KEYAKINAN KEPADA HARI KIAMAT
- Ditulis oleh Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed
- Kategori Fardhu Ain
- Read 18322 times
SEMUA Muslim maklum bahawa daripada ayat-ayat al-Quran dan sunah Nabi s.a.w. bahawa beriman kepada Allah menuntut kepada percaya dan beriman kepada hari akhirat. Ianya sebagai pelengkap kepada syarat keimanan, berdiri di atas keyakinan kepada Allah dan hari akhirat serta beramal salih.
Dalam al-Quran terdapat puluhan ayat yang menegaskan hubungan erat keimanan kepada Allah dan keimanan kepada hari akhirat. Dan keduanya berkaitan rapat dengan amal soleh. Dalam ayat 69 surah al-Maidah firman Allah bermaksud:
“Sesiapa di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan Rasul-Nya Nabi Muhammad s.a.w.) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak berdukacita.” Lebih jelas lagi kaitan antara aqidah yang benar yang bertunjangkan pada aqidah tauhid yang benar dan keyakinan yang teguh terhadap hari kiamat serta disokong oleh amal soleh disebut oleh Allah s.w.t. menerusi ayat 162 surah al-Nisa’ yang bermaksud: “Tetapi orang yang teguh dan mendalam ilmu pengetahuannya antara mereka dan orang yang beriman, sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu (al-Quran), dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu, khasnya orang yang mendirikan sembahyang, dan orang yang menunaikan zakat, serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka itulah yang Kami akan berikan kepada mereka pahala (balasan) yang amat besar.”
Tabah menghadapi kehidupan
Menurut al-syaukani dalam tafsirnya Fath al-Qadir, walaupun ayat ini turun berhubung ahli kitab dalam kalangan Yahudi dan Nasrani, tetapi berdasarkan kaedah al-ibratu bi umm al-lafzi la bikhusus al-sabab, maka sifat yang umum itu turut meletakkan kaum Muslimin juga dalam perkara keimanan dan amal soleh. Keimanan kepada hari akhirat menjadi sebab penting untuk melahirkan individu yang lurus jiwanya, berperibadi mulia dan berakhlak terpuji.
Ini disebabkan keimanan terhadap hari akhirat akan menjadikan seseorang itu tabah menghadapi kehidupan dan redha dengan yang ditetapkan Allah. Berbeza daripada individu yang tidak beriman, dia mudah tersasar daripada jalan hidup yang ditetapkan Allah. Firman-Nya dalam surah al-Mukminun ayat 73-74, maksudnya: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanya menyeru mereka ke jalan yang lurus dan sesungguhnya orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, sudah tentu akan menyimpang dari jalan yang lurus itu.”
Beriman kepada hari akhirat
Antara faedah beriman kepada hari akhirat lagi ialah insan yang dididik dengan iman akan menjadikan hatinya lebih tenang dan berkeupayaan mengawal tuntutan nafsu dan dorongan syahwat. Dia merasai kawalan dan penguasaan Allah menerusi malaikat Raqib dan Atid yang sentiasa mencatat segala tindak tanduknya di dunia, akan dibentangkan di hadapannya di akhirat kelak.
Dia merasa yakin kebangkitan semula yang mana segala amalannya akan terpampang di hadapan tatapan umum, alangkah bimbangnya dia menghadapi situasi itu. Allah berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 49, maksudnya: “Dan ‘kitab-kitab Amal’ tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu berasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya, dan mereka akan berkata: ‘Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya?’ Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semuanya akan dihitung!”
Justeru, akan wujud dalam dirinya semangat untuk terus mengerjakan perintah Allah bagi mendapatkan rahmat-Nya dan pembalasan terbaik pada hari itu. Tiada sesuatupun yang dapat melembutkan hati manusia kecuali jika dia meletakkan keyakinan terhadap balasan Allah pada hari kemudian sebagai dasar pijaknya dan amal salih sebagai bekalan perjalanan ke destinasi itu.
Kedahsyatan hari kiamat
Kiamat dengan kepelbagaian gambaran al-Quran tentang nama dan sifatnya merupakan tahap yang pertama kehidupan akhirat yang tidak mampu dihadapi manusia kecuali bagi mereka yang telah menjadi Muslim yang sebenarnya yang berusaha mendapatkan perlindungan Allah dan mentaati-Nya sepanjang hidup di dunia. Dalam surah al-Hajj ayat 1-2, Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.
Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu menyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya dan engkau akan melihat manusia mabuk, pada hal mereka sebenarnya tidak mabuk, lantaran azab Allah amatlah berat dan mengerikan.”Hanya apabila seseorang itu mendapat perlindungan Allah, yang akan merasa selamat dan aman daripada kedahsyatan hari tersebut.
Mereka akan diiringi masuk ke syurga dan disambut dengan penuh riang gembira. Firman-Nya dalam surah al-Zumar ayat 73 -74 maksudnya: “Dan orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata ‘Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya’, (mereka pun masuk) serta mereka berkata: ‘Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janji-Nya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari syurga ini di mana sahaja kami sukai, maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.’”
Kajian dan penghayatan tentang destinasi terakhir manusia ini, iaitu negeri akhirat sebagai tempat kembali, dan tempat tinggal yang abadi merupakan pengetahuan yang mesti ada dalam minda setiap Muslim. Ia penting agar kita dapat memperbaiki tahap ilmu dan amalan kita, mempersiapkan diri dengan bekalan taqwa. Perjalanan yang dimaksudkan ini adalah rangkaian peristiwa-peristiwa yang akan dilalui setiap orang, tanpa terkecuali seorangpun, tanpa adanya bantuan ataupun perantaraan oleh orang lain. ¤
Ustaz Zahazan Mohamed
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2
_________________________________________________________________
Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed
Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.
Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.