Menu

 

A+ A A-

GAGAL MENILAI SEBUAH PAHALA

MANUSIA semakin buta menilai sebuah pahala. Mereka tidak mampu mengerti manfaat pahala. Biasanya ucapan pahala dan dosa itu bagaikan permainan dan jenaka semata-mata. Ramai orang tahu cara mencari duit, tetapi ramai orang lupa cara mendapat pahala dan sumber-sumbernya.

Antara sumber pahala yang terbesar kepada manusia ialah hubungan baik antara anak dan ibu bapa mereka. Realitinya, ramai orang melarikan diri daripada berkhidmat untuk ibu bapa. Ramai anak-anak yang tidak mahu menyusahkan diri dengan berkhidmat untuk ibu bapa, sedangkan itulah sumber utama untuk mendapatkan bonus di akhirat. Mereka ialah orang yang melarikan diri daripada tanggungjawab dan meninggalkan ayah atau ibu mereka pada saat mereka memerlukan perhatian.

Mereka fikir ia cuma perkara picisan. Sebenarnya mereka tidak hanya meninggalkan orang tua mereka, tetapi mereka telah menjauhi syurga Allah. Memang terbukti bahawa kisah seperti ini banyak sekali terjadi.

Kisah Seorang Datuk

Saudaraku, cuba kita renungi kisah yang diceritakan oleh seorang doktor. Ceritanya tentang seorang datuk yang berusia 96 tahun. Doktor telah memberikan pengesahan untuk si datuk itu dibawa keluar dari hospital sebaik selesai menjalani rawatan rapi. Akan tetapi setelah tiga hari berlalu, tiada seorang pun anak yang datang menjemputnya. Ini kerana anak-anak mereka tidak ingin membawanya pulang ke rumah. Mereka memberi alasan bahawa pada minggu pertama setelah keluar hospital, pastilah datuk memerlukan perhatian khusus. Maka ini akan menyusahkan mereka. Di samping itu, ramai orang akan menziarahinya. Hal itu akan menambah beban mereka. Itulah yang disampaikan oleh salah seorang anak daripada orang tua tersebut kepada doktor.

Seorang anak yang lain pula berkata bahawa isterinya memberitahu: “Saya tidak mahu membawa keluar ayah abang dari hospital. Nanti ramai orang akan datang ke sini. Sepanjang masa itu, ayah abang pasti memerlukan perhatian khusus. Mintalah adik-beradik abang yang lain untuk menjemputnya atau mengambilnya di hospital.”

Subhanallah! Mereka lupa bahawa pahala menjaga ibu bapa sangatlah besar! Kesusahan itulah sebenarnya yang akan ditukar oleh Allah dengan syurga.

Kisah Seorang Nenek

Saudaraku, ada seorang wanita berusia 80 tahun yang menjalani pembedahan penyambungan pembuluh darah (coronary bypass) tanpa ditemani oleh sesiapa pun. “Puan ada anak?” doktor bertanya kepadanya.

“Ya, saya mempunyai empat orang anak lelaki dan empat orang anak perempuan.”

Kemudian doktor mengarahkan jururawat agar meminta salah seorang daripada mereka supaya menemani ibunya di dalam wad. Sudah empat hari perempuan itu berada di hospital, tiada seorang pun daripada kerabatnya menjenguk atau menemaninya. Sendirian dan kesepian. Kemudian pada suatu hari, doktor datang untuk memeriksa perempuan tersebut. Kebetulan salah seorang anaknya turut menziarahi. Si doktor bersungguh-sungguh memohon agar ada seseorang yang boleh menemani ibunya. Tahukah anda siapa yang akhirnya menemani nenek itu? Bukan anak perempuannya. Lagikan pula menantu perempuan mahupun cucu perempuannya?

Ternyata orang yang menemaninya ialah bibik (pembantu rumah) si anaknya. Bibik Filipina itu pula masih baru dan tidak tahu berbahasa Melayu. Jadi bagaimana si ibu hendak meminta bantuan daripadanya? Adakah dengan cara begitu si anak berasa telah menunaikan kewajipan berbakti kepada ibu bapa?

gagal-menilai-sebuah-pahala-1

Melepaskan Peluang ke Syurga

Saudaraku, ramai orang yang tidak kenal erti berbudi dan berbakti kepada ibu bapa. Ramai yang acuh tak acuh dengan keperluan dan kehendak ibu bapa. Akhirnya, mereka sendiri melepaskan tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh Allah. Mereka berpendapat, biarlah ibu bapa mereka hidup sendiri. Kenapa jadi begini? Kenapa? Sebabnya mereka tidak melihat kesusahan itu akan mendapat balasan pahala. Mereka tidak mengerti bahawa berbakti kepada ibu bapa membawa hasil lumayan di akhirat. Apabila mereka meninggalkan ibu bapa, itulah saatnya mereka melepaskan syurga dari tangan mereka.

Kisah-kisah orang yang melepaskan peluang ke syurga dengan menderhakai orang tuanya sangatlah banyak. Mungkin saudara akan mendapati kebanyakan orang tua yang sedang terbaring di hospital itu hanya ditemani oleh pembantu rumah atau pemandunya, bukannya anak kandung mereka sendiri pun. Semoga Allah melindungi kita daripada musibah sebegini. Saudaraku, ingatlah bahawa dosa menderhakai ibu bapa akan diterima sebelum mati. Jika kita tidak cuba berbakti kepada ibu bapa, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa kita sebenarnya sedang menempah satu lubang di neraka Allah s.w.t.

A. Ubaidillah bin Alias
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas