Menu

 

A+ A A-

MENYIMPAN BARANGAN KETIKA BERMUSAFIR

Amanahkan kepada Jiran

USTAZ, insya-Allah saya dan isteri akan menunaikan umrah selama dua minggu. Jadi kami bercadang untuk mengamanahkan kepada jiran kami supaya menjaga beberapa barangan berharga seperti barang kemas dan kenderaan. Apa nasihat ustaz? Adakah cara ini dibenarkan dalam Islam?

Jawapan: Apa yang saudara sebutkan itu dikenali akad al-ida‘ ( الايداع ) atau al-wadi‘ah ( الوديعة ) dalam perbahasan fiqah. Para ulama bersepakat bahawa akad ini dibenarkan syarak. Malah ia suatu amalan yang digalakkan dalam Islam.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” (Surah al-Nisa’ 4: 58) Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: “Tunaikanlah amanah terhadap sesiapa yang mengamanahkan kamu dan janganlah mengkhianati sesiapa yang mengkhianatimu.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Malahan Rasulullah s.a.w. sendiri sering diamanahkan oleh penduduk Makkah untuk menjaga barangan mereka sebelum Baginda dilantik menjadi Rasul sehinggakan Baginda dikenali sebagai “al-Amin” (seorang yang amanah).

Rukun dan Syarat Akad

Adakah terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi dalam melaksanakan akad tersebut?

Jawapan: Secara ringkas, majoriti fuqaha termasuk mazhab Syafi‘i menyatakan bahawa terdapat empat rukun bagi akad al-wadi’ah:

1 dan 2. Dua pihak yang berkontrak (yang memberi amanah dan yang menerima amanah).

3. Barangan yang diamanahkan untuk disimpan.

4. Sighah (lafaz ijab dan kabul). Adapun syarat ringkas bagi setiap rukun di atas adalah seperti berikut:

4.1. Pihak yang memberi dan menerima amanah hendaklah terdiri daripada mereka yang baligh dan waras akal fikirannya. Ini bermakna, kanak-kanak dan mereka yang tidak waras tidak boleh menjadi pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk menjaga sesuatu barangan.

4.2. Manakala barangan yang diamanahkan untuk simpanan pula hendaklah daripada jenis barangan yang boleh disimpan dan berada dalam kawalan ketika akad berlaku. Sesuatu barangan yang di luar kawalan seperti burung di udara, ikan di lautan, haiwan yang lari, kenderaan yang hilang dan seumpamanya tidak boleh menjadi subjek atau barang yang boleh diamanahkan dalam akad al-wadi’ah.

menyimpan-barangan-ketika-bermusafir-1

Cara menjaga

Bagaimanakah barang amanah tersebut sepatutnya dijaga?

Jawapan: Secara umumnya, seseorang yang menerima amanah perlu menjaga barang amanah tersebut sebagaimana ia menjaga barang kepunyaannya sendiri. Cara penjagaannya pula adalah mengikut ‘uruf (adat kebiasaan) sesuatu barang itu disimpan. Ini sudah tentu akan bergantung kepada jenis barangan itu sendiri.

Misalnya barang kemas biasanya disimpan di tempat yang berkunci, kenderaan di tempat letak kenderaan, haiwan di kandang, ikan di dalam akuarium dan lain-lain lagi.

Mengamanahkan Pula kepada Orang Lain

Bolehkah orang yang menerima sesuatu barangan sebagai amanah untuk dijaga mengamanahkan pula kepada orang lain untuk menjaganya? Contohnya seseorang menerima barangan amanah tersebut. Kemudian dia mengamanahkannya pula kepada isteri atau anaknya.

Jawapan: RINGKASNYA: Ulama berbeza pendapat dalam isu ini. Namun secara umumnya, pihak yang menerima amanah sepatutnya menjaga sendiri barangan yang diamanahkan kepadanya.

HURAIAN: Majoriti fuqaha berpendapat bahawa hanya suami, isteri atau anaknya sahaja yang dibenarkan. Ini kerana mereka ini ialah orang yang dipercayai oleh penerima amanah. Manakala fuqaha Hanafi pula berpendapat bahawa sesiapa sahaja yang dipercayai oleh penerima amanah boleh diamanahkan seperti rakan kongsi perniagaan. Sedangkan fuqaha Syafi‘i pula tidak membenarkan sama sekali barangan amanah itu diserahkan kepada orang lain melainkan dengan izin tuan punya barangan amanah tersebut.

NASIHAT: Sebagai rumusan dan untuk mengelak perselisihan di kemudian hari, adalah lebih elok jika pihak tuan punya barang dan penerima amanah berbincang terlebih dahulu hal ini. Adakah barangan tersebut diamanahkan pula kepada orang lain atau tidak? Apabila persetujuan dicapai, maka barangan amanah itu bolehlah dijaga mengikut cara yang disepakati.

Barang Amanah Rosak

Bagaimana sekiranya barangan yang diamanahkan itu hilang atau rosak? Adakah si penjaganya wajib menggantikan semula?

Jawapan: Pada asasnya, wadi’ah ialah suatu akad amanah yang digalakkan oleh syarak. Kerosakan atau kehilangan barangan amanah tidak perlu diganti melainkan dalam beberapa keadaan, antaranya:

a Berlaku kecuaian dalam penjagaan barangan tersebut. Dengan kata lain, barang tersebut disimpan dengan cara yang tidak sepatutnya. Misalnya, barang kemas yang tinggi nilainya diletakkan di tempat terbuka dan tidak berkunci di ruang tamu rumah.

b Apabila barangan tersebut diguna pakai oleh pemegang amanah khususnya jika tanpa keizinan pemilik barang.

c Jika pemegang amanah mencampurkan barangan amanah tersebut dengan barangan miliknya sehingga tidak dapat dibezakan antara kedua-duanya.Misalnya, lima kilogram beras yang diamanahkan dicampurkan sekali dengan beras milik pemegang amanah dalam satu bekas. Dalam keadaan ini, maka ganti rugi hendaklah dibuat kerana tindakan itu dianggap sebagai pencerobohan ke atas barangan amanah tersebut.

d Jika pemegang amanah menyalahi mana-mana syarat yang telah disepakati bersama. Syarat-syarat tersebut boleh jadi berkaitan dengan cara penjagaan, individu yang dibenarkan menjaga dan lain-lain lagi.

Menjaga Haiwan Jiran

Jika barangan amanah tersebut merupakan binatang peliharaan yang memerlukan makanan, siapakah yang bertanggungjawab membeli makanan tersebut?

Jawapan: Pihak pemilik haiwan bertanggungjawab menanggung kos makanan haiwan tersebut. Begitu juga dengan barangan lain yang memerlukan kos tambahan. Kos tambahan ini hendaklah ditanggung oleh pemilik barang tersebut.

Menyerahkan Semula

Bilakah barangan amanah tersebut perlu diserahkan kembali kepada tuannya?

Jawapan: Barangan amanah tersebut hendaklah dipulangkan pada bila-bila masa yang diminta oleh tuannya.

Prof. Dr. Ashraf Md Hashim
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu no. 5


Prof Dr Ashraf Md Hashim

Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.

Kembali ke atas