MENGEMBALIKAN PERANAN ILMU USUL FIQH
- Ditulis oleh Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor
- Kategori Hukum
- Read 7145 times
Ilmu usul fiqah ialah ilmu yang mengajarkan kita cara berinteraksi dengan al-Quran dan sunnah sehingga kita mampu mengeluarkan mutiara hukum syarie yang sahih.
Ilmu ini terbina di atas tiga asas iaitu pengenalan sumber, cara berinteraksi dengan sumber dan pengenalan sifat-sifat pakar yang mampu berinteraksi dengan dalil. Tiga asas ini telah diambil oleh Barat dalam pembinaan manhaj kajian mereka dan mereka telah berjaya mempraktikkannya.
Ilmu ini amatlah besar peranannya antaranya membentuk akal yang tersusun hingga mampu menganalisis realiti, seterusnya menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan masyarakat dan politik berdasarkan kaedah-kaedah yang wujud. Ilmu ini juga mampu membina semula akal yang kreatif hingga berupaya mengekalkan keutuhan syariat ini sehingga kita kembali kepada Allah.
Masalah Masyarakat
Agak menarik apabila ustaz mengatakan bahawa ilmu usul ini mampu menyelesaikan masalah masyarakat namun bagaimana caranya?
Sebenarnya ilmu usul bukan sahaja berfungsi untuk mengeluarkan hukum syarak. Lebih daripada itu, ilmu ini memberi sumbangan besar dalam dunia pemikiran, undang-undang, sosial dan politik.
Sebagai contoh, dalam ilmu usul kita ada kaedah al-sabr wa taqsim.Kaedah bedah siasat ini boleh kita gunakan untuk mengenal pasti punca atau sebab berlakunya satu-satu kes. Contohnya kes pembuangan bayi atau isu muflis golongan muda. Kita boleh menggunakan kaedah ini untuk mengenal pasti puncanya dengan menyenaraikan dahulu segala faktor yang berkemungkinan. Seterusnya setiap faktor tersebut dikaji dan disaring satu persatu sehingga kita mengenal pasti punca sebenar. Hanya setelah mengenal pasti punca sebenar, barulah kita dapat merawat kes secara berkesan.
Fiqah Sahaja Tidak Memadai
Namun ada orang yang menyatakan bahawa ilmu usul tidaklah begitu penting untuk dipelajari berbanding mempelajari ilmu al-Quran, sunnah atau fiqah. Apa komen ustaz?
Ini aliran yang tidak selamat kerana mereka telah membuang ilmu yang telah disepakati oleh semua aliran mazhab Islam sebagai manhaj yang membawa kita memahami al-Quran dan sunnah dengan kefahaman yang benar.
Sepertimana yang kita ketahui, al-Quran dan sunnah adalah dalam bahasa Arab. Maka kita tidak mungkin memahami maksud sebenarnya melainkan dengan menggunakan kaedah bahasa Arab. Di sini peri pentingnya ilmu usul fiqah. Ilmu ini terasas daripada bahasa Arab bahkan perbahasan bahasanya lebih mendalam daripada ilmu bahasa Arab itu sendiri. Tidak syak lagi bahawa ilmu usul fiqah adalah satu-satunya ilmu yang memungkinkan untuk kita mengembalikan kefahaman al-Quran dan sunnah dengan tepat berdasarkan kaedah-kaedah yang ditinggalkan oleh ulama kita.
Menguasai Ilmu Usul
Bagaimana caranya untuk kita mengusai ilmu usul fiqah ini?
Bagi saya untuk mengusai ilmu usul, kita perlu terlebih dahulu menguasai ilmu bahasa Arab, ilmu mantik dan ilmu tauhid. Hal ini kerana kebanyakan perbahasan ilmu usul mempunyai perbahasan bahasa dan penggunaan istilah mantik.
Mana mungkin untuk kita membaca kitab al-Mustasfakarya Imam al-Ghazali atau Nihayat al-Suloleh Imam Isnawi tanpa mengetahui ilmu-ilmu alat tersebut?
Secara berperingkat pula, langkah pertama saya cadangkan adalah mempelajari matan Waraqat dengan sempurna. Lebih afdal kalau kita dapat menghafaznya sehingga terbentuk asas-asas ilmu usul yang tetap.
Setelah itu saya sarankan supaya mempelajari kitab Lub al-Usul karangan Imam Zakaria al-Ansari yang merupakan ringkasan kepada matanJam’ alJawami‘ karangan Imam al-Subki. Kemudian itu baru kita boleh mempelajari kitab Nihayat al-Sulyang merupakan kitab yang begitu agung dan banyak faedah usul yang boleh kita dapati dalam kitab tersebut.
Cuma sebagai peringatan penting, ilmu usul ini perlu dipelajari secara lengkap. Kita tidak boleh mempelajarinya secara langkau dengan meninggalkan sebahagian bab. Untuk menjadi ahli usul, kita perlu menguasai semua bab ilmunya. Ini kerana ilmu ini bersifat kulli(pakej lengkap yang tidak boleh dipisahkan). Tidak seperti ilmu fiqah, kita mungkin boleh mempelajarinya secara langkau kerana bab-bab ilmunya boleh dipecah-pecahkan.
Pengajian sebegini perlu dikembalikan semula sehingga ilmu usul ini boleh dipelajari secara sempurna di peringkat universiti atau pondok sehingga kita dapat mencapai matlamat yang diinginkan daripada ilmu ini.
Wallahu a‘lam
Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09
Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor
Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.