Menu

 

A+ A A-

PENGENALAN USUL FIQAH

Saya berkelulusan Bahasa Arab. Dahulu ketika memilih bidang untuk pengkhususan sampingan, saya langsung tidak tergerak hati untuk memilih bidang Usul Fiqah kerana saya masih belum nampak akan kepentingannya. Namun saya baru sedar bahawa saya mempunyai kelebihan untuk mempelajarinya kerana saya mampu memahami Bahasa Arab yang merupakan prasyarat mempelajari ilmu ini. Untuk kolum baru ini, bolehkah ustaz mulakan dengan pengertian ilmu usul fiqah dan unsur-unsur penting dalam mempelajarinya?

Jawapan

Alhamdulillah, tahniah saya ucapkan kepada saudari atas minat yang ditunjukkan. Saya mendoakan supaya lebih ramai penuntut ilmu yang akan tertarik dan bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu ini.

Sebagai pendahuluan, ulama usul seperti Imam al-Baidawi mendefinisikan ilmu usul fiqah sebagai: “Pengetahuan terhadap sumber hukum, cara berinteraksi dengan sumber dan mengetahui sifat-sifat seorang mujtahid.” Definisi ini memberi gambaran kepada kita bahawa ilmu usul fiqah mempunyai tiga unsur penting yang perlu difahami oleh para pelajarnya iaitu:

1. Mengetahui sumber hukum.

2. Kaedah berinteraksi dengan hukum.

3. Syarat-syarat mujtahid.

Sejarah Ilmu Usul

Boleh ustaz ceritakan pula tentang sejarah perkembangan ilmu usul fiqah secara ringkas?

Jawapan

Ilmu usul fiqah telah wujud sejak zaman para sahabat Nabi lagi. Namun demikian, ia tidak terdapat dalam bentuk penulisan kerana ketika itu ia bersifat sajiyyah (tidak memerlukan pengajian kitab). Para ulama mujtahid kesemuanya mempunyai metode usul fiqah cuma ia belum diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan.

Ia berkembang sehinggalah tibanya zaman Imam al-Syafii yang beliau menulis sebuah buku terkenal bernama al-Risalah. Ia merupakan buku pertama ditulis dalam bidang ini yang menerangkan cara ilmu usul fiqah berinteraksi dengan al-Quran dan sunnah.

Kemudian, perjuangan ini disambung oleh Imam Abu Bakar al- Baqillani menerusi kitabnya al-Taqrib wa al-Irsyad. Selepas itu, muncul pula aliran-aliran dalam gerakan ilmu usul fiqah yang terbahagi kepada aliran ahli kalam dan fuqaha. Maka muncullah tokoh-tokoh tersohor seperti Imam Qadi Abdul Jabbar, Hasan al-Basri al-Muktazili, Imam al-Haramain dan Imam al-Ghazali yang membawa arus aliran ahli kalam. Dalam aliran fuqaha atau aliran Hanafi pula muncul tokoh-tokoh seperti al-Khirakhi, Imam al-Jassos, al-Dabbusi dan lain-lain.

Seterusnya, wujud pula aliran yang menggabungkan dua aliran ini yang dinamakan aliran mutaakhirin. Aliran ini memperlihatkan nama-nama penting seperti Imam al-Qarafi, Kamal Ibn Humam, Imam al-Subki dan lain-lain.

Sehingga kini, ilmu usul fiqah ditulis tanpa henti dengan wujudnya tokohtokoh seperti Dr. Wahbah al-Zuhaily, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Muhammad Khudari Bek dan lain-lain lagi yang menyumbang penulisan mereka dalam mengembangkan ilmu ini.

Tiga Faedah

Saya telah mengetahui faedah mempelajari usul fiqah, antaranya membentuk pemikiran yang tersusun sehingga mampu menganalisis realiti. Selain daripada itu, bolehkah ustaz nyatakan lagi faedahnya kepada masyarakat mengikut tahap pemikiran mereka?

Jawapan

Ya. Faedah ilmu ini kepada masyarakat boleh dibahagikan kepada tiga peringkat:

Pertama: Bagi seorang alim yang mencapai tahap mujtahid (pembuat ijtihad), dia mampu berijtihad dengan menggunakan kaedah usul dengan terselamat daripada kesilapan.

Kedua: Bagi seorang alim yang tidak mencapai tahap mujtahid, dia mampu memilih pendapat yang lebih kuat (tarjih) antara pendapat-pendapat yang berbeza dengan menggunakan ilmu usul ini.

Ketiga: Bagi para pengikut (muqallid) yang tidak mampu berijtihad dan mentarjih, dia mampu mengetahui sumber-sumber hukum yang digunakan oleh imam-imam mazhab.

pengenalan-usul-fiqah-2

Maka saya menyeru kepada semua pelajar agar bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu usul fiqah ini agar sebati dalam diri mereka. Seorang ulama al-Azhar berkata, “Seorang alim azhariy (ulama dari al-Azhar), apabila tidak mengetahui ilmu usul, maka ilmunya tidak dipercayai.”

Buku Penting

Saya berminat untuk mengetahui buku-buku usul fiqah yang penting untuk dipelajari. Kalau boleh, mohon ustaz senaraikan di sini.

Jawapan

Di sini saya senaraikan buku-buku yang penting dalam ilmu usul dan sedikit saranan saya kepada para pelajar mengenai buku-buku yang perlu dibaca dan dihafaz.

pengenalan-usul-fiqah-3

Untuk peringkat permulaan, saya galakkan para pelajar mempelajari dan menghafaz buku bertajuk al- Waraqat yang dikarang oleh Imam al-Haramain dan dibantu dengan kitab Al-Khulasoh oleh Dr. Hasan Hito. Kedua-dua buku ini membantu para pelajar untuk membina asas pemikiran usul.

Kemudian saya syorkan untuk membaca buku al-Wajiz fi Usul al-Fiqh oleh Dr. Abdul Karim Zaidan yang boleh memantapkan kefahaman tentang ilmu usul. Buku ini boleh membantu para pelajar untuk memahami kitab-kitab usul fiqah yang lama.

Semoga sedikit pendahuluan tentang ilmu usul ini dapat mempersiapkan minda para pelajar untuk sesi pembelajaran akan datang.

Wallahu a‘lam.

USTAZ AHMAD FAUWAZ FADZIL

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas