Menu

 

A+ A A-

VISI DAN MISI RASULULLAH SAW

LAKARAN visi dan misi Rasulullah s.a.w

Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia hebat yang mempunyai visi yang agung iaitu untuk melihat manusia sentiasa mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dan melakukan kebaikan dan mentaati perintahNya bagi mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Sebelum diutus menjadi utusan Allah, baginda sering berkunjung ke Gua Hira bagi mencari visi kehidupan yang hakiki tatkala melihat keadaan masyarakat jahiliyyah pada masa tersebut yang menyembah berhala, melakukan pembunuhan antara kabilah, saling berdendam, merendahkan martabat wanita dan tidak mempunyai visi yang membawa manusia ke arah kebaikan dan kesejahteraan.

Nabi Muhammad s.a.w juga selalu memikirkan perkara berikut:

Mengkaji secara mendalam kehidupan dan mengamati keindahan, kekuasaan dan ciptaan Allah s.w.t dalam setiap kejadian. Apabila melaksanakan kajian mendalam terhadap langit dan bintang serta menimbang secara saksama tentang makhluk di bumi, baginda mencapai matlamatnya menuju puncak makrifat yang paling tinggi (visi)

Merenungi tanggungjawab berat yang harus dipikulnya apabila berlakunya kerosakan dan kehancuran masyarakat manusia pada masa tersebut. Baginda berfikir cara untuk mengatasi masalah yang sedang membelenggu masyarakat jahiliyyah pada ketika itu (misi).

Berdasarkan apa yang difikirkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., kita akan mendapati bahawa baginda mempunyai visi yang mulia iaitu membawa manusia ke arah pengabdian diri kepada Allah s.w.t. Bagi melaksanakan visi tersebut, baginda juga memikirkan misi dan solusi bagi mengatasi masalah ketuhanan dan kemasyarakatan yang sedang membelenggu masyarakat jahiliyyah pada ketika itu.

misi2

Walaupun masyarakat pada masa tersebut bergelumang dengan amalan-amalan yang syirik, tahyul dan tidak bertamadun, tetapi Rasulullah s.a.w tidak terpengaruh dengan amalan-amalan tersebut kerana baginda mempunyai visi yang jelas yang telah disuluh oleh cahaya wahyu Allah s.w.t. Visi yang jelas ini telah menjadikan baginda s.a.w tidak takut, tidak terikut atau tertarik kepada ancaman-ancaman atau tawaran-tawaran menarik yang telah diberikan oleh pemimpin Quraisy pada ketika itu, sekiranya beliau meninggalkan dakwahnya.

Suatu hari, bapa saudara Nabi s.a.w. telah datang bertemu Nabi dan menyatakan tawaran harta, pangkat, wanita dan kedudukan oleh pemimpin-pemimpin Quraisy sekiranya Rasulullah s.a.w. menghentikan dakwah dan ajarannya. Baginda menjawab: “Andai mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku dengan harapan aku meninggalkan perjuangan ini, sudah pasti aku tidak akan tinggalkan walaupun aku akan binasa kerananya.”

Lihat, visi yang jelas tidak menjejaskan keutuhan aqidahnya. Bak ikan di laut, walaupun air di sekelilingnya masin, tetapi rasa masin itu tidak mampu meresap masuk ke dalam daging ikan tersebut.

Dr. Marcus Dods, pengarang buku Mohammad, Buddha and Christ telah menyebut di dalam bukunya bahawa Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai dua ciri kenabian yang hebat:

1. Beliau dapat melihat dengan jelas kebenaran Tuhan yang tidak dapat dilihat oleh orang lain (visi yang jelas).

2. Beliau memiliki semangat dalaman yang tinggi untuk menyebarkan kebenaran tersebut (semangat membara untuk melaksanakan misi).

Visi dan misi yang telah di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w ini telah memberikan kesan yang positif terhadap umat Islam dan baginda telah berjaya mengubah dunia dalam masa yang singkat.

Kesimpulannya, ciri-ciri visi dan misi Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut:

  • Jelas dan tahu arah tuju.
  • Bertindak ke arah visi yang telah ditetapkan dengan penuh semangat.
  • Sentiasa menilai dan bermuhasabah sama ada tindakan yang diambil itu berjaya atau tidak.
  • Sentiasa mengubah misinya supaya sentiasa menuju ke arah visi dan tidak tergelincir dari landasannya (always keeps the mission on track).

Semoga kita dapat mempraktikkan apa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w dalam melakarkan visi dan seterusnya melaksanakan visi tersebut melalui misi yang telah dirancang. 

Misi dan Visi Rasulullah

 

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.1

________________________________________________________________________

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Dilahirkan di Kedah dan mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana (MA) dalam bahasa Arab juga di UIAM, dan menyambung pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya. Kini menjawat jawatan pensyarah di UIAM. Berpengalaman dalam bidang motivasi dan kepimpinan dan aktif dalam penerbitan buku ilmiah dan artikel majalah. Merupakan penulis Indahnya Hidup Bersyariat. Layari blog beliau di http://mohdazrul.blogspot.com. Beliau juga boleh dihubungi di mohdazrulazlan@gmail.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

tbbk1297

 

Kembali ke atas