Menu

 

A+ A A-

INTERNET MEMBANTU PERNIAGAAN BUKAN INTERNET

Ramai yang bertanya saya, bagaimana Internet boleh membantu perniagaan bukan Internet mereka.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu mempunyai spa, kedai dobi, kedai buku, kedai jual nasi ayam atau apa sahaja kedai yang mempunyai kehadiran fizikal (bricks Internet Membantu Perniagaan Bukan Internet & mortar), adakah Internet dapat membantu menambahkan keuntungan perniagaan tersebut?

Jawapan saya, sudah tentunya ya! Pengiklanan dan juga kehadiran perniagaan fizikal di Internet membantu menjana keuntungan tambahan serta dapat menarik prospek yang sebelum ini tidak mengetahui tentang perniagaan itu. Berikut adalah beberapa contoh penggunaan media Internet dalam membantu usahawan-usahawan yang memiliki kedai fizikal:

usahajaya

Laman web

Bayangkan sekiranya anda seorang agen insurans, atau agen MLM, atau agen hartanah, dalam masa sehari berapa ramai prospek anda boleh jumpa? Mungkin secara kasar, 3 atau 4 prospek sehari. Jumpa dua prospek sebelah pagi, dan lagi dua sebelah petang pula.

Langkah utama dalam mempunyai kehadiran di Internet adalah dengan memiliki laman web sendiri. Pengguna Internet Malaysia kini menjangkau 14 juta pengguna. Dengan penggunaan Internet yang amat tinggi ini, tidak mustahil untuk mendapat 100-200 pelawat melawat laman web anda setiap hari (atau lebih!). Dan, lagi menyenangkan anda, anda tidak perlu keluar dari rumah!

Dengan menyediakan laman web, anda boleh meletakkan segala maklumat atau presentation perniagaan anda. Pelawat akan melawat laman web anda dan mempelajari segalanya berkaitan dengan perniagaan anda. Memiliki laman web asas akan memudahkan prospek anda oleh kerana, mereka juga tidak perlu pergi ke kedai anda untuk pelajari apa yang anda sediakan.

Blog

Blog, atau Weblog (www.blogger.com), kini menjadi trend semasa di mana sesiapa sahaja boleh mempunyai kehadiran online secara mudah. Blog boleh menjadi tempat sesiapa sahaja menulis pendapat mereka mengenai apa sahaja isu yang diinginkan. Daripada hobi, ke politik hingga ke agama.

Penggunaan blog boleh juga membantu sesuatu perniagaan dalam merapatkan lagi pengguna tersebut dengan pemilik perniagaan. Anda boleh melihat contoh blog saya di www.IrfanKhairi.com di mana saya memberi tip-tip perniagaan, kewangan dan motivasi. Di samping itu, blog digunakan untuk memperkenalkan produk-produk dan perkhidmatan Irfan Khairi Sdn Bhd kepada pelawat blog.
 
Seperti contoh sebelum ini, ianya tidak mustahil mendapat 100-200 pelawat blog anda setiap hari. Blog www.IrfanKhairi.com pula menerima lebih daripada 1,000 pelawat sehari. Tidak berdaya saya sendiri pergi berjumpa 1,000 prospek dalam masa sehari, tetapi, kehadiran blog saya itu membolehkan 1,000 prospek mengetahui tentang Irfan Khairi Sdn. Bhd. sehari.

Fikirkan bagaimana blog boleh membantu perniagaan anda. Bergantung kepada perniagaan anda, anda boleh membina blog yang memberi tip-tip menarik berkaitan dengan perniagaan anda untuk manfaat orang ramai.
 
Youtube

Sebelum ini, untuk membuat iklan berbentuk audio dan visual, pilihan usahawan adalah TV. Tetapi, kita sedia tahu bahawa pengiklanan TV adalah amat mahal terutama untuk usahawan-usahawan kecil dan sederhana.

Selamat datang ke YouTube.com di mana kini, sesiapa sahaja boleh membuat iklan berbentuk audio visual untuk tatapan pengguna-pengguna Internet. Sehingga slogan YouTube sendiri berbunyi “Broadcast Yourself!”

Anda hanya perlu digicam yang boleh merakam video (pastinya zaman ini, semua digicam boleh!), dan anda boleh merakam contoh produk anda atau kedai anda untuk paparan di YouTube. Anda merupakan agen hartanah? Gunakan YouTube untuk paparkan ruang makan, bilik, bilik mandi dan dapur rumah yang anda ingin jual. Atau anda merupakan seorang motivator? Gunakan YouTube untuk memberi contoh-contoh ceramah anda.
Gunakan kreativiti anda!

Facebook

Facebook.com adalah rangkaian kenalan sosial di Internet. Ia sering digunakan untuk menghubung teman-teman dan kenalan yang turut memiliki laman web Facebook.

Bukan setakat itu sahaja, oleh kerana perniagaan adalah hubungan antara pengguna dan perniagaan, Friendster juga boleh digunakan dalam mencapai prospek-prospek untuk perniagaan anda.

Apabila anda memulakan perniagaan, sudah pasti, anda perlu mengumumkan kepada semua kenalan anda mengenai perniagaan anda. Melalui Facebook, anda dapat memaparkan perniagaan anda kepada kenalan-kenalan anda, dan juga, kenalan kepada kenalan anda!
 
Di atas hanya beberapa perkhidmatan popular yang boleh digunakan dalam mempromosi perniagaan fizikal anda di Internet. Walaupun perniagaan fizikal anda bersifat tempatan, dengan mempunyai kehadiran di Internet, perniagaan anda bukan sahaja boleh mencapai pelanggan seluruh Malaysia, bahkan boleh mencapai pelanggan seluruh dunia.

Sebagai contoh, lawati http://www.halalgelatine.com. Pemiliknya memiliki sebuah kedai kecil di bahagian basement KB Mall, di Kelantan. Dengan hanya mempunyai laman web, kini kedai tersebut mendapat pesanan dari seluruh dunia! Sekarang anda dapat lihat kekuatan Internet?

internet

Irfan Khairi
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

Dr Noor Irfan Khairi Noor Azmi

Selepas tamat pengajian tinggi di United Kingdom (U.K.), beliau berkhidmat dengan Netmedia (UK) Ltd., Birmingham, U.K. sebagai pereka sistem multimedia dan perunding internet. Beliau memulakan perniagaan di internet pada 1999, dan dalam masa 3 tahun telah memperoleh untung bersih RM1 juta, ketika berusia 25 tahun. Beliau menulis buku Rahsia Internet.com: Rahsia Jutawan Internet Terbongkar dan Secrets of Internet Millionaires Revealed. Pada 2006, beliau dianugerah kan Young Innovation Award daripada Oxford Association of Management, U.K. Beliau juga sebagai kolumnis majalah, mengendalikan seminar, ceramah dan sering muncul di tv dan radio. Layari laman web beliau di www.irfankhairi.com/blog.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Artikel berkaitan: JADI JUTAWAN DERMAWAN »
Kembali ke atas