WANITA DAN PUASA
- Ditulis oleh Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood
- Kategori Terkini
- Read 10485 times
WANITA adalah golongan yang sangat menjaga soal ibadah puasa, malah dalam keadaan haid pun, mereka sanggup berlapar. Lazimnya wanita sejak kecil lagi sudah dibiasakan dengan berpuasa oleh ibu bapa mereka.
Namun sudahkah kita, para wanita, menilai adakah puasa kita lebih baik dari sebelumnya. Adakah puasa semasa kanak-kanak terus dihayati sehingga kini? Kemajuan diri seseorang biasanya dinilai dari setahun ke setahun, maka mari kita nilai puasa kita tahun ini adakah lebih baik dari sebelumnya.
Jadi, menjelang bulan Ramadan ini, saya mengajak untuk kita menilai semula ibadah puasa kita, semoga apa yang akan kita lakukan nanti lebih baik daripada sebelumnya.
Panduan Asas Fiqah Wanita:
Wanita dan Puasa
Asas fiqah wanita dalam persoalan puasa tidak jauh bezanya dengan lelaki, tetapi ada keistimewaan dan sedikit kelainan yang Allah anugerahkan khusus untuk mereka. Wanita ada “waktu rehat” daripada puasa, namun ramai juga yang mengambil kesempatan daripadanya.
Wanita fitrahnya akan di datangi haid, nifas dan wiladah. Sesetengah wanita diuji dengan darah istihadah. Tidak terkecuali di bulan Ramadan, golongan wanita yang normal didatangi darah haid. Inilah yang perlu benar-benar diberi perhatian.
Mereka perlu tahu berapa hari yang wajib ditinggalkan puasa. Berapa hari yang wajib diganti puasa. Perlukah diteruskan puasa wanita mengandung atau sedang menyusui bayi? Bagaimana pula jika tidak sempat diganti puasa tahun lepas? Terlalu banyak soalan yang berkisar dengan keadaan diri wanita perlu diketahui.
Wanita perlu sensitif dengan perkara ini, supaya ibadah puasa yang dilaksanakan tepat mengikut panduan syariat. Bukan itu sahaja,mereka juga perlu tahu bahawa semasa bercuti puasa juga mereka akan beroleh pahala dengan beberapa ibadah tertentu.
Jangan dibiarkan ia berlalu begitu sahaja. Selain itu, perhatikan beberapa perkara berikut sepanjang melalui bulan ibadah ini.
Keizinan Suami
Bulan Ramadan adalah bulan umat Islam menjalankan ibadah puasa. Wanita yang suci dari haid dan nifas ketika itu wajib berpuasa, walaupun suaminya tidak mengizinkan. Hal ini kerana tidak boleh mentaati arahan suami mana-mana yang bercanggah dari arahan Allah.
Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud, “Tiada ketaatan terhadap makhluk (suami) dalam perkara yang menjurus kepada maksiat terhadap Pencipta (Allah Taala).” (Riwayat al-Tirmizi)
Berlainan keadaannya mengenai puasa sunat. Isteri yang hendak berpuasa sunat wajib meminta izin daripada suaminya kerana izin daripada suami merupakan satu syarat bagi isteri yang ingin berpuasa sunat.Namun isteri boleh berpuasa sunat tanpa izin suaminya apabila suaminya sakit atau tiada di rumah kerana bermusafir.
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:
“Tidak diharuskan bagi wanita berpuasa sedangkan suaminya berada di rumah, melainkan dengan izin suaminya. Dan janganlah kamu mengizinkan seseorang masuk ke dalam rumahnya melainkan dengan izinnya (suami).” (Riwayat alBukhari, No. 4899)
Wanita Hamil
Wanita yang sedang hamil atau sedang menyusukan bayi, diberi keringanan kepada mereka untuk berbuka jika dia tidak berdaya meneruskan puasa kerana ditakuti akan membawa mudarat kepada diri ataupun janin yang dikandungi atau bayi yang disusui. Walau bagaimanapun, mereka wajib menggantikan kembali puasa yang ditinggalkan itu.
Sungguhpun begitu bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana bimbang janin tidak mendapat makanan yang cukup atau bayi tidak mendapat susu yang cukup, diaperlu membayar fidyah pada setiap hari yang ditinggalkan.
