MERUNGKAI HIKMAH PUASA RAMADAN
- Ditulis oleh Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
- Kategori Ibadah
- Read 23904 times
Hikmah Kewajipan Berpuasa
MOHON ustaz kupas tentang hikmah Allah s.w.t. mewajibkan puasa ke atas kita.
Puasa yang menjadi kewajipan umat Islam ini mengandungi banyak hikmah. Allah mengajar banyak perkara dengannya. Antara hikmah puasa ialah:
1 Tanda syukur kepada Allah.
Mengerjakan ibadah bererti kita bersyukur kepada Allah atas nikmat-Nya yang dianugerahkan kepada kita yang tidak terhitung banyaknya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu hendak mengira nikmat Allah, kamu tidak akan dapat menghitungnya.” (Surahal-Nahl 16: 18)
2Praktik jujur dan amanah.
Larangan-larangan ketika berpuasa adalah amanah daripada Allah kepada kita. Bayangkan kita berada di tempat yang sunyi dan tidak ada seorang pun melihat. Jika diikutkan nafsu, kita boleh sahaja makan dan minum tanpa diketahui orang lain. Tetapi kita tidak melakukannya kerana yakin bahawa Allah melihat semua perbuatan kita. Maka didikan amanah inilah yang hendak kita amalkan sepanjang kehidupan.
3Melatih diri mengawal nafsu.
Puasa mengajar kita menahan nafsu yang sering terarah kepada sifat kebinatangan yang hanya memikirkan tentang makan minum, hubungan jenis dan seumpamanya. Jika kita dapat mengendalikannya dengan betul, nafsu kita boleh naik taraf dan menjadi lebih dekat dengan malaikat. Kalau nafsu sudah bersih dan naik taraf, kita akan lebih mudah mengerjakan ibadah dengan niat lebih bersih dan ikhlas.
4Menjaga kesihatan.
Doktor dan ahli perubatan selalu menasihatkan supaya jangan terlalu banyak mengambil makanan dan minuman kerana boleh menyebabkan penyakit.
5Melemahkan nafsu syahwat.
Jika seseorang tidak mampu berkahwin dan bimbang terjerumus dalam perzinaan, dia disuruh berpuasa supaya gelojak nafsunya berkurangan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan pemuda, sesiapa antara kamu yang mampu berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa kerana yang demikian itu dapat mengurangkan nafsunya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
6Belas kasihan terhadap golongan miskin.
Kita akan sedar bagaimana susahnya orang miskin yang sering menahan lapar dan dahaga bukan hanya sekadar 12 atau 14 jam, tetapi mungkin untuk dua tiga hari. Akhirnya puasa itu dapat menggerakkan hati kita untuk menolong mereka.
7Perut Ringan, Otak Cergas.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “… Cukup bagi seorang manusia beberapa suapan untuk menegakkan tulangnya. Jika ia mesti makan berlebih, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk nafasnya.” (Riwayat al-Tirmizi). Luqman al-Hakim pernah menasihati anaknya: “Wahai anakku, kalau engkau penuhi perutmu, akan tidurlah fikiranmu dan akan gelap hikmah. Anggota badan akan malas dan tidak mahu beribadah.” Ada seorang doktor berkata: “Satu-satu ubat yang tiada kesan sampingan ialah amalan makan apabila betul-betul lapar dan berhenti makan ketika masih menginginkannya.”
Hikmah disegerakan berbuka dan dilambatkan bersahur
Boleh ustaz memperincikan pula hikmah kita digesa supaya menyegerakan berbuka dan melambat-lambatkan bersahur?
Anjuran sunnah agar segera berbuka apabila tiba waktunya dan melewatkan sahur menunjukkan bahawa Islam tidak ingin memberatkan umatnya. Kita diperintahkan untuk beribadah, namun jangan berlebihan sehingga boleh merosakkan badan. Berbuka puasa dengan segera walaupun hanya dengan sebiji tamar dan seteguk air akan menghilangkan rasa lapar dan dahaga yang ditahan sejak pagi. Adalah makruh menunda berbuka hingga terlalu lama menahan lapar lalu melemahkan diri daripada melakukan ibadat lain seperti solat wajib dan sunat tarawih.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman: ‘Hamba yang paling aku sukai ialah orang yang paling bersegera berbuka puasa.’” (Riwayat al- Tirmizi).
Manakala bersahur itu sendiri (sekalipun hanya dengan seteguk air) adalah sunnah dan disunatkan pula untuk melewatkannya sehingga akhir waktu (menjelang imsak). Antara hikmahnya yang jelas adalah:
1Dapat mendorong diri untuk melakukan solat malam (tahajud dan lain-lain).
2Solat Subuh berjemaah di masjid.
3Mengubah perangai mereka yang biasa melewatkan solat Subuh dengan solat pada awal waktu.
4 Dapat mengurangkan rasa lapar kerana kita hanya benar-benar mula berpuasa pada waktunya.
Hikmah Solat Tarawih
Antara ibadah unik dalam bulan Ramadan ialah solat tarawih. Bolehkah ustaz jelaskan hukum dan hikmahnya?
Solat tarawih adalah antara amalan sunat yang amat besar pahala serta banyak hikmah dan kelebihannya. Ini kerana amalan ini boleh menghapuskan (kaffarah) dosa-dosa seseorang. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun pada waktu malam bulan Ramadan dan menunaikan solat dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana mengharap pahala daripada Allah, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.”
Menurut Imam al-Nawawi, hadis di atas menerangkan bahawa orang yang mendapat keampunan daripada Allah ialah orang yang bersolat sunat tarawih dan yakin tentang kelebihannya dengan janji Allah serta meniatkan bahawa perbuatan itu semata-mata kerana Allah (mengharap pahala daripada Allah) dan tidak riak. Para ulama sepakat berpendapat bahawa solat tarawih hukumnya sunat.
Wallahu a‘lam.
Dr. Abdul Basit Abd Rahman
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu No.5
Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.