CIUM ANAK PEREMPUAN BALIGH
- Ditulis oleh Dato’ Haji Ismail Kamus
- Kategori Hukum
- Read 46655 times
CIUM ANAK PEREMPUAN BALIGH
Bolehkah seorang bapa mencium anak perempuannya yang sudah baligh?
Tidak salah seorang bapa mencium anak perempuannya sama ada sudah baligh atau berkahwin tanpa nafsu. Sekiranya ciumnya itu disertai dengan nafsu syahwat, maka haram hukumnya.
Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud dirakamkan bahawa Sayidina Abu Bakar mencium anaknya Aisyah ketika demam. Ciuman bukan khusus untuk anak-anak lelaki sahaja.
Pesta Mandi Safar
Penduduk kampung saya di Sarawak masih melakukan pesta mandi Safar di pantai. Cuma pesta itu dilakukan tidak atas tujuan memuja tetapi lebih kepada acara keramaian sahaja dalam bentuk mandi beramai-ramai. Apakah hukumnya menyertai temasya mandi Safar sedemikian?
Hukum menyertai pesta tersebut adalah haram jika dalamnya terdapat perkara-perkara berikut:
a)Penyembahan kepada jin-jin atau hantu laut, sama ada menggunakan kemenyan atau seumpamanya sebelum atau sesudah pesta.
b)Percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
c)Berleluasa pendedahan aurat antara lelaki dan wanita.
d)Mengadakan nyanyian atau pentas-pentas hiburan yang diharamkan syarak.
e)Dan lain-lain yang ditegah oleh syarak.Ada kepercayaan yang menganggap bulan Safar ialah bulan turunnya bala dan sebagainya. Sedangkan Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar.” (Riwayat Muslim)
Solat Tahiyat al-Masjid Secara Automatik
Kami sampai ke masjid untuk solat Jumaat ketika bilal sedang azan. Selepas azan, manakah solat yang patut dikerjakannya terlebih dahulu sama ada solat sunat tahiyat masjid atau sunat Jumaat?
Boleh terus mengerjakan sunat qabliah Jumaat dan kita dikira sudah melakukan solat sunat tahiyat al-masjid secara automatik.
Mentua dan Menantu Bersentuhan
Batalkah wuduk jika bapa mentua dengan menantu perempuannya bersentuhan? Bagaimana pula dengan adik ipar?
Wuduk tidak batal. Hal ini kerana mentua dan menantu haram berkahwin antara satu sama lain buat selama-lamanya. Maka menantu perempuan boleh bersentuhan kulit dengan bapa mertuanya dan menantu lelaki boleh bersentuhan dengan ibu mentuanya.
Namun tidak boleh sengaja bersentuhan kulit dengan ipar-duai. Sekiranya bersentuhan, batallah wuduk kerana ipar duai termasuk golongan yang diharamkan berkahwin secara sementara sahaja.
Hati Tidak Tenteram
Hati saya kadang-kadang terasa huru-hara kerana memikirkan perkara yang tidak sepatutnya. Adakah saya dikira berdosa dengan mengingati hal demikian. Adakah ini membatalkan solat, puasa dan syahadah saya? Adakah ini gangguan syaitan?
Saudara tidak berdosa dengan datangnya berbagai-bagai ingatan dalam hati sedangkan saudara tidak menghendakinya. Hal itu juga tidak membatalkan ibadah saudara. Ada benarnya ingatan seumpama itu didatangkan oleh syaitan kerana syaitan sentiasa berusaha merosakkan manusia.
Sembelihan Memancutkan Darah
Apakah benar pendapat yang menyatakan bahawa binatang sembelihan yang memancutkan darahnya ketika disembelih tidak boleh dimakan?
Tidak benar. Yang tidak boleh dimakan hanyalah jika binatang itu disembelih dengan menyebut nama selain Allah atau tidak putus halkum dan urat saluran makanan atau salah satu sahaja yang putus. Wajib putus kedua-duanya.
