Menu

 

A+ A A-

SOLAT PENGHUBUNG MAKHLUQ DENGAN KHALIQ

“Solat adalah tiang agama, barang siapa yang mendirikannya maka dia mendirikan agama dan barang siapa yang merobohkannya, maka dia merobohkan agama.”  Demikian maksud hadis Nabi s.a.w. yang masyhur di kalangan masyarakat kita, seperti yang dapat dilihat dalam Al- Maqasid al- Hasanah, 632.

Walau bagaimanapun maksud hadis ini sebenarnya adalah untuk menjelaskan kepada kita kepentingan ibadat solat. Dalam satu kenyataan Ibn Taimiyah r.hm., beliau merumuskan fadilat solat: “Apabila ia (solat) hilang, maka hilang seluruh agama, dan ia merupakan tiang agama, apabila ia hilang nescaya runtuhlah agama.” (Majmuk al- Fatawa, 3/428). Dalam hadis-hadis sahih yang lain, solat dijelaskan sebagai salah satu rukun Islam yang terpenting, malah amalan pertama yang akan dihisab serta pembeza antara Muslim dan kafir.

Sabda Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya antara seorang lelaki dan antara kufur dan syirik ialah meninggalkan solat.” (Sahih Muslim, 1/88). Anas bin Malik meriwayatkan satu hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya amalan paling awal yang dihisab pada hari kiamat ialah solat, jika baik solatnya, nescaya baik seluruh amalannya. Jika rosak, nescaya rosak seluruh amalannya.” (Al-Albani, al- Silsilah al-Sahihah, 1358). Allah Taala mensyariatkan solat ke atas umat Islam lima waktu sehari semalam di samping solat-solat sunat yang lain adalah untuk memastikan hubungan manusia dengan Khaliq yang berterusan.

Inilah antara maqasid  pensyariatan solat ke atas umat Islam. Dalam solat manusia sentiasa  berhubungan dengan Allah sama ada dari segi hatinya, lidahnya, dan anggotanya. Seorang tokoh sarjana Islam, Syeikh al-Sa’diyy menerangkan antara maqasid solat terbesar ialah mencegah kemungkaran, kemudian beliau menegaskan satu maqasid lain yang lebih besar, katanya: “Dan kemudian dalam solat, ada maqasid yang lebih besar dan lebih hebat daripada ini iaitu solat mengandungi zikir kepada Allah dengan hati, dengan lidah dan dengan anggota badan.” (Tafsir al-Sa’diyy, 1/632).

Kenyataan ini menunjukkan bagaimana perhubungan antara seorang hamba dengan Tuhannya dalam solat berlaku melalui hati, lidah dan anggota. Sebenarnya, melalui perhubungan inilah, ia akan mencegah manusia daripada perbuatan keji dan mungkar.

Selain itu, solat dari segi literalnya bermaksud doa. Doa ialah satu permintaan, dan permintaan ialah satu mekanisme penghubung antara dua pihak. Dalam konteks solat, ia menjadi penghubung antara makhluk (manusia) dan Khaliq. Inilah kehebatan dan keindahan agama Islam.

Sebagai makhluk kepada Allah Taala, manusia barangkali sering menghadapi pel bagai ujian, masalah serta mehnah dalam meneruskan kelangsungan hidupnya. Justeru, solusi kepada masalah ujian dan mehnah tersebut, manusia tidak boleh putus hubungannya dengan Allah Taala yang manusia akan memohon pertolongan daripadaNya. Manusia amat fakir, berhajat serta bergantung kepada Allah dalam kehidupannya.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat  kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Surah Fatir 35: 15)

Cuba bayangkan betapa Allah Taala tidak mahu manusia memutuskan hubungan denganNya
dalam setiap keadaan. Selama mana kita mempunyai akal yang waras, solat tetap wajib dilaksanakan. Allah memerintahkan kita melaksanakan ibadat solat untuk mengingatiNya.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu.” (Surah Taha 20: 14)

Solat Orang Sakit

Dalam semua keadaan dan situasi, kita masih diwajibkan solat melainkan akal sudah tidak waras lagi atau akal tidak berfungsi lagi. Jika kita sakit, solat tetap wajib dilaksanakan. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Solatlah dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka dalam keadaan duduk, jika kamu tidak mampu maka dalam keadaan kamu mengiring.” (Riwayat alBukhari,Muslim dan Abu Daud).

Kalau tidak mampu mengiring, solatlah dalam keadaan berbaring, dan jika tidak mampu juga, maka solatlah mengikut keadaan yang ia mampu. Sebab itu Allah Taala berfirman yang bermaksud, “Oleh sebab itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.” (Surah al-Taghabun 64: 16).

Bahkan dalam situasi sebegini, situasi sakit, manusia amat memerlukan pertolongan dan bantuan Allah Taala. Justeru, solat menjadi alat penghubung antara dirinya dengan Allah Taala, sekali gus menguatkan ingatannya kepada Allah Taala. Amatlah rugi dalam kalangan orang Islam hari ini, apabila jatuh sakit, solat ditinggalkan. Padahal waktu sakitlah sepatutnya dia lebih perlu sentiasa mengingati Allah Taala.

Solat dalam Musafir

solat

Begitu juga jika kita berada dalam keadaan musafir, solat masih tetap wajib dilakukan, bahkan untuk memberi kemudahan kepada umat Islam, disyariatkan solat qasar dan jamak. Solat dua waktu boleh dihimpunkan dalam satu waktu untuk memudah dan meringkaskan perjalanan. Indahnya syariat Islam, dalam situasi bermusafir, Allah Taala sahajalah tempat kita mengadu dan memohon keselamatan.

Betapa peritnya permusafi ran seperti yang disabdakan Nabi s.a.w.: “Permusafiran itu ibarat secebis daripada azab.” (Riwayat alBukhari,no.1677). Maka d alam keadaan inilah, pentingnya solat yang menjadi penghubung antara makhluk dan Khaliq.

Solat Waktu Perang

Dalam keadaan berperang sekalipun, solat masih diwajibkan. Untuk itu disyariatkan solat al-khauf, atau solat waktu perang. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan solat dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah satu puak dari mereka berdiri (mengerjakan solat) bersamasamamu, dan hendak lah mereka menyandang senjata masingmasing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum solat (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka solat (ber jemaah) bersamasamamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjagajaga serta menyandang senjata masingmasing.”(Surah al-Nisa’ 4: 102)

Ini menunjukkan kepentingan solat dalam Islam dan betapa manusia perlu sentiasa berhubungan dengan Allah Taala dalam setiap keadaannya. Ia juga menunjukkan kepada kita bahawa syariat Islam adalah syariat yang mudah dan tidak membebankan umatnya. Suka dinyatakan, perkara yang penting selain menjaga rukun dan sunat solat ialah khusyuk.

Menurut Ibn Rajab alHanbali,asal makna khusyuk ialah kelembutan hati, ketenangan, ketundukan, kepasrahan dan penyerahannya. Jika hati khusyuk, maka ia diikuti seluruh anggota lain kerana anggota lain itu mengikut hati.” (Ibn Rajab, al- Khusyuk, 17).

Khusyuk menjadi elemen yang penting dalam menjaga hubungan kita dengan Allah dalam solat. Solat juga merupakan satu dialog antara kita dengan Allah Taala. Dalam hadis sahih menyebut dialog itu adalah ketika seseorang membaca alFatihah.

Alangkah jeleknya perangai seorang rakyat yang tidak memberi perhatian ketika berdialog dihadapan rajanya. Demikianlah solat, lebih jelek dan buruk jika seorang hamba tidak memberi perhatian (tidak khusyuk) ketika “berdialog” dengan Tuhannya, Allah Taala s.w.t.
Pahala akan dikurniakan oleh Allah Taala mengikut tingkatan khusyuk seseorang dalam solatnya.

Sebab itu, perkara yang mengganggu khusyuk dalam solat perlu dijauhkan seperti, makruh solat dalam keadaan makanan terhidang, makruh solat ketika menahan daripada membuang najis dan dilarang seseorang menyaringkan bacaan alQuran sehingga mengganggu orang yang solat.

AlBukhari meriwayatkan suatu hadis, bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam dan telah diiqamatkan solat, maka mulalah dengan makan malam dan jangan tergopoh sehingga ia menyudahkannya.” (Riwayat alBukhari,no.633).

AlNawawi menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan makruh solat dalam keadaan makanan yang sudah siap terhidang, hal ini kerana keadaan itu akan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. Sebenarnya contoh di atas boleh diqiyaskan juga dengannya apa yang mempunyai maksud yang sama iaitu boleh meng ganggu kekhusyukan hati.

Walau bagai manapun hukum ini adalah ketika waktu solat masih luas sahaja. Jika waktu  sudah sempit, maka ia hendaklah menyegerakan solat kerana memelihara kehormatan waktu dan tidak harus melewatkannya. Cuma alMutawalli membawa suatu pendapat (lemah) bahawa ia hendaklah juga memulakan dengan makan sekalipun keluar waktu. Ini kerana maqasid atau tujuan solat ialah khusyuk, maka tidak boleh ia kehilangannya.” (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

Jelas, khusyuk akan menguatkan lagi hubungan kita dengan Allah Taala dalam solat yang dilakukan setiap hari. Malah solat menjadi penghubung antara manusia dengan Allah Taala. Hubungan ini hendaklah sentiasa berterusan kerana di samping mensyariatkan solat fardu, ada di sana solat sunat. Apabila manusia sentiasa berhubungan dengan Allah dengan penuh khusyuk, sudah tentu akan lahir rasa takut (khauf) dan berharap (raja’) kepada Allah yang berkekalan. Rasa takut dan berharap inilah yang membantu seseorang melawan nafsu daripada melakukan maksiat. Inilah makna solat pencegah perbuatan keji dan mungkar. Justeru, tunaikanlah solat di mana jua anda berada selama masih ada akal yang waras.¤.


 Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10

 


 

Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani

Lulusan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dalam bidang Syariah. Berkhidmat sebagai guru di Sek. Men. Imtiaz, Dungun pada tahun 2004-2005. Kini melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia di samping bergiat dalam bidang penulisan dan dakwah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas