Menu

 

A+ A A-

KASIH SAYANG KEHIDUPAN

SAYA seorang pemilik sebuah syarikat. Persoalan saya, adakah wajar saya menunjukkan sikap berlembut dengan pekerja saya? Saya bimbang sekiranya sikap berlemah lembut itu menyebabkan pekerja saya bekerja sambil lewa dan syarikat tidak dapat mencapai matlamat. Saya berpandangan, garang itu penting supaya pekerja patuh dan bersungguh. Minta komen Prof. Dr.

Kehidupan setiap manusia bermula dengan kasih sayang. Kerana kasih sayang daripada seorang Pencipta Yang Maha Agung, maka lahirlah manusia ke dunia ini. Ketika manusia masih di dalam rahim ibunya dan di alam penciptaan, Allah s.w.t. yang menjaga kita. Manakala ketika di dunia, ibu yang mengandungkan kita, menjaga dengan penuh kasih sayang, memberikan makanan yang berkhasiat, mendapatkan pemeriksaan doktor dan sebagainya untuk memastikan kita sihat dan membesar. Pada saat kelahiran, ibu bapa menyambut kita dalam keadaan penuh gembira dan sayang. Kemudiannya kita diazan atau diiqamatkan oleh ayah tercinta sebagai tanda kelahiran ke dunia ini bagi mendukung tauhid kepada Allah s.w.t.

kasih-sayang-kehidupan-1

Menurut kajian, dalam proses tumbesaran manusia menunjukkan bayi yang dilahirkan dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang akan melalui proses tumbesaran yang cepat dari segi mental dan fizikalnya. Ini bermakna, segala tumpuan, perhatian dan usaha hendaklah diberikan sedaya upaya agar proses tumbesaran anak-anak berjalan dengan sempurna dan penuh dengan unsur-unsur kasih sayang agar dapat membentuk sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia.

Huru-hara yang berlaku dalam kehidupan hari ini berpunca daripada hilangnya rasa kasih dan sayang dalam diri seseorang manusia itu. Maka dalam hidup kita seharian, perlulah bertanya kepada diri sendiri, adakah hati kita ini penuh dengan kasih sayang ataupun penuh dengan kemarahan, kebencian ataupun dendam?

Perasaan seperti marah, benci, dendam dan sebagainya akan memberikan komplikasi negatif kepada mental dan fizikal, sekali gus membuahkan hasil yang tidak baik kepada fikiran dan tindakan. Maka itulah yang merosakkan sistem komunikasi dalam sesebuah perhubungan sesama manusia. Sistem komunikasi yang tidak berkesan akan melahirkan suatu bentuk rantaian perhubungan yang tidak mesra, lalu berlakulah kata-mengata dan sebagainya sehingga mengguris hati orang lain.

kasih-sayang-kehidupan-2

Proses berkomunikasi memerlukan 17% perkataan, 38% intonasi dan 55% fisiologi. Contoh fisiologi iaitu ingin menyatakan sesuatu yang tidak baik dengan menterjemahkannya melalui jenaka dengan menggunakan intonasi yang ceria maka orang yang mendengarnya akan berasa selesa dan tidak akan berasa marah.

Jika fisiologi, intonasi dan perbuatan kita mestilah penuh dengan kasih sayang, dunia ini akan menjadi aman dan lebih baik. Perhatikan alam sekeliling kita. Udara yang kita sedut, cahaya matahari yang bersinar, setiap titisan air yang dinikmati, angin yang bertiup dan bermacam-macam lagi. Cuba renung dan bertanya, daripada manakah semua ini? Jawapannya sudah tentu daripada Allah s.w.t. Tanyakan diri kita lagi, adakah kita layak untuk merasai semua ini jika dibandingkan dengan segala kekotoran yang menyaluti diri kita? Hendak menolak, sudah pasti mustahil. Maka ketahuilah kita sebenarnya sedang merasai kasih sayang kehidupan ini. Kita sedang merasai bahawa Maha Pemurahnya Allah. Sekotor mana kita sebagai manusia, Dia sentiasa memberikan kita kehidupan. Setiap nikmat dalam kehidupan ini ialah anugerah daripada-Nya.

Tanyakan diri kita mengapa? Sudah tentu jawapannya ialah kerana Dialah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Dialah al-Rahim Sebab itulah setiap hari kita menyebutkan ketika solat lima waktu pada ayat ke 2, surah al-Fatihah yang maksudnya: “Dialah Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih dan Penyayang.”

Ketahuilah bahawa hanya Allah sahaja yang layak menghukum keburukan seseorang. Tugas kita hanya memberi peringatan dan membantu menunjukkan jalan ke arah kebaikan. Kebaikan akan terlaksana dengan mengaplikasikan kasih sayang dalam kehidupan. Apabila kita berurusan dengan orang, kita perlu sebut lima perkataan ini: “Apakah kasih sayang akan buat?” Apabila kita hendak marah dengan sesiapa, maka bertanya kepada diri sendiri: “Apakah kasih sayang akan buat dalam hal ini?” Contohnya, jika pekerja kita melakukan kesalahan, maka bayangkan pekerja itu seperti anak kita. Adakah kita melayan mereka seperti mana kita melayan anak kita sekarang?

kasih-sayang-kehidupan-3

Mengapa kita perlu melayan seseorang berlainan berdasarkan rupa paras atau pangkat hanya kerana dia tidak mempunyai pertalian darah dengan kita? Sedangkan manusia itu adalah sama, mempunyai emosi, perasaan dan keperluan yang sama. Oleh sebab itu, seperti mana kita hendak dilayan seperti itulah kita mesti melayan orang. Tunjukkan kasih sayang kepada semua orang, insya-Allah kita akan mendapat kasih sayang semua makhluk Allah di alam ini.


Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu 2

 


 

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas