DAMAINYA HIDUP BERSAMA ILAHI
- Ditulis oleh Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan
- Kategori Terkini
- Read 5710 times
DIFAHAMKAN dalam satu kisah: Sekembalinya Nabi Muhammad s.a.w. dari bumi Thaif – Nabi s.a.w. berteduh sebentar di bawah pohon anggur di dalam kebun milik Utbah dan Syaibah. Kesedihan jelas terpapar pada wajah Nabi s.a.w. setelah dicerca dan dilontar batu oleh penduduk bumi Thaif. Utbah dan Syaibah memasang telinga mendengar pengaduan hebat daripada seorang Rasul kepada Rabb-Nya. Rintihan yang dipohonkan oleh Nabi s.a.w. membuatkan kekafiran Utbah dan Syaibah tersebut juga lentur sehingga menyuruh khadamnya Addas untuk memberi anggur kepada Nabi s.a.w. sebagai penghilang kelaparan.
“Ya Allah… kepada-Mu aku mengadukan kelemahan kekuatanku,
Dan sedikitnya kemampuanku,
Serta kehinaanku di hadapan manusia.
Wahai Sebaik-baik Pemberi Kasih Sayang,
Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku.
Kepada siapakah Engkau serahkan diriku,
Kepada orang yang jauh yang menggangguku,
Atau kepada musuh yang akan menguasai urusanku,
Asalkan Engkau tidak marah padaku maka tiadalah keberatan bagiku,
Akan tetapi kemurahan-Mu jauh lebih luas bagiku.
Aku berlindung dengan Cahaya Wajahmu yang akan menerangi seluruh kegelapan,
Dan yang akan memberikan kebaikan segala urusan dunia dan akhirat,
Untuk melepaskan aku dari Marah-Mu,
Atau menghilangkan Murka-Mu dariku.
Hanya pada-Mu aku merintih berharap mendapatkan Keredaan-Mu,
Dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Mu.
• (Rujuk Raheeq al-Makhtum, Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri)
Perhatikanlah kehebatan tawakal Nabi s.a.w. Lembaran hidup Baginda menunjukkan kepada kita bagaimana untuk bertawakal. Ketika Baginda di puncak penghinaan dan penolakan di Makkah, dikejutkan pula dengan pemergian dua orang pembelanya iaitu Abi Thalib dan isteri tercinta Khadijah dalam tahun yang sama. Sehingga tercatat lembaran sejarah memberi jolokan itulah tahun duka cita bagi Nabi s.a.w. Namun kedukaan ini tidak menggambarkan hilangnya rasa keseorangan di hati Nabi s.a.w. Kepada Allah s.w.t. dijadikan teman. Khadijah dan Abi Thalib diwafatkan agar Nabi s.a.w. semakin bergantung hanya kepada Allah s.w.t.
Terkadang, begitu cintanya Allah kepada ciptaannya, Allah mengambil semua yang disayangi. Seolah-olah Allah ingin mengatakan kepada kita, “Wahai hamba-Ku, Aku ingin engkau datang dan berlindung hanya kepada-Ku.” Ketika kita menyangka semua jalan sudah tertutup, lalu Allah menginginkan kita kembali kepada-Nya dan sehinggalah kita benar-benar mengakui bahawa Dia itu al-Wakil.
Ustaz Muhammad Asyraf Ridzuan
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2
Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan
Sarjana Muda Usul & Fiqah, Universiti Malaya. Sebelum itu mengambil Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang. Kini sedang menyiapkan pengajian sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama. Beliau merupakan Juara Imam Muda Astro musim pertama 2010. Kejayaan beliau mendapat liputan media antarabangsa antaranya CNN, BBC, Reuters dan Al-Jazeera. Dekati beliau di imamudasyraf.com.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.