JIWA MULIA BERKAT QANAAH
- Ditulis oleh Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir
- Kategori Ibadah
- Read 5050 times
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata:
“Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: ‘Bukanlah kekayaan itu dinilai melalui harta yang banyak, tetapi kekayaan (yang sebenar) ialah kaya peribadi.’”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kisah Perawi Hadis
Imam al-Baihaqi meriwayatkan sebuah hadis bahawa suatu hari beliau keluar dari rumahnya kerana lapar, lalu terus menuju ke masjid. Di sana, beliau bertemu dengan sekumpulan sahabat yang lain.
Mereka berkata: “Apa sebabnya kamu keluar pada waktu sebegini?” Beliau menjawab: “Aku keluar kerana lapar.” Mereka berkata: “Demi Allah, kami pun tidak akan keluar melainkan lapar.” Lantas kami bangun dan berjumpa dengan Nabi s.a.w. Baginda bertanya: “Apa sebabnya kamu keluar pada waktu begini?” Kami menjawab: “Kami keluar kerana lapar.”
Kemudian, Baginda meminta agar dibawakan sebuah bekas yang mengandungi kurma dan memberikan dua biji kurma kepada setiap orang dalam kalangan mereka. Baginda bersabda, maksudnya: “Makanlah kedua-duanya dan minumlah air selepas itu. Sesungguhnya dua biji kurma itu akan mencukupkan bekalan kamu semua pada hari ini.”
Namun, Abu Hurairah hanya makan sebiji kurma dan menyembunyikan sebiji kurma lagi di dalam bajunya. Baginda sedar akan perbuatan tersebut lalu bertanya: “Mengapa kamu tidak memakan kurma yang satu lagi?” Beliau menjawab: “Saya simpankan untuk ibu saya.” Maka, Baginda bersabda, maksudnya: “Makanlah, sesungguhnya kami akan berikan dua biji kurma juga kepada ibu kamu.”
Berhikmah Salurkan Harta
Ramai orang ingin menjadi kaya. Duit banyak, rumah besar, makanan yang serba cukup, semua ini adalah impian tertinggi seorang manusia di dunia ini. Bahkan, falsafah seorang insan sentiasa berharap agar sesuatu yang disukainya semakin bertambah dan terus berkembang. Jika sudah mempunyai dua buah gunung emas sekalipun, dia pasti menginginkan gunung ketiga, keempat dan seterusnya. Inilah fitrah manusia yang dikawal oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan.
Islam telah mengehadkan keinginan ini melalui batas sempadannya. Seorang yang beriman kepada Allah s.w.t. mesti menyalurkan sebahagian hartanya menurut perintah Allah. Zakat, sedekah, infak dan derma bertindak sebagai baja terbaik yang menggandakan pertumbuhan amalan kebajikan.
Imam al-Bukhari telah meriwayatkan fakta ini daripada Nabi s.a.w. yang mengkhabarkan bahawa Allah s.w.t. berfirman, mafhumnya: “Infaklah (hartaharta kamu) wahai anak Adam, nescaya Aku akan memberi infak kepada kamu (melalui penggandaan pahala amalan).” Jadikan insan persis Abdul Rahman bin ‘Auf yang mudah melimpahkan hartanya untuk Islam sebagai role model kita.
Nilaian Rasulullah
Secara zahirnya, hadis ini seolah-olah menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. ingin mengalihkan pandangan umum pada sudut yang berbeza. Jika dilihat pada peribadi seorang individu, itulah gambaran luaran yang menceritakan segalanya. Kebanyakan orang kaya sentiasa ingin mempamerkan kemewahannya, sedangkan si miskin pula tidak lebih daripada memperagakan fesyen yang berabad lama.
Tetapi, itu bukanlah nilaian Baginda s.a.w. Dalam hadis ini, orang kaya di sisi Rasulullah s.a.w. adalah yang sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada, dan tidak berlebih-lebihan mencari harta. Itulah qanaah yang dikehendaki agama. Tidak kiralah sama ada kaya atau miskin, sikap tersebut bakal mengubah peribadi seseorang menjadi orang yang sentiasa kaya. Kesannya, dia dipandang mulia dan dihormati oleh orang di sekelilingnya. Si kaya yang berperangai miskin sentiasa berharap hartanya semakin bertambah saban hari. Seakan-akan tidak cukup dengan kekayaan yang telah banyak, dia sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai matlamatnya. Lantaran sikap tamak, boleh jadi dia menggadaikan agamanya sendiri bagi mencapai tujuan ini. Nauzubillah.
Cukup dalam Kecukupan
Alangkah indahnya jika sikap qanaah ini difahami dan dihiasi oleh setiap individu Muslim. Orang yang reda serta berasa cukup dengan apa yang ada, hatinya pasti tenang dan tenteram. Dia tidak perlu bersusah-susah memikirkan cara menambahkan harta. Jiwanya pula tidak pernah meronta-ronta minta disuap dengan lambakan aset dunia.
Pergantungannya tetap kepada Allah s.w.t. Akhirnya, dia mudah untuk mengikut dan mengamalkan segala suruhan agama yang murni. Benarlah maksud potongan hadis: “Sesiapa yang berasa cukup dengan (pemberian) Allah, maka Allah akan mencukupkannya (dengan mencampakkan sifat qanaah dalam dirinya).”
Ungkapan ada menyatakan: “Kekayaan diri ialah apa yang mencukupkanmu untuk memenuhi suatu keperluan. Jika ia lebih daripada itu, kekayaan tersebut akan bertukar menjadi kefakiran.” Oleh sebab itu, berusahalah agar diri terarah menjadi Mukmin yang reda dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan. Qanaah tidak menafi kan daya usaha manusia. Tidak juga menghalangnya daripada kemajuan diri. Tetapi, ia adalah sifat yang mengawal nafsu dan kehendaknya yang ekstrem.
Lebih jauh daripada itu, supaya sifat qanaah mudah bertapak dalam diri insan yang dipenuhi dengan amalan soleh dan ilmu yang bermanfaat. Pada waktu itu, jiwa dan hatinya akan menjadi tenang lalu memilih kehidupan akhirat mengatasi nikmat dunia yang fana. Semoga kita diberikan petunjuk daripada Allah s.w.t. untuk menghiasi peribadi dengan sifat-sifat mahmudah.
Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir
Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09
Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir
Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.