4 TAHAP MERANCANG ANAK SOLEH
- Ditulis oleh Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan
- Kategori Terkini
- Read 5988 times
Sesungguhnya anak-anak merupakan hadiah Allah s.w.t. kepada hamba-hambaNya. Maka setiap manusia perlu bersyukur kepada Allah atas nikmat pemberian zuriat yang membolehkan manusia hidup dengan bahagia dalam berkasih sayang sesama mereka.
Namun kita sebagai manusia perlulah sedar bahawa anak-anak juga merupakan amanah yang cukup besar daripada Allah untuk dididik dan dicorakkan kehidupan mereka. Didikan yang terbaik adalah dengan mengikut landasan yang telah Islam tetapkan melalui utusan-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi bersabda: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada untuk menjadi Yahudi, Nasrani mahupun Majusi.” (Riwayat al-Bukhari)
Sesungguhnya Islam amat mengambil berat ke atas pendidikan anak-anak bermula dari seawal usia kandungan lagi. Setelah anak-anak ini lahir, Allah menyeru ibu bapa untuk menyediakan didikan yang sempurna meliputi pendidikan akal, jasmani dan rohani.
Namun didikan yang terpenting dan terawal untuk anak-anak adalah supaya mereka mengenal Allah. Allah berfirman: “Ketahuilah bahawa tiada sembahan melainkan Allah.” (Surah Muhammad: 19) Oleh sebab itulah apabila seseorang bayi itu lahir ke dunia maka disunatkan ke atas bapanya untuk melaungkan azan ke telinga anaknya.
4 Tahap
Untuk memastikan anak-anak kita kenal dan seterusnya mencintai Allah, terdapat beberapa perkara yang perlu kita berikan perhatian sebelum dan selepas kelahiran mereka antaranya:
1. Memilih isteri yang solehah atau suami yang soleh.
Dalam memastikan pendidikan anak-anak berjalan dengan sempurna, maka langkah pertama adalah dengan mencari pasangan yang baik agama dan budi pekertinya. Sabda Nabi: “Jika telah datang kepada kamu seorang individu yang kamu reda agama serta akhlaknya maka kahwinilah ia. Jika tidak kamu akan menyebabkan kerosakan di atas muka bumi.’ (Riwayat al-Tirmizi)
Kenapakah Nabi mengaitkan kerosakan bagi mereka yang tidak mengutamakan agama dan akhlak ketika mencari calon pasangan? Hal ini kerana dengan kita memilih pasangan yang soleh itu memudahkan kita untuk lebih taat kepada Allah dan seterusnya memelihara keluarga kita daripada melakukan kemaksiatan kepadaNya.
Bagi mereka yang telah berumah tangga maka berusahalah untuk mengenal dan menambahkan kecintaan kita kepada Allah dan seterusnya mendidik anak-anak kita supaya menjadi hamba-hamba yang beriman kepada-Nya.
2. Memohon agar Allah mengurniakan zuriat yang soleh dan solehah.
Lihatlah bagaimana Nabi Zakaria yang memohon kepada Allah agar dikurniakan anak yang soleh setelah sekian lama beliau hidup kesepian tanpa zuriat bersama isterinya yang tercinta. Firman Allah: “Ketika Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya: ‘Wahai Tuhanku, kurniakanlah aku zuriat yang baik (soleh), sesungguhnya Engkau Maha Mendengar segala permintaan.’” (Surah Ali ‘Imran: 38)
Lantaran itu Allah memakbulkan doa Baginda dengan mengurniakan zuriat yang teramat baik agama dan akhlaknya iaitu Nabi Yahya.
Perkara yang perlu diambil perhatian oleh pasangan suami isteri dalam memohon zuriat yang baik adalah dengan memelihara adab-adab ketika bersama. Antaranya Nabi menyeru kita ketika hendak melakukan hubungan suami isteri agar membaca bismillah dan meminta Allah melindungi kita daripada tipu daya syaitan yang mengganggu kehidupan kita dan juga zuriat yang akan dilahirkan.
3. Mengikut Sunnah Nabi dalam menyambut kelahiran bayi.
Setelah kita dikurniakan zuriat oleh Allah, maka perlulah kita mengikut sunnah Nabi dalam menyambut kelahiran bayi. Antara sunnah tersebut adalah melafazkan azan di telinga bayi, mencukur rambutnya, tahnik, memilih nama yang baik dan melakukan akikah pada hari ketujuh, 14 atau 21.
Namun adat-adat yang bercanggahan dengan syariat Islam ketika menyambut kelahiran bayi perlulah dielakkan seperti upacara-upacara menolak bala yang mengandungi unsur-unsur syirik dan juga khurafat.
4. Mengikut sunnah Nabi dalam pendidikan anak-anak.
Ketahuilah bahawa Nabi amat sayangkan kanak-kanak. Baginda tidak pernah segan silu untuk bermanja dengan kanak-kanak kecil dan mengucup mereka padahal itu bertentangan dengan adat pemimpin Arab pada zaman sebelum kedatangan Islam.
Namun inilah akhlak mulia pembawa risalah Allah yang wajib dicontohi. Nabi pernah menasihati seorang lelaki yang tidak pernah mengucup anaknya sendiri dengan sabdanya: “Sesiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” (Riwayat al-Bukhari)
Berdoalah agar Allah menyintai anak-anak kita sepertimana kita menyintai mereka. Al-Barra’ bin ‘Azib meriwayatkan bahawa ketika Baginda meletakkan cucunya Hasan bin Ali, maka Nabi terus berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku menyayanginya. Maka Engkau sayangilah ia dan Engkau sayangilah juga sesiapa yang menyayanginya.” (Riwayat alBukhari)
Antara sunnah Nabi adalah menceriakan kehidupan kanak-kanak kecil yang berada dalam kesedihan. Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika Nabi bertandang ke rumahnya, Baginda bertanyakan tentang seorang kanak-kanak kecil yang bernama Abu Umair yang sering kali bermain bersama burung kecil peliharaannya. Namun Anas bin Malik memberitahu Baginda bahawa Abu Umair sedang bersedih dengan kematian burung peliharaan tersebut. Maka Nabi terus berjumpa dengan kanak-kanak tersebut dan menceriakan kembali hatinya yang sedang berada dalam kesedihan. (Riwayat al-Bukhari)
Daripada peristiwa ini juga maka dapatlah kita mengambil pendekatan murni dalam mendidik anak-anak iaitu meraikan dan menyelami perasaan mereka ketika mereka berada dalam kesedihan walaupun kadangkala peristiwa tersebut mungkin dianggap remeh pada mata orang dewasa.
Kesimpulannya, pendidikan anak-anak perlulah dibajai dengan syariat Allah dengan mengikuti panduan al-Quran dan sunnah Nabi. Maka gerakkanlah langkah kita dengan memulakan pendidikan keluarga melalui pembentukan peribadi mulia daripada ibu bapa dan seterusnya menyampaikan didikan tersebut kepada anak-anak kita yang dikasihi.
Wallahu a‘lam.
Imam Muda Muhammad Asyraf bin Mohd Ridzuan
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09
Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan
Sarjana Muda Usul & Fiqah, Universiti Malaya. Sebelum itu mengambil Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang. Kini sedang menyiapkan pengajian sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama. Beliau merupakan Juara Imam Muda Astro musim pertama 2010. Kejayaan beliau mendapat liputan media antarabangsa antaranya CNN, BBC, Reuters dan Al-Jazeera. Dekati beliau di imamudasyraf.com.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.