Menu

 

A+ A A-

KESINAMBUNGAN PERJUANGAN RASULULLAH

MEMBAIKI Sistem Ekonomi Perjuangan Nabi

Bolehkah kita mendakwa bahawa usaha mewujudkan sistem ekonomi Islam pada hari ini sebenarnya perjuangan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. juga?

Ya. Jika ditinjau sejarah awal kedatangan Islam pada zaman Jahiliah dahulu, Nabi Muhammad diutus oleh Allah s.w.t. ketika seluruh dunia benar-benar memerlukan panduan hidup yang unggul.

 KESINAMBUNGAN PERJUANGAN RASULULLAH

Zaman Jahiliah menjadikan seluruh dunia ini sebagai pentas menegakkan kezaliman. Undang-undang rimba menjadi amalan hidup manusia. Ajaran-ajaran yang pernah diwahyukan oleh Allah kepada para nabi sebelum itu telah dilupai dan diselewengkan.

Hampir keseluruhan manusia ketika itu hidup dalam kesesatan dan penyelewengan. Mereka tidak kenal Tuhan yang menciptakan mereka apatah lagi hendak menyembah-Nya. Nafsu bermaharajalela, serigala menjadi gembala, penjenayah menjadi hakim dan orang yang zalim menjadi kadi. Maka Baginda datang membawa dan memperjuangkan sistem panduan hidup unggul yang diamanahkan oleh Allah. Itulah syariat Islam. Termasuk perkara yang diperjuangkan oleh Rasulullah ketika itu ialah membaiki sistem ekonomi yang sudah parah.

Barah ekonomi itu sudah meresap ke dalam jiwa masyarakat. Masyarakat pada ketika itu begitu teraniaya dengan sistem ekonomi rimba. Pihak yang kuat menindas yang lemah. Yang kaya menzalimi yang miskin. Yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin akibat pelaksanaan sistem yang jauh tersasar daripada panduan Ilahi. Tidak ada Negara yang memikirkan mekanisme pembahagian sumber keperluan manusia dengan cara yang seadil-adilnya.

Amalan Ekonomi Jahiliah yang Dibanteras

Apakah amalan ekonomi Jahiliah ketika itu yang cuba dibanteras oleh Rasulullah?

1. Riba

Antara bentuk sistem yang diamalkan oleh mereka ialah sistem riba. Bahayanya amat luar biasa kepada masyarakat.

2. Penipuan

Selain itu juga, Rasulullah giat menentang budaya penipuan (ghish) yang berlaku dalam urus niaga itu sendiri. Bermacam-macam bentuk penipuan yang berlaku antaranya perbuatan berpakat secara senyap (al-tanajush), menyembunyikan kecacatan (tadlis al-‘aib) dan tipu daya (al-khilabah).

Maka tidak hairanlah jika kita membaca sejarah zaman Jahiliah, masyarakat menjadi huru-hara akibat sistem buatan manusia yang tidak ada hubungan langsung dengan Pencipta mereka.

3. Judi

Begitu juga dengan amalan sistem judi yang mengakibatkan institusi kekeluargaan dan institusi masyarakat menjadi kelam-kabut. Pergaduhan sesama ahli keluarga sering berlaku akibat ketagihan judi.

Bayangkan sidang pembaca sekalian, orang yang kemaruk dengan judi ini sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mendapatkan duit modal untuk berjudi. Jika kalah berjudi, mereka sanggup berhutang. Lebih parah lagi, apabila berhutang itu dengan menggunakan konsep riba.

4. Rasuah

Rasulullah amat menentang amalan rasuah. Rasuah menjadi duri dalam daging sistem amalan masyarakat pada ketika itu. Keadilan tidak dapat ditegakkan. Kesannya, kebenaran boleh dijual beli dengan harga yang begitu murah.

Inilah antara perjuangan yang diperjuangkan oleh Rasulullah yang diutus oleh Allah untuk menyelamatkan umat manusia daripada terus menerus terjebak ke kancah kehancuran. Begitu juga halnya dengan perjuangan yang diperjuangkan oleh penggerak-penggerak sistem perbankan Islam. Ketahuilah bahawa hakikat kewujudan sistem perbankan Islam ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengeluarkan manusia daripada sistem yang dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya. Sebenarnya, masalah yang pernah berlaku pada zaman Jahiliah tersebut masih lagi berlaku pada dalam zaman ini. Ini semua menuntut perjuangan yang sama bagi mencantas amalan yang tidak diredai Allah.

INFO

Ustaz Mohd Hafiz Fauzi

Sumber artikel daripada majalah  Al-Ustaz isu no.6


Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi

Ketua Jabatan Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad. Lulusan Sarjana Muda Undang-undang (Sivil dan Syariah) UIA dan Sarjana Undang-undang Perbandingan (Bidang Perbankan dan Kewangan Islam) UIA. Beliau pernah menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 dan penceramah Radio IKIM.FM.

Kembali ke atas