang ditanggung pewaris.

pusaka-aset-tetap-2

Namun yang sering terjadi akibat adat yang melarang penjualan tanah pusaka, kebanyakan ibu bapa menyerahkannya kepada salah seorang anak untuk mendiaminya. Kebiasaan ini sebenarnya suatu ketidakadilan terhadap pewaris yang lain.

pusaka-aset-tetap-3

Janda dan Anak Angkat

Pak Mat sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak lelaki dengan isteri pertama. Isteri pertamanya kemudian meninggal dunia. Pak Mat berkahwin pula dengan isteri kedua, seorang janda beranak satu. Hasil perkongsian hidup dengan isteri kedua, Pak Mat dikurniakan dengan seorang anak perempuan.

Selain itu, Pak Mat juga telah mengambil seorang anak angkat lelaki. Kedua-dua ibu bapa Pak Mat sudah tiada. Pak Mat mempunyai seekar tanah, dua buah rumah banglo, dua apartmen yang disewakan dan dua buah kereta. Sekiranya Pak Mat meninggal dunia dan tidak membuat wasiat, bagaimanakah cara pembahagian harta pusaka beliau?

Jawapan

Dalam kes ini, anak Pak Mat daripada isteri kedua dan juga anak angkatnya bukan ahli waris.

Jadi, ahli waris Pak Mat yang berhak mewarisi harta ialah isteri kedua dan dua orang anak, iaitu seorang anak lelaki daripada isteri pertama dan seorang anak perempuan daripada isteri kedua. Bahagian bagi setiap seorang daripada mereka adalah seperti berikut:

:: Isteri kedua Pak Mat mendapat 1/8 daripada seluruh harta;

:: Bakinya iaitu 7/8 untuk kedua-dua anaknya, dengan ketetapan bahagian anak lelaki adalah dua kali bahagian anak perempuan.

Maka, keseluruhan harta itu dibahagikan kepada 24 bahagian. 3/24 bahagian untuk isteri Pak Mat, 14/24 bahagian untuk anak lelaki dan 7/24 bahagian untuk anak perempuan.

pusaka-aset-tetap-4

pusaka-aset-tetap-5

 DR. MUSA BIN FATHULLAH HARUN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


 

Dr Musa bin Fathullah Harun

PhD Syariah, Universiti Al-Azhar dan mantan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Berguru kepada ramai ulama antaranya Dr Hasan Hito dan lain-lain. Buku-buku hasil tulisannya telah diterbitkan di dalam dan luar Negara, antaranya: Sistem Tasawuf dalam Islam, Manusia dan Makhluk Ghaib di Sekelilingnya, dan Pengantar Tasawuf Islam. Kini beliau merupakan penceramah bebas di negeri Selangor.

Kembali ke atas