Menu

 

A+ A A-

TIPU SATU TUGASAN DEMI SEGULUNG IJAZAH

Semasa saya mengambil ijazah pertama saya secara jarak jauh dahulu, satu tugasan saya telah disiapkan oleh seorang rakan. Ketika itu subjek tersebut begitu sukar bagi saya ditambah dengan kesuntukan masa kerana komitmen kerja.

Dipendekkan cerita, saya berjaya mendapat ijazah. Dengan ijazah itu saya mendapat kerja sebagai guru. Namun sehingga kini saya asyik teringatkan kesalahan saya itu.

Saya ingin tahu status pendapatan saya sekarang. Apa yang wajar untuk saya lakukan? Perlukah saya berhenti kerja sertamerta? Saya dalam kerisauan.

Alhamdulillah, perasaan yang saudara hadapi ini adalah sebenarnya fitrah hati nurani seorang Muslim iaitu sentiasa berada dalam keadaan takut dan mengharap (raja’). Takut atas kesalahan, kekhilafan dan kemungkinan amalan kita tidak diterima Allah. Dalam masa yang sama, kita juga sentiasa berharap kepada rahmat dan keampunan Ilahi.

Tahniah juga atas kesedaran saudara yang ingin memastikan bahawa rezeki yang diperoleh adalah halal dan diredai Allah. Sesungguhnya sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: “Setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah yang lebih berhak ke atasnya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Berbalik kepada soalan saudara, apa yang dilakukan itu secara amnya adalah tidak wajar. Namun, sebagaimana yang saudara maklumkan, ia berlaku di bawah situasi tertentu yang agak memaksa. Tambahan lagi, ia hanya berlaku dalam satu subjek sahaja daripada sekian banyak subjek yang lain. Dengan kata lain, peratusannya terlalu kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan subjek yang diambil. Ini bermakna, ijazah yang saudara peroleh itu sebenarnya daripada usaha saudara sendiri melainkan peratusan yang amat kecil tadi.

Berdasarkan kepada fakta di atas, saya berpandangan bahawa rezeki yang diperoleh adalah halal. Banyakkan bertaubat dan memohon keampunan Ilahi atas kesilapan yang dilakukan dahulu. Banyakkan juga amalan yang boleh menghapuskan dosa seperti bersedekah dan sebagainya. Sabda Rasulullah maksudnya: “Sedekah itu menghapuskan kesalahan sebagaimana air mematikan api.” (Riwayat al-Tirmizi)

Perlu diberi perhatian bahawa jawapan di atas hanyalah pandangan saya terhadap masalah khusus yang ditimbulkan. Ia tidak memberi makna secara langsung atau tidak langsung bahawa penipuan dalam peperiksaan, plagiat dalam menulis tesis dan seumpamanya harus dan wajar dilakukan. Sikap amanah seharusnya ditanam dan dipupuk semenjak seseorang itu bergelar pelajar lagi.

Wallahu a‘lam.

 

   Prof. Dr. Ashraf Md Hashim

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Prof Dr Ashraf Md Hashim

Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.

Kembali ke atas