Merasa Makanan
Wanita biasanya akan memasak pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Dalam situasi inilah, wanita sering berasa keliru adakah puasa mereka terbatal jika merasa makanan yang dimasak? Tanpa merasa makanan itu bagaimana hendak memastikan makanan itu cukup perasa atau tidak?
Sebenarnya hukum merasa makanan itu adalah makruh kecuali bagi mereka yang benar-benar memerlukannya sebagai contoh pembuat roti yang perlu memastikan segala bahan yang dicampurkan dalam bancuhan roti itu adalah cukup agar rotinya tidak rosak.
Ciuman dalam Bulan Ramadan
Bercium pada waktu bulan Ramadan adalah makruh bagi yang mudah naik syahwatnya. Bagi yang tidak terangsang, hukumnya tidak makruh tetapi adalah lebih baik meninggalkan perbuatan mencium, bercumbu mesra dan sebagainya kerana ditakuti akan naik syahwat serta terbatal puasanya.
Orang yang bercumbu-cumbu hingga kemudian inzal, wajib baginya untuk menggantikan puasa itu kerana sudah dikira terbatal. Tetapi kalau pasangan itu berjimak pada siang hari wanita itu tidak diwajibkan membayar kafarah tetapi wajib qada puasanya sedangkan suaminya wajib kafarat.
Walau bagaimanapun mencium tangan suami ketika bertemu dan berpisah tiada masalah, apalagi kalau amalan itu sudah biasa sebelum berpuasa. Sabda Rasulullah daripada Aisyah r.ha., maksudnya: “Rasulullah pernah mencium, padahal Baginda berpuasa.”
Kata-kata Wanita
Wanita terkenal dengan aktiviti berkumpul dan berbual-bual. Kadangkala perbuatan seperti itu dibimbangkan mengarah kepada perbuatan mengumpat, berkata kotor dan berdusta. Ketika bulan yang mulia ini lah,wanita digalakkan untuk sentiasa berzikir dan menjauhi perkara-perkara yang tidak baik. Perbuatan mengumpat bukan sahaja mengurangkan pahala puasa tetapi menyebabkan amalannya tidak dinilai oleh Allah.
Tetap Berpuasa Meskipun dalam Keadaan Junub
Daripada Aisyah r.ha, dia berkata: “Adalah Rasulullah s.a.w. bangun dalam keadaan sudah terbit fajar sedangkan dia berjunub dengan isterinya, Baginda terus mandi dan berpuasa.” (Muttafaq ‘Alaih)
Selain itu hadis ini menunjukkan bahawa melakukan hubungan suami isteri pada malamnya adalah harus. Allah Taala membolehkan bagi orang yang hendak berpuasa supaya berniat pada malam hari sebelum berjimak dengan isterinya dan tidur. Jadi, kalau dia bangun dalam keadaan berjunub tidak membatalkan niat puasanya.
Sebahagian umat Islam masa kini tidaktahu akan hukum ini lalu menganggap puasa mereka terbatal. Hal ini tidak benar kerana Rasulullah s.a.w sendiri telah menunjukkan teladan kepada umatnya yang terkebelakang.
Qada Puasa
Apabila seseorang wanita itu didatangi haid dan nifas, mereka mestilah mengganti semula puasa yang telah ditinggalkan mengikut jumlah hari yang ditinggalkan. Puasa pada hari-hari lain yang dibolehkan untuk menggantikan puasa yang tertinggal. Tidak diwajibkan melakukannya secara segera tetapi apabila ada kelapangan waktu hendaklah dilakukan sebelum masuk Ramadan berikutnya.
Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.10
Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood
Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Berkarier sebagai pendakwah dan sering muncul di tv sebagai panel jemputan Forum Perdana TV1, juga al-Kuliyyah, Motivasi Pagi, al-Hidayah, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 dan Halaqah di TV9. Sentiasa mendapat undangan ceramah, membentang kertas kerja dan seminar di seluruh negara dan di Brunei. Juga sebagai kolumnis beberapa majalah antaranya Anis, Harmoni, Nona dan Mingguan Wanita. Telah melahirkan lebih 40 album pelbagai tajuk (agama, motivasi dan tip) dalam bentuk VCD, CD dan kaset. Dianugerahkan "Outstanding Achievement" dalam penjualan album daripada Telaga Biru Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.