Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Ibadah

Soal Jawab - Ibadah

Soalan: Bolehkah wanita hamil tidak berpuasa pada bulan Ramadan dengan alasan bimbangkan kandungannya. Apakah yang wajib dia lakukan sama ada ganti puasa sahaja atau perlu membayar fidyah atau bagaimana?

Jawapan: Boleh. Dia dibenarkan untuk tidak berpuasa. Bahkan jika kebimbangan ini dikuatkan dengan keterangan doktor Muslim yang dipercayai agama dan kepakarannya bahawa si anak itu akan meninggal dunia jika dia berpuasa, dia bukan lagi setakat dibolehkan tetapi wajib berbuka (tidak berpuasa). Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-An‘am ayat 151 yang bermaksud: “..dan janganlah kamu bunuh anak-anakmu..!”

Anak adalah jiwa yang perlu dihormati. Oleh kerana itu, tidak boleh sesiapapun mengabaikannya sehingga menyebabkan kematian. Allah sekali-kali tidak menyeksakan hamba-hamba-Nya. Diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa wanita hamil dan menyusu anak termasuk dalam kelompok orang yang difirmankan Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud: “…Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah (iaitu) memberi makan seorang miskin…”

Apabila wanita hamil dan menyusu hanya membimbangkan keselamatan dirinya (tidak termasuk anaknya), maka kebanyakkan ulama berpendapat bahawa mereka boleh berbuka puasa (tidak berpuasa) tetapi wajib mengqadanya sahaja (tanpa membayar fidyah). Dalam hal ini kedudukan mereka sama dengan orang sakit.

Namun sekiranya wanita hamil dan menyusu tersebut membimbangkan keselamatan anaknya, maka dalam hal ini para ulama bersepakat bahawa dia (wanita hamil) boleh untuk tidak berpuasa. Namun dalam masalah qada dan membayar fidyah, mereka berbeza pendapat. Adakah wanita tersebut wajib mengqada sahaja atau memberi makan orang miskin sahaja?

Dalam masalah ini, kebanyakan ulama berpendapat bahawa mereka wajib mengqada. Ada juga sebahagian ulama lain mengatakan wajib mengqada dan memberi makan sekaligus. Menurut saya, wanita tersebut cukup memberi makan orang miskin sahaja tanpa wajib mengqada. Sebagai contoh, pada (bulan puasa) tahun ini seorang wanita hamil. Pada bulan puasa tahun berikutnya pula dia menyusu. Namun tahun berikutnya dia hamil lagi. Begitulah seterusnya (sekiranya dia melahirkan anak setiap tahun). Jadi setiap tahun dia berada dalam keadaan hamil dan menyusu. Sekiranya tetap diwajibkan ke atas wanita itu qada puasa yang ditinggalkannya bererti ia hendaklah berpuasa secara terus menerus. Keadaan ini sudah tentu merupakan suatu yang amat menyukarkan. Walhal Allah tidak menghendaki kesukaran bagi hamba-hamba-Nya.

Dr. Yusuf Al-Qaradawi
(Fatwa Semasa, Majalah Al-Ustaz isu 4)

Soalan : Adakah harus bagi perempuan hamil dan ibu yang menyusukan anak berbuka puasa?

Jawapan

RINGKASNYA: Boleh.

HURAIAN: Tidak ada khilaf dalam kalangan ulama dahulu dan sekarang yang mengharuskan perempuan hamil dan ibu yang menyusukan anak berbuka puasa jika bimbang dan takut berlaku kemudaratan kepada janin dan anak tersebut, ataupun kemudaratan kepada ibunya jika ia berpuasa.

HUJAH: Dalilnya seperti hadis daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Azzawajalla menetapkan bagi orang yang bermusafir daripada berpuasa, separuh sembahyang (qasar) dan perempuan yang mengandung dan menyusukan anak daripada berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi,Abu Daud dan Ibn Majah)

Bukanlah yang dimaksudkan dengan perkataan “takut” itu hanya khayalan dan sangkaan semata-mata, tetapi mempunyai keyakinan akan berlaku kemudaratan kepada bayi dan dirinya jika ia meneruskan puasanya berdasarkan pemberitahuan doktor Muslim yang thiqah (boleh dipercayai).

TAMBAHAN: Wajib bagi perempuan tersebut menggantikan puasanya dan membayar fidyah bagi mazhab Syafi‘i, Sufiyan al-Thawri, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal. Bagi mazhab Hanafi, hanya diwajibkan qada sahaja.

Ustaz Mohamad Nor Mohamad Endot
(Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan: Bolehkah memakai minyak wangi pada bulan Ramadan?

Jawapan: Hukum menggunakan wangi-wangian pada bulan Ramadan ialah harus. Tidak ada seorang ulama pun mengatakan haram menggunakan wangi-wangian pada bulan Ramadan dan tidak ada pula yang mengatakan bahawa memakai wangi-wangian dapat merosakkan puasa.

Dr. Yusuf Al-Qaradawi
(Fatwa Semasa, Majalah Al-Ustaz isu 4)

Soalan: Adakah batal puasa kita apabila menerima suntikan di klinik atau hospital?

Jawapan: Syarat yang lazim ketika berpuasa ialah tidak sampai sesuatu ke dalam perutnya yang boleh membatalkan puasa. Suntikan jarum tidaklah sampai kepada perut, bahkan hanya sampai dibawah kulit dan di sekitarnya sahaja. Oleh yang demikian, ia tidak membatalkan puasa.

Mohammad Nor Mohammad Endut
(Fiqah Puasa, Majalah Al-Ustaz isu No.4)

Soalan: Pada bulan Ramadan akan datang, saya perlu ke luar negara atas urusan kerja. Mana yang lebih afdal bagi saya ketika itu sama ada tetap berpuasa atau tidak dengan menggantikannya kemudian?

Jawapan: Jumhur ulama menyatakan harus bagi orang musafir yang berpuasa untuk berbuka. Syaratnya, hendaklah musafirnya itu selepas fajar dan jarak perjalanannya melebihi 83 kilometer walaupun perjalanannya itu tidak meletihkan seperti musafir dengan menaiki kapal terbang. Menurut mazhab Syafi‘i dan Hanafi, adalah lebih afdal bagi seorang yang bermusafir untuk tetap berpuasa sekiranya tidak membebankannya. Sekiranya membebankan, maka berbuka itu lebih afdal. Berbuka ialah keringanan (rukhsah) yang diberi oleh syarak.

Mohammad Nor Mohammad Endut
(Fiqah Puasa, Majalah Al-Ustaz isu No.4)

Soalan : Adakah menyediakan  makanan yang banyak ketika berbuka puasa itu akan mengurangkan pahala puasa?

Jawapan

RINGKASNYA: Perbuatan itu tidak mengurangkan pahala puasa.

HURAIAN: Perbuatan haram yang dilakukan selepas selesai berpuasa juga tidak mengurangkan pahala, akan tetapi ia termasuk dalam sikap yang tidak disukai Allah, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-A’raf ayat 31 yang bermaksud: “Dan makanlah dan minumlah dan jangan kamu melampaui batas (membazir). Sesungguhnya Dia (Allah) tidak menyukai orang yang melampaui batas.”

Berlebih-lebihan itu diharamkan dan hendaklah bersederhana dalam menyediakan makanan. Sekiranya terdapat lebihan makanan, lebih baik ia bersedekah dengannya. Wallahu a‘lam.

Ustaz Mohamad Nor Mohamad Endot
(Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan : Adakah diwajibkan membayar fidyah puasa untuk si mati yang meninggalkan puasa?

Jawapan

RINGKASNYA: Wajib.

HURAIAN: Mengikut pandangan Abu Hanifah, Malik dan Imam al-Syafi‘i, wajib bagi wali (waris yang terdekat), sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi rhm., untuk membayar fidyah puasa bagi pihak si mati iaitu setiap hari untuk seorang miskin, dan tidak berpuasa untuknya.

HUJAH: Ini sebagaimana hadis mawquf daripada Aisyah r.ha., beliau berkata: “Jangan kamu berpuasa untuk orang yang mati dalam kalangan kamu dan (akan tetapi) berilah untuk mereka (fidyah).” Dalil juga berdasarkan hadis mawquf daripada Ibn Umar r.a., maksudnya: “Sesiapa yang mati dengan meninggalkan puasa, hendaklah memberi makan (fidyah) untuknya seorang miskin bagi setiap hari.”

Ustaz Mohamad Nor Mohamad Endot
(Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan : Adakah diharuskan seseorang yang sakit dan membawa kemudaratan pada dirinya berbuka puasa?

Jawapan

RINGKASNYA: Boleh, ada syaratnya.

HURAIAN: Sakit adalah antara keuzuran yang mengharuskan seseorang berbuka puasa mengikut pandangan syarak. Keuzuran itu pula dikira berlaku jika dinasihatkan oleh doktor Muslim yang pakar bahawa, jika ia meneruskan puasanya akan memudaratkan diri. Dalam mazhab Syafi‘i, syarat yang dikenakan bagi doktor itu mestilah Muslim dan adil. Mazhab Hanafi mensyaratkan doktor itu seorang doktor Muslim yang pakar.

HUJAH: Ini berdasarkan firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud: “Maka sesiapa yang sakit daripada kamu atau musafir, maka hendaklah diganti pada hari-hari yang lain.”

TAMBAHAN: Wajib bagi orang yang sakit, apabila hilang sakitnya (keuzurannya) mengqada puasa yang ditinggalkan itu, berdasarkan firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud: “Maka sesiapa yang sakit daripada kamu atau musafir, maka hendaklah diganti pada hari-hari yang lain.”

Keuzuran itu pula dikira berlaku jika dinasihatkan oleh doktor Muslim yang pakar bahawa, jika ia meneruskan puasanya akan memudaratkan diri . Dalam mazhab Syafi‘i, syarat yang dikenakan bagi doktor itu mestilah seorang Islam dan adil. Mazhab Hanafi mensyaratkan doktor itu seorang doktor Muslim yang pakar.

Ustaz Mohamad Nor Mohamad Endot
(Majalah Al-Ustaz Isu 2)

Soalan: Adakah batal puasa sekiranya menelan kahak atau air liur bagi yang berpuasa?

Jawapan: Bagi mazhab Syafi‘i, kahak yang berada di dada lalu naik ke mulut atau hingus dari kepala yang turun ke mulut, lalu ditelan, maka batal puasa. Namun bagi mazhab lain hukumnya sama seperti menelan air liur yakni tidak membatalkan puasa.

Berkaitan dengan air liur, jika ia tidak bercampur dengan benda-benda yang lain, hukumnya tidaklah membatalkan puasa jika ditelan. Juga tidaklah wajib meludah air liur setelah dikumpulkan di dalam mulut. Kalau diludah, biasanya akan menambahkan rasa dahaga dan kepenatan. Menelannya bukanlah dikira seperti makan atau minum yang boleh membatalkan puasa. Namun sekiranya air liur ditelan itu bercampur dengan benda lain, maka ianya boleh membatalkan puasa.

Mohammad Nor Mohammad Endut
(Fiqah Puasa, Majalah Al-Ustaz isu No.4)

Soalan: Dalam solat sunat Aidilfitri, imam tidak bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama (mungkin lupa), dia terus sahaja membaca surah al-Fatihah. Tetapi pada rakaat kedua dia bertakbir pula sebanyak lima kali. Bagaimana kedudukan solat sedemikian?

Jawapan: Solat itu sah kerana takbir dalam rakaat pertama dan rakaat kedua adalah sebagai suatu yang sunat yang disebut sebagai hai’at solat. Sama kedudukannya seperti bacaan-bacaan dalam rukuk dan sujud. Kalau kita tinggalkan, tidak menjejaskan solat dan tidak perlu sujud sahwi.

Kalaulah selepas imam takbiratul ihram pada rakaat pertama dan terus membaca al-Fatihah, tiba-tiba dia teringat untuk takbir sebanyak tujuh kali semasa membaca al-Fatihah atau selepas baca al-Fatihah, maka dia tidak perlu untuk undur balik atau untuk takbir semula tujuh kali itu. Dia teruskan sahaja membaca surah dan seterusnya rukuk.

Bahkan kalau selepas takbiratul ihram dia terus baca “A’uzubillahi minasyaitan nirrajim” (yakni untuk memulakan membaca al-Fatihah), maka tidak perlu lagi untuk dia undur kebelakang dan membaca takbir tujuh kali tadi. Tujuh kali takbir ini bukanlah suatu yang wajib dan bukan juga suatu yang ab’ad. Ia adalah sunat hai’at. Kalau imam lupa, yakni meninggalkannya, maka semua makmum pun kena lupakanlah juga. Makmum wajib mengikut imam. Maknanya jangan pula imam lupa takbir, maka kita bersendirian buat. Maka perbuatan kita itu tidak disunatkan.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 3)