Menu

 

A+ A A-

JANGAN BIARKAN PAHALA MENJADI REPUT

SEBAIK-BAIK manusia itu ialah bukan yang tidak pernah melakukan dosa, tetapi yang segera bertaubat sebaik saja melakukan kesilapan.

Jika saya katakan ramai antara kita secara sengaja atau tidak telah meminum racun, tentu ramai yang menyangkalnya kerana tidak bersetuju, sebab ramai yang waras. Tetapi jika saya katakan ramai antara kita telah melakukan maksiat, pastinya ramai yang menundukkan kepala tanda malu dan kesal atas kemungkaran yang telah dilakukan.

Melakukan maksiat umpama menelan racun. Ini kerana perbuatan maksiat tidak ada satu pun yang meninggalkan kesan baik. Semuanya memudaratkan diri. Maksiat ada dua iaitu maksiat zahir (perbuatan luaran) dan batin (berkaitan hati). Maksiat lahiriah atau zahir seperti mencuri, berzina, minum arak, berjudi dan sebagainya. Manakala maksiat batin ialah sifat-sifat keji yang boleh merosakkan hati seperti hasad dengki, tamak, suka menindas, riak, sombong dan lain-lain. Kedua-dua jenis maksiat ini boleh merosakkan fikiran, menghancurkan akhlak seseorang. Akhirnya ia boleh memusnahkan kehidupan.

Buat maksiat dapat dosa. Tetapi kenapa masih ramai yang melakukan maksiat? Manusia bertanya al-quran menjawab – firman Allah s.w.t. Dalam surah al-ra’d ayat 28 yang bermaksud: “ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Andai benar-benar dalam hati sentiasa ingat ada yang mengawasi kita – iaitu Allah S.w.t. – setiap saat, pasti kita akan takut untuk berbuat maksiat. Tentunya setiap kelakuan dan kata-kata, kita akan berfikir berulang kali sebelum melakukan dan mengeluarkannya. Ini kerana maksiat itu mengundang dosa. Orang berdosa tidak akan tenang dan sentiasa resah.

Kita sering mengutuk orang yang melakukan maksiat, tetapi tanpa sedar kita juga pernah melakukannya. Tidak kira yang mana satu, sama ada maksiat zahir atau batin. Selalu juga kita dengar, orang berkata. “sudah adat dunia, manusia mana yang tidak pernah berbuat dosa kan?”

Hadis juga ada menyebut sebaik-baik manusia itu ialah bukan yang tidak pernah melakukan dosa, tetapi yang segera bertaubat sebaik saja melakukan kesilapan.

Fitrah manusia yang tidak pernah sunyi daripada berbuat salah dan silap. Justeru itu harus cepat bertaubat untuk memperbaiki diri supaya tidak banyak karat dosa yang belum disucikan. Cepat bertaubat maka cepatlah hati dan fikiran kita bersih. Baru mudah mengundang rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.


3

Musuh utama hati ialah nafsu?

Siapakah musuh yang paling susah untuk kita kalahkan? Musuh yang dimaksudkan adalah nafsu kita sendiri. Nafsu yang tidak dikawal boleh menjadi maksiat. Diri kita, sepatutnya kitalah yang mampu untuk mengawalnya. Sebab itu keteguhan iman kita harus sentiasa dipertingkat dan dipertahankan. Janganlah kita jadi seperti kayu yang dimakan anai-anai, yang mana kayu itu akhirnya reput. Maksudnya janganlah kita biarkan maksiat menjadi budaya hidup kita. Habis segala pahala menjadi reput (lebur) dek maksiat. Antara cara untuk menghindari maksiat ialah banyak mengingati Allah s.w.t., menjauhi punca, persekitaran, dan kawan-kawan yang boleh merosakkan kita, banyakkan berdoa agar sentiasa dalam peliharaan allah selalu. Allah s.w.t. ada berfirman kepada Nabi Daud a.s. Yang bermaksud: “wahai daud, berilah amaran kepada orang yang beramal (jangan riak) serta berilah harapan kepada ahli maksiat bahawa keampunan Allah itu maha besar. Kita jaga Allah (takut buat maksiat), Allah jaga kita (pelihara kita dari terjebak dengan maksiat).”

 

Siti Rohani Surani

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 04

 


 

 

Siti Rohani Surani

Bertugas selama enam tahun sebagai DJ Radio IKiM FM. Merupakan penyampai radio bagi slot Warna Pagi Ikim FM dari pukul 6 hingga 10 pagi. Pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengacara bagi program realiti Astro Oasis iaitu Ustazah Pilihan yang bermula pada 6 Oktober 2011.

Kembali ke atas