Menu

 

A+ A A-

SANDERA CINTA! CINTA BUKAN BERERTI MEMILIKI

APABILA kita mencintai seseorang, kita berfikir tentang dirinya, bukan diri kita. Kepentingan sendiri tidak dihiraukan, bahagia kekasih itulah yang diutamakan. Ungkapan ini menggambarkan cinta yang sejati. Sebaliknya, jika kepentingan sendiri lebih diutamakan, perasaan, jiwa dan rasa kekasih dibiarkan, maka itu bukan cinta. Itu memperalatkan cinta namanya!

Mencintai itu membebaskan, manakala memiliki itu cenderung kepada mengikat, membelenggu dan mengawal. Berapa ramai isteri yang “mengawal” suaminya atas nama cinta. Sehingga suami hilang kebebasan dan kemerdekaan dalam hidup seharian. “Bila nak balik?” “Kenapa lambat?” “Kalau abang tak balik lagi, saya akan…” Bolehkah itu dikatakan ‘ayat-ayat’ cinta? Maaf, pertanyaan seperti itu lebih mirip kata-kata seorang majikan kepada pekerja, bukan antara isteri dengan suami tercinta.

Suami pula apa kurangnya. Segala gerak-geri isteri dipantau penuh curiga. Setapak isteri melangkah, menggelegak cemburu di dada. Prasangkanya sudah ke tahap merimaskan sang isteri. Salah sedikit, marah. Terlanjur sekejap, ugutan. Bila ditanya, mengapa? Si suami tidak malu mengaku, “Kerana saya terlalu cintakannya!” Padahal, jika diamati dan diteliti, itu semua kerana cintakan diri sendiri.

sanderacinta2

Kasihan, si isteri menjadi sandera cinta. Dikepung oleh penjara rumahtangganya, dicemeti oleh kata-kata suaminya. Ah, ada benarnya kata bijak-pandai… kekadang perkahwinan itu menjadi pusara percintaan!

“Ini burung kesayanganku...”

“Queen control” atau “King Control” adalah produk cinta yang palsu. Cinta yang diselaputi kepentingan diri. Kulitnya cinta tetapi isinya keegoan diri. Seperti seorang pemilik burung tekukur – diberi makan, diberi minum, dibersihkan dan dimandikan, dilatih berlagu – tetapi dikurung dalam sangkar. “Ini burung kesayanganku,” akuinya di hadapan tetamu. “Suaranyansungguh merdu,” pujinya tidak henti-henti.

Sekalipun tekukur dikurung dalam sangkar emas. Sangkar tetap untuk mengurung, sekalipun sangkar emas. Kilauan sangkar emas, suara berlagu merdu, bukanlah kebahagiaan tekukur yang terkurung tetapi buat tuannya yang mengurung. Ah, cinta kita kekadang begitu. Kita ingin memberi kebaikan yang diingini oleh kita, bukan yang diingini oleh pasangan kita. Apa gunanya sangkar emas, makan minum yang mewah, kemampuan boleh berlagu, pada tekukur yang dibelenggu?

Kalaulah tekukur boleh bersuara, dia akan berkata, “Jika benar kau sayangkan aku wahai tuanku, bebaskanlah aku.” Walaupun tekukur tidak mungkin bersuara, tetapi tuannya pasti tahu, bahawa keinginan atau naluri setiap burung adalah kebebasan.

Tidak sukar memahami dan merasai jika kita benar-benar mencintai. Bukankah kekasih sejati itu selalunya bertindak memahami dahulu kemudian baru difahami? Betapa ramai isteri yang “dikurung” dalam banglo atau vila bak istana, yang dilimpahi intan dan permata, diberi segala dan semua… tetapi dinafikan suara hatinya.

Sudah lama tidak ziarah ke rumah mertua. Si suami tahu hakikat itu. Boleh jadi sudah berbulan-bulan, boleh jadi telah bertahun-tahun. Si isteri memendam rasa. Ingin bersuara takut disentak. Ingin meminta gerun dibentak. Boleh jadi akan “diboikot” dengan diam memanjang hingga silent mode begitu menyeksakan. Keinginan isteri menjenguk ibu di kampung disekat. Tetapi kononnya kerana masih cinta, lalu diajak si isteri “ziarah” shopping complex atau singgah di kedai emas, dibelikan subang dan rantai agar keinginannya pulang ke kampung halaman dilupakan.

Jangan, jangan begitu, dahaga rindu bukan emas dan perak galang gantinya. Betapa ramai pula si suami yang dijaga makan minumnya, disiapkan pakaian dan segala keperluan lahirnya, tetapi sering disakiti dengan kata perintah, rajuk dan amuk oleh isterinya. Ketika suami belum pulang, segalanya dirisaukan. Sudah makankah dia? Kenapa lambat, rosakkah keretanya? Agaknya bagaimana dia di permusafiran? Sakitnya? Letihnya?

Semuanya seakan menghantui perasaan si isteri. Tapi bila suami yang dibimbangkan itu pulang… baru sahaja melangkah pintu, belum pun sempat duduk, dengan wajah masam mencuka, sudah dileteri dengan kata-kata yang berbisa.

sanderacinta3

Beri Peluang

Belajarlah membebaskan, bukan mengikat sewaktu bercinta. Khususnya, bagi pasangan yang telah lama berumah tangga, prinsip ini mesti difahami sebaik-baiknya. Apabila usia perkahwinan semakin meningkat, tidak ada lagi cinta berapi berasaskan keinginan biologi dan fisiologi. Yang mampu bertahan ialah rasa cinta yang sebenar – cinta yang melepaskan bukan mengikat.

