JANGAN MENYUSAHKAN ORANG LAIN
- Ditulis oleh Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi
- Kategori Pinjaman
- Read 11808 times
APAKAH tanggungjawab pemiutang dari perspektif Islam?
Apabila seseorang itu memberi hutang, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan:
1. Dianjurkan memberi hutang bagi orang yang mampu.
Ia merupakan satu amalan yang mulia jika tujuannya adalah untuk menolong meringankan bebanan orang yang berada dalam kesusahan dan kesempitan hidup, bukan bertujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang yang berhutang.
Memberi hutang kepada orang yang berada dalam kesempitan kewangan termasuk dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang bersifat umum, maksudnya: “Sesiapa yang memudahkan orang yang berada dalam kesukaran, Allah akan memudahkan baginya urusan dunia dan akhirat.” (Riwayat Ibn Majah)
2. Memberi tempoh bagi mereka yang berada dalam kesulitan.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya.” (Surah al-Baqarah 2: 280)
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi tempoh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunaskan hutang atau membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah.” (Riwayat Muslim)
Daripada salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Abu al-Yasar, Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin mendapatkan naungan Allah Azzawajalla, hendaklah dia memberi tempoh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunaskan hutang atau dia membebaskan hutangnya tadi.” (Riwayat Ahmad)
3. Mengutip hutang dengan akhlak yang mulia.
Rasulullah s.a.w. mengingatkan yang bermaksud: “Sesiapa yang menuntut satu haknya (seperti hutang), maka tuntutlah dengan cara yang baik tanpa mengira (orang yang berhutang itu) membayar balik atau tidak membayarnya.” (Riwayat Ibn Majah)
Daripada Ibn Umar dan Aisyah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja yang ingin meminta haknya, hendaklah dia meminta dengan cara yang baik sama ada daripada orang yang mahu menunaikan ataupun yang enggan menunaikannya.” (Riwayat Ibn Majah)
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada orang yang memiliki hak pada orang lain, maksudnya: “Ambillah hak kamu dengan cara yang baik daripada orang yang mahu menunaikannya ataupun yang enggan menunaikannya.” (Riwayat Ibn Majah)
4. Berlapang dada dalam mengutip hutang
Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: “Allah merahmati seseorang yang bersikap lapang dada apabila menjual, membeli dan mengutip hutang.” (Riwayat al-Bukhari)
5. Menjadikan hutang sebagai sedekah.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Jika kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) itu adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahala yang besar yang akan kamu peroleh).” (Surah al-Baqarah 2: 280)
Demikianlah lima perkara yang sebaiknya dilakukan apabila memberi hutang. Wallahu a‘lam.
Apakah tanggungjawab penghutang pula dari perspektif islam?
Ada beberapa tanggungjawab penghutang yang perlu ditunaikan, antaranya:
1. Hutang ialah amanah yang wajib dijelaskan.
Allah s.w.t memerintahkan agar kita menunaikan amanah. Hutang merupakan amanah yang terpikul di atas bahu penghutang. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum sesama manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’ 4: 58)
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sekalipun aku memiliki emas sebesar gunung Uhud, aku tidak akan senang jika ia berbaki lebih dari tiga hari, kecuali yang aku peruntukkan untuk membayar hutang.” (Riwayat al-Bukhari)
2. Berhutang dengan niat yang baik.
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengambil harta orang (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya (mengembalikannya), maka Allah s.w.t. akan tunaikan untuknya. Dan sesiapa mengambilnya untuk menghabiskannya, maka Allah s.w.t. akan membinasakannya.” (Riwayat al-Bukhari)
3. Membayar dengan yang lebih baik.
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata yang bermaksud: “Nabi s.a.w. mempunyai hutang dengan seseorang, iaitu seekor unta dengan usia tertentu. Orang itu datang menuntutnya. Baginda bersabda: ‘Berikan kepadanya.’ Kemudian, mereka mencari yang seusia dengan untanya, tetapi mereka tidak menemukan kecuali yang lebih berumur daripada untanya. Nabi s.a.w. bersabda: ‘Berikan kepadanya.’ Dia pun menjawab: ‘Engkau telah menunaikannya dengan lebih. Semoga Allah s.w.t. memberi balasan yang setimpal.’ Maka, Nabi s.a.w. bersabda: ‘Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik dalam pengembalian.’” (Riwayat al-Bukhari)
Daripada Jabir bin Abdullah r.a., beliau berkata: “Aku mendatangi Nabi s.a.w. di masjid, sedangkan beliau mempunyai hutang denganku, lalu beliau membayarnya dan menambahkannya.” (Riwayat al- Bukhari) Begitulah antara akhlak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh penghutang. Wallahu a‘lam.
Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu 2
Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi
Ketua Jabatan Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad. Lulusan Sarjana Muda Undang-undang (Sivil dan Syariah) UIA dan Sarjana Undang-undang Perbandingan (Bidang Perbankan dan Kewangan Islam) UIA. Beliau pernah menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 dan penceramah Radio IKIM.FM.