Tanda Husn al-Khatimah
Apakah tanda-tanda seseorang itu mati dalam husn al-khatimah iaitu mati yang baik?
Tanda-tanda husn al-khatimahsangat banyak antaranya:
- Mengucap kalimah tauhid ketika mati. Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang mengakhiri perkataannya dengan lailahaillallah, nescaya dia akan masuk syurga.” (Riwayat Abu Daud)
- Peluh membasahi dahi ketika mati. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kematian seorang Mukmin itu adalah dengan berpeluh di dahinya.” (Riwayat al-Tirmizi)
- Mati pada malam atau hari Jumaat. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat melainkan Allah akan melindunginya daripada fitnah kubur.” (Riwayat al-Tirmizi)
- Mati semasa berperang di jalan Allah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, maka dia itu syahid.” (Riwayat al-Tirmizi)
- Mati kerana ditimpa runtuhan atau lemas. Mati syahid itu ada lima: Yang mati akibat taun, sakit perut, lemas, ditimpa runtuhan dan terbunuh di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Wanita yang mati selepas melahirkan anak. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita mati bersama anak adalah syahid.” (Riwayat Abu Daud)
- Orang yang mati kerana mempertahankan agama, harta dan diri. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia adalah syahid. Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarga, dia adalah syahid. Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya, dia adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya, dia adalah syahid.” (Riwayat al-Tirmizi) Demikianlah antara beberapa tanda husnul khatimah berdasarkan keterangan Nabi s.a.w.
Beza Mani dan Mazi
Apa perbezaan antara mani dan mazi?
Air mani ialah air yang keluar dari kemaluan kerana dorongan syahwat yang kuat baik disebabkan mimpi mahupun hubungan intim. Bentuknya pekat. Hukumnya tidak najis. Jika berlaku, maka hendaklah dibersihkan dan mandi wajib.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya air (kewajipan mandi) itu (disebabkan) daripada air (mani).” (Riwayat alTirmizi) Air mazi pula air yang keluar kerana syahwat yang ringan. Bentuknya lebih cair daripada air mani. Hukumnya najis dan tidak wajib mandi junub. Ada satu lagi jenis air disebut air wadi. Air ini keluar setelah kencing atau kepenatan mengangkat barang-barang berat. Air wadi juga dihukum najis dan tidak wajib mandi junub.
Kaedah Istighfar
Andaikan pada satu hari kita melakukan lebih kurang 30 dosa. Adakah kita perlu mengucapkan istighfar untuk setiap dosa yang dilakukan atau dengan sekali istighfar itu merangkumi semua dosa?
Prinsipnya, kita hendaklah mengucapkan istighfar setiap kali melakukan dosa. Begitu juga ketika kita teringat kembali dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Yang terbaiknya ialah kita sentiasa memperbanyak istighfar sekalipun tidak melakukan dosa. Rasulullah sendiri beristighfar pada setiap hari dengan lebih seratus kali istighfar.
Sekiranya kita benar-benar menyesal terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan sehingga menangis, maka dosa tersebut akan berubah menjadi kebajikan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan.” (Surah Furqan: 70)
Melihat Allah Dalam Syurga
Benarkah penghuni syurga dapat melihat Allah s.w.t.?
Ya. Allah berfirman yang bermaksud: “Wajah-wajah (orang Mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhanlah mereka melihat.” (Surah al-Qiyamah: 22 dan 23)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Bagi orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.” (Surah Yunus: 26) Ulama mentafsirkan perkataan “tambahannya” dalam ayat tersebut dengan kenikmatan melihat Allah.
Senada dengan itu, Rasulullah turut bersabda mafhumnya: “Sesungguhnya kamu akan dapat melihat Tuhan-mu nanti sepertimana kamu melihat bulan, kamu tidak akan silau ketika melihat-Nya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Wallahu a‘lam.
Datuk Haji Ismail Kamus
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09
Dato’ Haji Ismail Kamus
Lulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan akhir beliau ialah sebagai pakar rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Kini sebagai pendakwah bebas di samping menjadi peniaga dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.