BERIKAN HAK KEPADA YANG BERHAK
- Ditulis oleh Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir
- Kategori Sirah Para Sahabat
- Read 9137 times
ANTARA perbuatan pertama Nabi s.a.w. ketika sampai di Madinah ialah mempersaudarakan sesama umat Islam yang berhijrah ke Madinah (Muhajirin) dengan penduduk Madinah (Ansar). Dua orang sahabat yang telah dipersaudarakan ialah Salman al-Farisi dalam kalangan Muhajirin bersama Abu ad-Darda’ dalam kalangan Ansar.
Suatu hari, Salman telah pergi ke rumah Abu ad-Darda’ untuk menziarahinya. Kebetulan pada waktu itu, beliau berjumpa dengan Khairah, isteri Abu ad-Darda’ yang hanya memakai pakaian yang sudah lusuh.
Salman lantas bertanyakan tentang keadaannya itu, lalu dia menjawab: “saudaramu, Abu Darda’ sudah tidak lagi berhajat kepada dunia.”
Salman akhirnya bertemu dengan Abu Darda’ lalu beliau dipelawa masuk ke dalam rumahnya. Sebagai memuliakan tetamu yang datang, Abu ad-Darda’ menghidangkan makanan dan menjemputnya makan, tetapi beliau tidak mahu makan bersama kerana berpuasa. Melihat keadaan tersebut, Salman berkata: “Aku tidak akan makan sehingga kamu makan.” Abu ad-Darda’ terpaksa mengalah lalu berbuka puasa dengan menjamah hidangan bersama sahabatnya itu.
Pada hari itu, Salman mengambil keputusan untuk bermalam di rumahnya dan hal tersebut tidak menjadi masalah buat tuan rumah. Di tengah malam, Abu ad-Darda’ bangun daripada tidur dengan tujuan untuk melakukan qiamullail. Namun, perkara tersebut disedari Salman dan beliau menyuruhnya tidur. Abu ad-Darda’ akur dan menyambung semula tidurnya. Kali kedua, perkara tersebut berulang dan Abu ad-Darda’ tetap mengikut kehendak sahabatnya itu. Ketika waktu hampir subuh, Salman berkata: “Bangunlah sekarang,” lalu mereka berdua mengerjakan solat sunat bersama-sama.
Bagi menegur perbuatan Abu ad-Darda’ yang hanya menumpukan ibadah kepada Allah s.w.t. dan mengabaikan tanggungjawabnya yang lain, Salman berkata kepadanya: “Sesungguhnya kamu mempunyai hak terhadap Tuhanmu, hak terhadap dirimu sendiri, dan juga hak terhadap isterimu. Maka, berikan hak kepada setiap mereka yang berhak atasnya.” Setelah itu, Abu ad-Darda’ bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan menceritakan kejadian yang berlaku antara dirinya dengan Salman. Lalu, Baginda bersabda yang bermaksud: “Benarlah kata-kata Salman.”
Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8
Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir
Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.