Ketika warna sebenar (true colours) pasangan kita semakin terserlah hari demi hari, mampukah kita bertahan dan bersabar atas kelemahan dan kekurangan pasangan yang ketika itu sudah pun bertahun-tahun kita hadapi? Sudikah kita memberi peluang kedua, ketiga bahkan tidak kira kali ke berapa pun untuknya memperbaiki diri? Jika sudi, benar kita masih cinta. Namun jika jemu, jika enggan, jika bosan itu petanda kurangnya rasa cinta.

Ingatlah, jika pasangan kita ada karenahnya, apa kurangnya kita? Jangan kesabaran kita sahaja yang diperkirakan, kesabaran pasangan kita terhadap kerenah kita juga wajar dipertimbangkan. Suami adalah cermin si isteri dan begitulah sebaliknya. Hubungan kesalingan ini menunjukkan bahawa bagaimana perangai dan akhlak kita maka begitulah perangai dan akhlak pasangan yang ditakdirkan untuk bersama kita!

Jadi, jangan cepat menyalah atau mengalah, sebaliknya banyakkan muhasabah diri. Sedarlah bahawa kelemahan ataupun keburukan yang ada pada pasangan kita itu sebenarnya, bukan sahaja tidak diingini oleh kita tetapi juga oleh mereka. Mereka pun pada hakikatnya sedang berhempas pulas untuk mengatasi kelemahan atau keburukan itu. Kalau begitu, adalah lebih baik sekiranya kita membantu daripada “membuntu” mereka.

Malangnya, hal di atas jarang berlaku. Kebanyakan orang tidak sabar dengan karenah pasangan mereka. Keceriaan dan ketenangan hidup terasa semakin terhakis oleh tabiat buruk pasangan. “Abang, saya hilang bahagia kalau abang berterusan marah-marah begini.” “Kalau you buat muka masam macam ni, I tak ada pilihan. I terpaksa keluar enjoy dengan kawan-kawan.”

Kekadang suara begitu diperdengarkan. Tetapi acap kali dipendamkan. Kata-kata itu atau yang seumpama dengannya membayang kan penuturnya hilang “interest” dengan pasangannya.

sanderacinta5

Barang yang Hilang Fungsinya

Kata orang, habis manis sepah dibuang. Padahal, tilik-tiliklah kenapa suami puan muram, kenapa isteri tuan masam. Mungkin akibat beban kerjanya di pejabat. Mungkin impak perangai anak-anak di rumah. Atau yang lebih parah lagi, mungkin kerana kerenah puan atau tuan sendiri. Masya-Allah.

Kita akan membuang barang yang kita miliki sekiranya barang itu hilang fungsinya. Kalau sesuatu itu tidak membawa manfaat kepada kita, apa guna lagi untuk menyimpannya? Begitulah cinta, kalau tujuannya hanya untuk memiliki. Tetapi kalau cinta itu bukan untuk memiliki, kita akan terus-menerus mencintai, tidak kira apa jua keadaan pasangan yang kita cintai itu.

Barang yang hilang fungsi bukan untuk dibuang, tetapi untuk diperbaiki. Begitulah sikap sebenarnya seorang isteri atau suami apabila berdepan dengan keburukan atau kelemahan pasangannya. Demi cinta, dalam diam-diam suara hati mereka membisikkan, “Kalau aku tidak dapat apa yang aku sukai, aku mesti belajar menyukai apa yang aku dapat!”

Ah, betapa hebatnya sebuah kisah cinta seorang ahli sufi terhadap isterinya ini. Kisah yang menyebabkan saya termenung dan merenung begitu lama. Pada hari kematian isterinya barulah masyarakat tahu bahawa dia sebenarnya bukanlah seorang yang cacat. Dia hanya “berlakon” cacat, hanya untuk menjaga maruah dan harga diri isterinya yang benar-benar cacat. Berapa lama dia berlakon begitu? Puluhan tahun! Subhanallah.

Itulah cinta yang sebenar. Cinta yang melepaskan belenggu psikologi, penjara jiwa dan rantai fi kiran yang boleh menghilangkan kebahagiaan daripada diri pasangannya. Tidak ada cinta seikhlas cinta Allah. Allah yang Maha Kaya itu tidak memerlukan sedebu pun manfaat daripada hamba-Nya. Dia Al-Qawwi, Dia Al-Ghani. Tuhan Maha Perkasa dan Tuhan Maha Kaya, Tuhan tidak memerlukan kita sebaliknya kita yang memerlukan-Nya.

sanderacinta4

Justeru, cinta-Nya benar-benar suci kerana hakikatnya Allah tidak inginkan sebarang balasan ataupun ganjaran. Ya, Tuhan memang memiliki, tetapi bukan untuk membelenggu. Cinta-Nya membebaskan. Untuk bebas daripada memperalatkan dan diperalatkan oleh cinta, jadikanlah cinta Allah sebagai asas dan di atas segala cinta. Jangan jadi sandera cinta, walaupun kepada isteri atau suamimu!¤

 

Pahrol Mohd Juoi

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

 


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas