Menu

 

A+ A A-

FIRST THING FIRST

ISLAM mengajar umatnya agar sentiasa bertindak mengikut keutamaan. Bertindak mengikut keutamaan akan membawa seseorang ke arah kejayaan.Jika tidaklah kerana kaummu masih baru dengan era jahiliah, nescaya akan kuubah bangunan Kaabah ini dan akan aku rendahkan pintunya ke bumi dan akan aku jadikan baginya dua pintu, satu pintu masuk dan satu pintu keluar.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa dalam setiap tindakan atau perlakuan, perkara yang utama perlu didahulukan. Rasulullah s.a.w. merupakan seorang insan yang sentiasa mendahulukan perkara yang perlu didahulukan. Sifat yang diamalkan ini menjadikan Baginda s.a.w. sebagai seorang hamba, da’i, pemimpin dan ketua negara yang berjaya.

1. Rasulullah s.a.w. sebagai Seorang Hamba

Mengutamakan ibadah walaupun sudah dijanjikan syurga

Sayidatina Aisyah r.ha. menceritakan: “Nabi bersembahyang malam sehingga bengkak kedua-dua kakinya. Beliau bertanya: ‘Mengapakah engkau melakukan ini ya Rasulullah, sedangkan Allah telah mengampunkan dosa-dosamu yang terdahulu dan akan datang?’ Jawab Baginda s.a.w.: ‘Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?’” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sentiasa memohon keampunan

Imam Muslim meriwayatkan, Nabi s.a.w. sentiasa memohon keampunan Allah sebagai lambang kerendahan diri. Baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, bertaubat dan mohonlah keampunan daripada Allah. Sesungguhnya aku beristighfar sehari semalam sebanyak seratus kali.”

Menggantikan solat sunat yang tertinggal

Imam Muslim menceritakan daripada Aisyah, Nabi s.a.w. menggantikan solat malam Baginda walaupun ia tidak diwajibkan, apabila Baginda tidak dapat menunaikannya atas sebab-sebab tertentu. Berkata Aisyah, “Nabi s.a.w., apabila Baginda tertinggal solat malamnya kerana sakit atau seumpamanya, Baginda menggantikannya pada siang harinya dengan bersolat sebanyak 12 rakaat.”

Berpuasa setiap bulan

Imam al-Nasa’i meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas mengenai puasa sunat yang Nabi s.a.w. sentiasa lakukan. Beliau berkata, “Nabi Muhammad tidak pernah berbuka puasa pada hari-hari 13, 14, dan 15 setiap bulan sama ada dalam keadaan musafir ataupun tidak.”

Iktikaf pada akhir Ramadan.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah, “Nabi Muhammad, apabila tiba sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, menghidupkan malamnya (dengan ibadah) dan Baginda mengejutkan isteri-isterinya daripada tidur supaya bangun melaksanakan ibadah...”

2. Rasulullah s.a.w sebagai Pemimpin dan Ketua Negara

Mengutamakan pendidikan

Ketika umat Islam ditindas dan diseksa di Makkah, pergerakan mereka menjadi begitu terhad. Lantas Baginda s.a.w. memberikan fokus kepada soal pendidikan. Ketika pemeluk agama Islam meningkat kepada tiga puluh orang lelaki dan perempuan, maka Baginda s.a.w. memilih satu tempat yang agak terpencil sedikit iaitu di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam sebagai pusat pendidikan.

Di rumah itulah Nabi s.a.w. menyampaikan segala taklimat, tunjuk ajar dan nasihat. Di sini para sahabat mempelajari ilmu tentang Islam dari semasa ke semasa. Seruan ini berjaya memberikan hasil yang memuaskan di mana hampir empat puluh orang menyahut seruan Islam. Kebanyakan mereka ini terdiri daripada golongan fakir miskin dan hamba sahaya yang tidak ada tempat dalam masyarakat Quraisy.

Mengutamakan rakyat daripada keluarga sendiri

Tidak mementingkan harta untuk diri sendiri. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada saudara lelaki Ummul Mukminin Juwairiyah binti Harith yang bernama ‘Amri bin Harith mengenai harta peninggalan Nabi s.a.w. semasa Baginda wafat. Beliau berkata, “Semasa Nabi s.a.w. wafat, Baginda tidak meninggalkan walaupun satu dirham. Baginda juga tidak meninggalkan walaupun seorang hamba lelaki ataupun perempuan. Baginda sekadar meninggalkan seekor keldai, sehelai pakaian perang dan sebidang tanah kecil yang kemudiannya disedekahkan.”

Selain itu, Nabi s.a.w. bukanlah seorang yang berminat untuk mengumpulkan harta benda seperti emas dan perak untuk kesenangan diri dan keluarganya, sebaliknya Baginda s.a.w. menyerahkan harta yang dimilikinya kepada orang yang memerlukan. Imam al-Tabarani meriwayatkan daripada Sahl bin Saad, “Pada suatu hari Baginda jatuh sakit dan pada masa itu Baginda memiliki wang emas sebanyak tujuh dinar, lalu diberikan kepada Aisyah supaya diberikan kepada Sayidina Ali untuk disedekahkan. Baginda kemudiannya pengsan beberapa kali dan setiap kali sedar Baginda menyoal Aisyah mengenai wang emas itu hinggalah akhirnya wang emas itu diberikan kepada Ali dan disedekahkan.”

Mengutamakan kesederhanaan

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas mengenai kisah Sayidina Umar yang memasuki bilik Nabi s.a.w. semasa menziarahinya. Umar berkata, “Aku pun duduk dan aku melihat tanda tikar pada badan Nabi Muhammad. Aku ternampak segenggam gandum dan sekeping kulit tergantung... Aku pun terus menangis.” Kemudian Nabi s.a.w. bertanya: “Wahai Ibn Khattab, mengapa kamu menangis?” Aku menjawab: “Mengapa tidak, ya Rasulullah.

Aku lihat bekas tikar kasar di badanmu dan aku melihat hartamu hanyalah sekadar apa yang aku lihat ini. Bayangkan Maharaja Rom dan Parsi yang hidup dalam kemewahan dan kesenangan, sedangkan engkau adalah Nabi (hidup seperti ini).” Nabi bersabda: “Wahai Ibn Khattab, apakah kamu tidak reda bahawa bagi kita akhirat dan bagi mereka dunia?”*

Tidak mengutamakan makanan yang mewah, enak dan lazat

Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Anas bin Malik, “Tidak pernah Nabi Muhammad bersantap di atas meja dan tidak pernah Baginda memakan roti halus, iaitu daripada jenis tepung yang baik sehinggalah Baginda wafat.”

Tiada mengecualikan keluarga dalam hukuman

Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah memilih kasih dalam melaksanakan hukuman. Daripada Aisyah, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sudah hancur mereka yang sebelum kamu kerana sekiranya orang berpangkat daripada kalangan mereka mencuri dan mereka biarkan. Tetapi sekiranya yang mencuri itu daripada kalangan orang bawahan, mereka menghukumnya. Demi Allah, sekiranya anakku Fatimah mencuri, aku akan potong tangannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengutamakan musyawarah (perbincangan)

Rasulullah s.a.w. senantiasa mengadakan musyawarah atau perbincangan setiap kali ingin melaksanakan sesuatu tindakan. Sebagai contohnya sebelum bermulanya Peperangan Ahzab, Baginda bersama para sahabat telah berbincang tentang strategi pertahanan untuk mempertahankan Kota Madinah. Setelah berbahas panjang antara ketua-ketua dan ahli majlis mesyuarat, akhirnya mereka bersetuju dengan usul yang dikemukakan oleh seorang yang pintar dan berpengalaman iaitu Salman al-Farisi.

3. Rasulullah s.a.w. sebagai Seorang Dai

Mengutamakan yang hak walaupun pahit

Ketika turunnya perintah Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat,” (Surah al-Syu’ara 26: 214) Rasulullah s.a.w. memanggil anak pinak Quraisy lalu disebutkan nama secara umum dan khusus. Baginda berkata: “Hai semua orang Quraisy, selamatkan dirimu daripada api neraka. Hai sekalian Bani Ka’ab, selamatkan dirimu daripada api neraka. Hai Fatimah binti Muhammad, selamatkan dirimu daripada api neraka. Sesungguhnya demi Allah, aku tidak memiliki sebarang kuasa untuk membelamu daripada hukuman Allah, melainkan kamu mempunyai tali persaudaraan (Islam) yang akan aku kuatkan hubungan itu.”(Riwayat Muslim, jil.1, hlm. 114, alBukhari, jil. 1, hlm. 385, jil. 2, hlm. 702. Mishkah al Masabih, jil.2, hlm. 460)

Daripada hadis ini dapat kita saksikan bahawa Baginda s.a.w. sentiasa mengutamakan yang hak dan benar walaupun Baginda tahu ancaman bunuh oleh kaum Quraisy pasti akan menantinya.

Kesimpulannya, sebagai seorang Muslim kita seharusnya mencontohi sikap Rasulullah s.a.w. yang sentiasa mengutamakan apa yang perlu diutamakan. Apabila kita mendahulukan apa yang perlu didahulukan, kita sebenarnya sedang menyusun kehidupan kita ke arah yang lebih efisyen dan bersistematik. ¤

 

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

_______________________________________________________________________

 

 

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Dilahirkan di Kedah dan mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana (MA) dalam bahasa Arab juga di UIAM, dan menyambung pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya. Kini menjawat jawatan pensyarah di UIAM. Berpengalaman dalam bidang motivasi dan kepimpinan dan aktif dalam penerbitan buku ilmiah dan artikel majalah. Merupakan penulis Indahnya Hidup Bersyariat. Layari blog beliau di http://mohdazrul.blogspot.com. Beliau juga boleh dihubungi di mohdazrulazlan@gmail.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

tbbk1297

 

Kembali ke atas