Menu

 

A+ A A-

MISTERI DI SEBALIK LAUT MATI

LAUT Mati ialah laut yang mempunyai air yang sangat masin, sehingga tiada suatu hidupan yang mampu hidup di laut ini. Jika kita mandi di laut ini, kita akan dapati badan kita terapung-apung dan tidak tenggelam, lantaran kepekatan airnya.

Di sebalik keistimewaan itu, berabad-abad lamanya, Laut Mati menyimpan peristiwa bencana yang amat dahsyat, sehingga bukan sahaja menimpa seluruh penduduknya malah melenyapkan terus sebuah negeri dan peradaban.

Peristiwa tersebut dirakamkan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran. FirmanNya yang bermaksud: “Maka ketika datang azab Kami, Kami balikkan negeri itu, bahagian atas menjadi bahagian bawah, dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang (batu-batu itu) ditandakan (diarahkan) oleh Tuhanmu dan Ia tidaklah jauh daripada orang yang zalim itu.” (Surah Hud 11: 8283)

Kaum yang dimaksudkan itu ialah penduduk Sodom dan Amurah.

Lokasi bandar Sodom dan Amurah (dalam Bible disebut Gommorah) dikenal pasti oleh ahli sejarah di barat daya Laut Mati. Beberapa penemuan sejarah ditemui di kawasan itu kini suatu lembah yang digelar Valley of Salt.

Bumi di situ didapati mengandungi kandungan sulfur dan garam yang tinggi. Dipercayai azab yang diturunkan ke atas mereka daripada hunjaman batu-batu belerang, yang mana selain membunuh manusia, ia membakar bangunan batu-batu kapur (limestones), yakni bahan membina bangunan pada waktu itu.

Tanah dan abu yang dijumpai di kawasan itu mengandungi kalsium sulfat dan kalsium karbonat, iaitu hasil daripada batu kapur dan sulfur (batu belerang) yang terbakar.

Kedegilan Kaum Nabi Lut Mengundang Azab Allah

Kaum ini dalam kehidupan mereka mengamalkan perkara yang sangat keji iaitu hubungan homoseksual atau liwat dalam kalangan lelaki dan lesbian dalam kalangan wanita. Rata-ratanya mereka berminat sesama kaum sejenis. Ditambah dengan pelbagai maksiat dan kemungkaran lain seperti penindasan, rompakan, kecurian serta rampasan harta benda dan sebagainya. Yang kuat mendapat kuasa, manakala yang lemah menjadi korban penindasan serta penganiayaan.

Allah s.w.t. mengutus Nabi Lut a.s. untuk berdakwah dan menyeru kaum Sodom agar kembali menyembah Allah dan meninggalkan perkara keji itu, tetapi mereka mengingkari dakwah Nabi Lut a.s. Malah mereka suka memperolok-olokkan Nabi Lut sehingga mencabar beliau meminta didatangkan azab daripada Tuhan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (Kami utus) Nabi Lut. Ingatlah ketika ia berseru kepada kaumnya: ‘Kenapa kamu lakukan pekerjaan keji (homoseks) yang tidak pernah dikerjakan oleh seorang jua pun sebelum kamu di muka bumi ini? Sesungguhnya kamu menyalurkan syahwatmu (nafsu seks kamu) kepada lelaki, bukan kepada wanita. Nyatalah kamu kaum yang melampaui batas.’ Jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan, ‘Halaukan mereka (Nabi Lutdan pengikut-pengikutnya) dari negeri kamu ini. Sesungguhnya mereka ialah orang yang berpura-pura menyucikan diri.’” (Surah al-A’raf 7: 80-82)

“Maka jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: ‘Datangkan kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.’” (Surah al-Ankabut 29: 29)

Kemudian Allah s.w.t. mengutus dua malaikat menjelma sebagai pemuda tampan ke negeri kaum Lut. Sebelum itu, malaikat ini pernah bertamu ke rumah Nabi Ibrahim a.s. untuk menyampaikan berita gembira bahawa isteri baginda akan hamil dan dikurniakan cahaya mata. Malaikat itu juga telah menyatakan bahawa mereka akan ke negeri kaum Lut untuk membinasakan mereka.

Nabi Lut ialah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. Ayahnya bernama Hasan bin Tareh, ialah saudara kandung Nabi Ibrahim a.s.

Firman Allah s.w.t.: “Dan ketika utusan Kami (para malaikat) datang kepada Ibrahim membawa khabar gembira, mereka mengatakan: ‘Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk (Sodom) ini. Sesungguhnya penduduknya ialah orang yang zalim.’” (Surah al-Ankabut 29: 31)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Berkata Ibrahim: ‘Sesungguhnya di kota itu ada Lut.’ Para malaikat berkata: ‘Kami lebih mengetahui siapa di kota itu. Kami akan selamatkan dia dan pengikutnya kecuali isterinya. Dia termasuk orang yang dibinasakan.’” (Surah al-Ankabut 29: 32)

Para malaikat itu kemudiannya meninggalkan Ibrahim dan menuju ke Sodom. Nabi Lut a.s. berasa cemas kerana tetamu yang mengunjunginya itu mempunyai rupa paras yang tampan. Baginda takut tetamunya itu akan dianiaya oleh kaumnya. Namun baginda tetap menjaga mereka daripada sebarang penganiayaan kaumnya.


Tersebarlah berita dalam kalangan kaumnya kedatangan lelaki-lelaki tampan di rumah Lut. Lalu mereka berkumpul di hadapan rumah baginda.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Para utusan malaikat berkata: ‘Hai Lut, sesungguhnya kami ialah utusan-utusan Tuhanmu. Mereka sekali-kali tidak akan mengganggumu. Sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikutmu pada akhir malam dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang tertinggal, kecuali isterimu.’” (Surah Hud 11: 81)

Azab yang ditimpakan ke atas kaum Nabi Lut dirakamkan dalam al-Quran: “Mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur, ketika matahari akan terbit. Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras.” (Surah al-Hijr 15: 74)

Begitulah kesudahan kaum Lut yang dibinasakan dan dilenyapkan dari muka bumi yang menjadi pengajaran kepada manusia hingga ke hari kiamat. Allah s.w.t. berfirman: “Dan sesungguhnya kota itu benar-benar terletak di jalan yang masih tetap (di lalui manusia). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman.” (Surah al-Hijr 15: 76-77) 

Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5


Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas